Sunday, 21 September 2008

BERHARI RAYA MENURUT SYARIAT ISLAM


`AIDUL FITRI berasal dari perkataan `aid, adalah diambil dari kata al-`audu (kembali), manakala fitrah membawa maksud kemurnian dan kesucian. Pada hari tersebut kaum muslimin kembali menikmati tahun kembalinya kebahagiaan dengan kemurnian dan kesucian, lantaran banyaknya anugerah Allah kepada hambaNya di hari itu.

Pada Hari Raya `Aidil Fitri, ummat Islam disunatkan menunaikan solat sunat Aidil Fitri secara berjamaah. Menurut Imam Taqiyuddin Al-Hussaini, dalam kitabnya Kifayatul Akhyar, bahawa Rasulullah s.a.w. pertama kali melakukan solat hari raya adalah Solat Hari Raya Aidil Fitri di tahun ke 2 Hijrah dan pada tahun itu juga telah difardukan Zakat Fitrah kepada ummat Islam, demikian pandangan Imam Al-Mawardi.

HUKUM SOLAT `AIDIL FITRI

Hukum menunaikan solat Hari Raya Aidil Fitri itu adalah sunat, hal ini berdasarkan pertanyaan seorang Arab Badwi ( A'rabi ) kepada Rasulullah : "Apakah ada kewajipan selain solat lima waktu ? Jawab Rasulullah : Tidak ada, melainkan ia dituntut melakukannya (tathawwu`a).

Solat Aidil Fitri hendaklah ditunaikan antara terbit matahari sehingga tergelincirnya matahari, menurut pendapat pertama. Pendapat yang kedua mengatakan bahawa belum masuk waktu apabila metahari belum naik kadar segalah. Qaul yang shahih adalah pendapat yang pertama.

Sembahyang Hari Raya, dilakukan dengan dua rakaat, kerana adanya dalil-dalil dan ijmak ulamak. Sembahyang Hari Raya Fitri atau Hari Raya Adha disertai pada rakaat pertama 7 kali takbir dan 6 kali tahmid. Pada rakaat kedua disertai pula 5 kali takbir dan 4 kali tahmid.

Diriwayatkan bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w bertakbir pada salat Hari Raya Fitri dan Hari Raya Adha pada rakaat yang pertama tujuh kali sebelum membaca Al-Fatihah, dan pada rakaat yang kedua lima kali sebelum membaca Al-Fatihah. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam At-Tarmizi dan beliau mengatakan bahawa martabat hadis ini hasan. Imam Bukhari mengatakan pada bab ini bahawa tidak ada hadis yang lebih sahih daripada hadis ini.

Di antara tiap-tiap dua takbir hendaklah berhenti sejenak sekira-kira cukup untuk membaca suatu ayat yang sederhana panjangnya dengan membaca tasbih, tahmid dan tahlil. Amalan berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Al- Baihaqi dari Ibnu Mas'ud yang berbentuk perbuatan (Hadis Fi'li). Tasbih ertinya membaca "Subhanallah". Tahmid ertinya membaca "Alhamdulillah". Tahlil ertinya membaca "Laa ilaaha illallaah wallahu Akbar ". Di dalam bacaan ini terkumpul bermacam-macam zikir yang diperintahkan di dalam salat. Bacaan ini juga dinamakan Al-baqiyatus Shalihat sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Abbas dan sebahagian Ulama’. Seandainya seseorang imam terlupa bertakbir dan langsung membaca Al-Fatihah, maka hilanglah kesunnatannya.

Pada salat Hari Raya hendaklah imam membaca Al-Fatihah pada rakaat yang pertama, diikuti membaca pula Surah Qaaf selepasnya dan pada rakaat yang kedua membaca Surah Al-Qomar hingga akhirnya. Demikianlah menurut riwayat Imam Muslim.

Bacaan Al-Fatihah dan surah hendaklah dikuatkan bacaannya, kerana hukumnya sunnat menurut ijmak ulama'. Demikian pula digalakkan menguatkan bacaan takbir, tasbih dan tahmid.

Setelah salat selesai disunatkan berkhutbah dengan dua khutbah, berdalilkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Ibnu `Umar r.a : "Bahawasanya Rasulullah s.a.w, Abu Bakar dan Umar selalunya melaksanakan Salat Hari Raya sebelum khutbah "

Jadi seandainya imam berkhutbah sebelum salat, maka khutbahnya itu tidak dianggap sah menurut qaul yang sahih yang dinaskan oleh Imam Syafi'i. Pengulangan khutbah itu diqiaskan dengan khutbah Jumaat. Dalam masalah ini tidak ada hadis yang tetap menurut kata Imam An-Nawawi di dalam kitab Al- Khulasah.

Pada khutbah yang pertama disunatkan memulainya dengan takbir sembilan kali, manakala pada khutbah yang kedua disunatkan memulai dengan takbir tujuh kali.

TEMPAT MELAKSANAKAN SOLAT `AIDIL FITRI

Salat Hari Raya itu boleh dilakukan tempat lapang. Jika solat `Aidil fitri dilakukan di Makkah, maka di Masjidil Haram adalah lebih utama, tanpa ada khilaf. Syeikh As-Shaidalani menyamakan kedudukan taraf Masjid Al-Aqsa, Baitul Maqdis dengan Masjidil Haram. Bagi tempat selain Makkah, adalah lebih baik dilakukan di tempat lapang, terutamanya ketika keadaan masjid yang penuh sesak, bahkan ketika itu (masjid penuh sesak) adalah manjadi makruh sembahyang di masjid, menurut sesetengah pendapat ulama' Syafi`iyyah. Jika ada keuzuran seperti hujan, maka di masjid adalah lebih utama. Akan tetapi jika masjid luas dan mampu menampung keseluruhan jemaah yang hadir, maka mendirikan di masjid adalah lebih utama menurut pendapat yang sohih.

PERLAKSANAAN TAKBIR

Disunatkan bertakbir dan bertahmid, bermula waktu terbenam matahari (maghrib) pada kedua-dua malam Hari Raya `Aidil fitri dan `Aidil Adha. Adalah menjadi suatu `ibadah yang sunat, untuk dilaungkan di masjid, rumah atau di pasar-pasar, supaya dalam keadaan bersesak itu orang ramai akan turut serta bertakbir dan bertahmid bersama. Bahkan digalakkan setiap masa samada ketika waktu malam mahupun waktu siang. Semua golongan samada yang bermukim mahupun yang musafir digalakkan bertakbir dan bertahmid kerana ia adalah syi`ar yang utama bagi umat Islam.

Hal ini telah difirmankan oleh Allah s.w.t. : " Dan hendaklah kamu sekelian mengagungkan Allah atas apa yang telah ditunjukkan oleh Allah kepada kamu sekalian." (Al-Baqarah : 185)

Imam Al-Bukhari meriwayatkan hadis Ummu `Athiyah, beliau berkata : " Kami sekalian diperintahkan keluar pada solat dua hari raya sehingga wanita yang haid pun keluar, kemudian menempatkan diri di belakang kaum muslimin, mereka turut bertakbir mengiringi takbir kaum muslimin ".

Sementara dalil takbir bagi Hari Raya `Aidil Adha, hanya diqiaskan dengan Hari Raya `Aidil Fitri. Berakhirnya takbir untuk Hari Raya `Aidil Fitri adalah apabila imam telah takbiratul ihram Solat Sunat Hari Raya, menurut qaul yang shahih.

Apakah takbir itu disunatkan sesudah solat-solat fardu pada Hari Raya `Aidil Fitri? Dalam hal ini terdapat khilaf di kalangan ulama' Syafi`iyyah. Di dalam kitab Ar-Raudhah, Imam An-Nawawi berpandangan bahawa, menurut pendapat yang ashah amalan bertakbir sesudah solat-solat fardu pada Hari Raya `Aidil Fitri tidak disunatkan, disebabkan tidak ada riwayat yang menyatakannya. Di dalam kitab Al-Azkar, Imam An-Nawawi mensahihkan bahawa sesudah solat-solat fardu pada Hari Raya `Aidil Fitri disunatkan bertakbir, sama seperti amalan di Hari Raya `Aidil Adha. Takbir dan tahmid pada ketika waktu tersebut adalah lebih utama daripada zikir-zikir yang lain, kerana takbir itu merupakan syi`ar Hari Raya.

Justeru itu, setiap ummat Islam hendaklah memastikan dan memelihara kesucian hari perayaan yang utama ini. Hari yang dipenuhi dengan kemurnian dan kesucian ini adalah merupakan anugerah kemenangan dari Allah s.w.t. kepada hambanya yang telah berjaya menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan. Sabda Rasulullah s.a.w. : Bagi orang yang berpuasa itu akan dikurniakan dua kegembiraan, kegembiraan ketika `Aidil Fitri dan kegembiraan ketika bertemu Allah s.w.t.

Thursday, 18 September 2008

Takwin Syakhsiyah Muslim

Pembentukan peribadi mulia.

Individu muslim merupakan satu susunan binaan untuk pembinaan sebuah masyarakat seluruhnya. Untuk mendapat binaan yang kukuh, seharusnya ia smengikut segala tuntutan yang sebenar yang dianjurkan oleh Islam di dalam kehidupannya. Sentiasa berada di dalam inayah Islam dalam setiap peringkat kehidupannya yang tidak lari dari segala syariat-syariat Islam kerana ia merupakan asas kepada keluarga dan masyarakat. Apabila baik peribadi setiap individu itu maka baiklah sesebuah keluarga itu dan apabila baik sesebuah keluarga itu maka baiklah pula masyarakat dan ummah.

Pembentukan peribadi setiap individu itu dari sudut Islam, tidak lari dari empat faktor penting yang dipetik dari Al Quran, ia merupakan syarat penting untuk terlepas dari kecelakaan dan kerugian di dunia dan akhirat. Ia terangkum sekitar surah yang biasa kita dengar yang biasa kita gunakan iaitu surah Al Asr .

Firman Allah Taala :

والعصر(1)إن الإنسان لفي خسر(2)إلا الذين آمنوا وعملوا الصالحات وتواصوا بالحق وتواصوا بالصبر(3)

Syarat yang pertama untuk pembentukan peribadi mulia ialah Iman ( آمنوا ) yang merupakan asas pembinaan seluruhnya, ia merupakan perkara yang terpenting dan kedudukan yang sangat besar di dalam kehidupan manusia, ia dapat membina kedudukan dan memberi kesan yang tinggi kepada kehidupan individu dan masyarakat. Ia juga memberi pemikiran yang sahih serta membetulkan tasawwur sebenar insan terhadap dirinya, alam dan kehidupan, juga terhadap tuhan kepada alam, kehidupan dan insan itu sendiri. Jika sekiranya tasawwur ini rosak maka rosaklah kehidupan individu itu seluruhnya, rosak segala amalannya, rosak akhlak dan perhubungannya.

Sahnya tasawwur itu sekiranya setiap individu itu mereka tahu matlamat kewujudannya di muka bumi ini dan tahu akan tujuan kehidupannya. Semestinya mereka ini tahu tujuan dan matlamat kehidupan hidup di muka bumi ini kerana banyak kajian telah dilakukan oleh pakar pengkaji masyarakat dan didapati, kecelaruan hidup manusia hari ini berpunca daripada kegagalan manusia memahami hakikat mengapa mereka dihidupkan dan kurang memahami bagaimana mengurus kehidupan mereka dengan sempurna.

Firman Allah taala :
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِي(56)
Maksudnya : “Tidakku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaku”.

FirmanNya lagi :
إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً
Maksudnya: " Sesungguhnya Aku hendak menjadikan manusia itu sebagai khalifah di muka bumi ini ".

Tujuan manusia dijadikan oleh Allah adalah untuk “beribadah” kepada Nya. Bagaimana hendak melaksanakan tuntutan ini, maka Allah menyebut, bahawa Ia menjadikan manusia sebagai “Khalifah” di muka bumi ini. Bagaimana seorang khalifah/manusia ingin berperanan demi melaksanakan tuntutan beribadah kepada Allah? Sudah tentu ada kaedah dan tatacaranya yang boleh memandu manusia berbuat demikian. Ibadah dalam konteks yang luas bukan sekadar kita melaksanakan solat semata-mata, malahan ibadah merangkumi segala aspek perlakuan kita yang semata-mata dilakukan demi mencari keredhaan Allah. Apabila kita memahami hakikat ini, insyaalah setiap muslim itu boleh menyusun kehidupan mereka dengan lebih baik dan sempurna.

Syarat yang keduanya ialah amal soleh ( عملوا الصالحات ). Ia merupakan buah kepada keimanan itu sendiri. Iman itu bukanlah sekadar apa yang dapat dikesan oleh pemikiran dan tindak balas perasaan tetapi ia merupakan hakikat yang merangkumi secara menyeluruh baik dari segi makrifahnya, tindak balas mahupun tarikan yang membuatkan manusia ini melakukan perkara-perkara makruf dan meninggalkan kejahatan, beramal dengan perkara kebaikan ini amatlah dituntut oleh Islam.

Al Quran tidak menghadkan setiap kebaikan (الصالحات ) itu dengan sesuatu atau perkata tertentu sahaja dan juga tidak kepada gambaran yang terhad bahkan ia menggambarkan satu gambaran yang syumul, secara menyeluruh pada setiap apa yang baik bagi manusia itu dari segi dunia dan dirinya, peribadi dan masyarakat, juga baik dalam kehidupan mereka samada dari segi kebendaan dan kerohanian, ibadah dan muamalah ataupun dari segi adab dan akhlak. Al Quran juga menyarankan kita agar beramal pada setiap apa yang terkandung di dalamnya.

Sesunguhnya Allah Taala ketika mana ia memuliakan ilmu itu semestilah ianya di ikuti dengan beramal apa yang diketahui. Amal itu merupakan ketakwaan kepada Allah dan takut kepadaNya serta melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.
Berkata Sufian Al Thauri :
" إنما يتعلم ليتقى به الله , وإنما فضل العلم على غيره لأنه يتقى به الله ".

Sesungguhnya tidak bermaknalah setiap ilmu itu sekiranya ia tidak diserta amal dengannya. Tidakkah kita lihat firman Allah Taala dalam Al Quran :

مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًا بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ(5)

Ibnu Katheer berkata dalam tafsirnya bahawa ayat ini merupakan kecaman terhadap orang yahudi yang mana mereka ini dikurniakan kitab Taurat, dibawanya kepada mereka untuk beramal tetapi mereka tidak beramal dengannya, Allah Taala telah membuat perumpamaan kepada mereka seperti khimar membawa bendela iaitu seperti khimar, apabila membawa kitab sedangkan ia tidak tahu apa yang terkandung di dalamnya, ia membawanya dengan sia-sia tanpa tahu apakah yang terdapat di atasnya. Begitulah perumpamaan bagi mereka yang dikurniakan kepadanya kitab, mereka menghafal lafaz-lafaznya tetapi tidak cuba untuk memahaminya dan tidak beramal dengannya bahkan cuba untuk menyeleweng dan menukarkannya, mereka ini adalah lebih buruk keadaan daripada khimar kerana khimar memang tidak memahami apa-apa tetapi mereka ini faham tetapi tidak beramal dengannya.

Syarat yang ketiga pula ialah berpesan-pesan pada kebenaran (وتواصوا بالحق ), kalimah berpesan-pesan itu ( التواصي ) menunjukkan perkara yang dibuat di antara dua belah pihak iaitu setiap individu itu mestilah berpesan-pesan atau mengajak orang lain ke arah kebenaran dan ia menerima segala pesanan itu. Ini menunjukkan sesungguhnya Al Quran tidak menggambarkan keadaan mukmin itu melainkan dengan bermasyarakat yang saling mengambil dan memberi, bukannya sekadar sebagai rahib yang hanya duduk menyendiri di tempat sunyi serta terpisah dari masyarakat. Seharusnya kita menyeru masyarakat apa yang diketahui daripada kebenaran dan petunjuk sekiranya kita tidak mahu dikatogarikan sebagai mereka-mereka yang menyembunyikan apa yang diturunkan oleh Allah Taala yang terdiri dari petunjuk dan keterangan- keterangan sebagaimana firman Allah dalam surah A-li Imran :

وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَاقَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَتُبَيِّنُنَّهُ لِلنَّاسِ وَلَا تَكْتُمُونَهُ ...

Ertinya : Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu): "Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya".

Syed Qutb pernah berkata : “Sesungguhnya kerja-kerja dakwah dijalankan semata-mata untuk menuju kepangkuan Ilahi, bukan untuk kepentingan diri dan puak. Jadi seseorang individu itu tidak lain tidak bukan, hanyalah menunaikan kewajipan yang diamanahkan oleh Allah Taala. Bukanlah semata-mata ingin mencari populariti diri, bukan sekadar ingin memburu kemenangan melalui dakwah yang disampaikan; dan bukan semata-mata untuk kepentingan tertentu dari orang yang menjadi sasaran dakwahnya. Kita hanya dituntut supaya melaksanakan tugas dakwah dan menyerahkan balasan dan ganjaran amal kepada Allah sahaja”.

Menyeru kearah kebenaran ini merupakan perkara yang agak penting, lebih-lebih lagi ketika mana kita sekarang ini berada di kelompok masyarakat yang agak membimbangkan, di saat manusia hilang harga dirinya, maksiat berleluasa, hukum Allah menjadi bahan permainan. Kehilangan usaha dakwah ini membuka peluang kepada musuh-musuh Allah dan juga musuh-musuh kebaikan yang terdiri dari syaitan dan jin untuk menyebarkan kebatilan dan kefasadan mereka.

Tidak sempurna seseorang muslim itu hanya sekadar baik peribadinya sahaja, sempurna keimanannya, betul ibadahnya tetapi ia meletakkan kebenaran itu di tempat yang agak bawah, membiarkan kebatilan berleluasa, kebenaran terpinggir, kemungkaran teserlah sedangkan ia duduk diam tidak cuba untuk bergerak, tidak cuba untuk bersuara, tidak cuba untuk berjihad. Ingatlah ! sesungguhnya muslim itu semestinya hidup sebagai ‘tentera kebenaran’, beriman dengannya, menyukainya, menolongnya dan mengajak ke arahnya. Ia merupakan asas fardiah ‘amal makruf dan nahi mungkar’.

Syarat yang keempat pula ialah berpesan-pesan kepada kesabaran ( (وتواصوا بالصبرiaitu kesinambungan dari syarat yang ketiga. Setelah kita membawa risalah kebenaran semestinyalah kita akan menghadapi segala mehnah dan tribulasi yang mendatang, ini memerlukan kepada kesabaran yang sebenar-benarnya.
Berkata Lukman Al Hakim kepada anaknya :
يا بني أقم الصلاة وأمر بالنعروف وانه عن لامنكر واصبر على ما أصابك إن ذلك من عزم الأمور.
Maksudnya : “Wahai anakku, dirikanlah sembahyang, serulah kepada kebaikan dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu”.

Allah Taala menggesa hambanya agar sentiasa bersabar serta menguatkan kesabaran di dalam melakukan amal kebajikan, juga di medan pertempuran.
FirmanNya :
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ(200)
Ertinya : “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)”.

Menurut Ustaz Abdullah Naseh ‘Ulwan, ‘As-Sabr’ : kekuatan jiwa dan rohani yang menjadi benteng kepada individu itu dan membolehkannya menangkis, sebab-musabab yang membawa kepada lemah dan lumpuhnya keazaman, kelemahan diri, sewenangnya menyerah kalah. Jesteru itu, ia harus tabah, kukuh dan utuh serta meneguhkan pendirian dalam berhadapan dengan fitnah, godaan, mehnah dan tribulasi.

روى الشيخان عن النبي صلى الله عليه وسلم : يا أيها الناس لا تتمنوا لقاء العدو واسألوا الله تاعافية فإذا لقيتموهم فاصبروا واعلموا أن الجنة تحت ظلال السيوف.
Maksudnya : Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Rasulullah S.A.W : Wahai Manusia, janganlah kamu mencari musuh, pohonlah daripada Allah kesejahteraan. Akan tetapi, apabila kamu bertemu dengan musuh hendaklah kamu bersabar, ketahuilah bahawa syurga adalah di bawah bayangan mata pedang.

Ibnu Abbas menjelaskan : Sebahagian daripada hakikat Iman itu adalah sabar. Sabar adalah suatu kemestian dan ia merupakan sebahagian daripada Iman, manakala sebahagian yang lain adalah syukur. Sesiapa yang terdedah kepada tribulasi atau mendapat kesenangan, berada dalam kemiskinan atau kekayaan, maka perkara utama yang perlu mereka lakukan ialah bersabar dan redha, seterusnya ia hendaklah bersyukur. Hanya orang mukmin yang sebenar sahaja yang memiliki sifat-sifat ini. Segala urusan mereka adalah baik. Orang-orang yang sabar mendapat ganjaran yang tidak terhitung banyaknya dari Allah Taala manakala orang yang bersyukur mendapat penambahan dariNya.

Inilah empat syarat atau empat perkara yang perlu ada di dalam diri setiap individu yang ingin mengislah diri agar membentuk peribadi mulia yang terangkum di sekitar surah yang agak pendek iaitu surah Al Asr.

Bukanlah peribadi mulia itu hanya sekadar menyendiri beribadah di dalam gua, mencari kebahagian akhirat semata dan meninggalkan kehidupan dunia, tetapi mereka yang beramal untuk dua kehidupan dan mengumpulkan dua kebaikan iaitu kebaikan dunia dan akhirat.

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya :"Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka".
Sesiapa yang hanya sekadar mencari akhiratnya semata tanpa menunaikan hak dunianya, sesungguhnya ia telah menyalahi perintah Allah Taala agar mengimarahkan dunia ini.

إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً
Maksudnya: " Sesungguhnya Aku hendak menjadikan manusia itu sebagai khalifah di muka bumi ini ".


هُوَ أَنشَأَكُمْ مِنْ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا
Maksudnya : “Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya”.

Sesunguhnya ia zalim ke atas dunianya dan zalim pada dirinya sendiri.
Sabda Rasulullah S.A.W :

إن ِلبَدَنِكَ عليكَ حَقاًّ, وإن لأهلِكَ عليك حَقاًّ.
Maksudnya : “Sesungguhnya engkau mempunyai hak ke atas badan engkau dan engkau mempunyai hak ke atas ahli keluarga engkau”.

Firman Allah Taala :
قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنْ الرِّزْقِ
Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?”.

Sesiapa yang meletakan dunianya sebagai keinginan yang besar, sentiasa memikirkan tentang kemaslahatan dunia, perasaan dan pemikirannya sentiasa diselubungi oleh dunia, maka ia zalim dengan akhiratnya dan bakhil terhadap dirinya sendiri, tidak menghiraukan arah dan tujuan hidupnya.
Firman Allah taala :
فَأَمَّا مَنْ طَغَى(37)وَآثَرَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا(38)فَإِنَّ الْجَحِيمَ هِيَ الْمَأْوَى(39)
Maksudnya : “Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya); adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya),Serta ia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata,Maka sesungguhnya neraka Jahanamlah tempat kediamannya”.

Tidak syak lagi bahawa manusia ini mempunyai halatuju yang berbagai-bagai dan berbeza-beza bergantunglah, samada mereka terjun di dalam keseronokan dan syahwat dunia ataupun meningkat ciri-ciri keperibadian mereka kepada peribadi yang tinggi.

Kalau ditinggalkan manusia ini dengan tabiat dan naluri mereka sahaja nescaya darjat mereka lebih rendah dari binatang ataupun mereka akan terjerumus ke lembah kesesatan. Oleh itu pentingnya Ad Deen untuk menaikkan martabat mereka lebih tinggi dari malaikat seterusnya meletakkan mereka dari golongan yang bertakwa kepada Allah Taala.

Saturday, 12 July 2008

ASBABUN NUSRAH



Imam Al-Baihaqi mentakhrijkan dari jalan Al-Waqidy, dari Abu-Hurairah ra., dia berkata, "Aku ikut dalam perang Mu'tah. Ketika jarak antara kami dan orang-orang musyrik semakin dekat, kami bisa melihat jumlah pasukan yang amat banyak, membawa persenjataan lengkap, tameng, mengenakan pakaian sutra dan perhiasan emas.

Tsabit bin Arqam ra. berkata saat melihatku membelalakkan mata, "Wahai Abu Hurairah, sepertinya engkau sedang melihat pasukan yang besar." "Benar", jawabku. Dia berkata, "Engkau tidak bergabung bersama kami di Badr. Kami menang saat itu bukan karena jumlah kami yang banyak". (Al-Bidayah 4:244, Al-Ishabah 1:190)

Ahmad bin Marwan bin Maliky di dalam Al-Mujalasah, dari Abu Ishaq, dia berkata, "Tidak ada musuh yang bertahan lama jika berperang melawan para sahabat. Ketika Heraklius tiba di Anthokia setelah pasukan Romawi dikalahkan pasukan Muslimin, dia bertanya, "Beritahukan kepadaku tentang orang-orang yang menjadi lawan kalian dalam peperangan. Bukankah mereka manusia seperti kalian?"

Mereka menjawab, "Ya".

"Apakah kalian yang lebih banyak jumlahnya ataukah mereka?"

"Kamilah yang lebih banyak jumlahnya dimanapun kami saling berhadapan".

"Lalu mengapa kalian boleh dikalahkan?"

Seseorang yang dianggap paling tua menjawab, "Karena mereka biasa shalat di malam hari, berpuasa di siang hari, menepati janji, menyuruh kepada kebajikan, mencegah dari kemungkaran dan saling berbuat adil di antara sesamanya. Sementara kemi suka minum arak, berzina, melakukan hal-hal yang haram, melanggar janji, suka marah, berbuat semena-mena, menyuruh kepada kebencian, melarang hal-hal yang diridhai Allah dan berbuat kerusakan di bumi".

Heraklius berkata, "Engkau membuatku percaya".


Sebab Kemenangan

Umar ra. telah melantik Atbah bin Ghazwan sebagai panglima perang pasukan Muslimin di dalam peperangan melawan Parsi. Pada ketika itu beliau telah memberikan perintah.

"Senantiasalah menjaga ketaqwaan sedapat-dapatnya. Berhati-hatilah menjalankan keadilan apabila memberi keputusan. Kerjakan sholat pada waktu yang ditentukan dan berzikirlah memuji Allah sebanyak-banyaknya dan selalu".

Satu ketika terdapat seorang tawanan Romawi di dalam penjagaan orang-orang Islam. Terjadi satu keadaan dimana dia telah dapat meloloskan diri dan lari. Raja Heraklius bertanya kepadanya mengenai keadaan orang-orang Islam dengan mendalamnya supaya seluruh kehidupan mereka nampak jelas dihadapannya. tawanan ini juga melaporkan perkara yang sama dan menerangkan bahwa orang-orang itu adalah ahli ibadat diwaktu malam dan kesatria (da'i) disiang harinya. Orang-orang Islam itu juga tidak mengambil sesuatu walaupun daripada Dhimmi (orang-orang kafir yang dibawah lindungan mereka) tanpa membayar harganya dan apabila mereka berjumpa, mereka memberi dan menjawab salam. Heraklius menjawab dengan cepat dan tajam bahwasanya jikalau laporan itu benar dan tepat, maka mereka akan menjadi raja-raja bagi kerajaan Heraklius.

Heraklius mempunyai jumlah tentera yang sangat banyak sedangkan jumlah orang-orang Islam sangat terbatas. Amr bin al-'As ra. memberitahu Abu Bakar Siddiq ra. mengenai keadaan tersebut. Sebagai jawabannya Abu Bakar ra. menulis:
"Kamu orang-orang Islam tidak akan dapat dikalahkan karena jumlah yang kecil. Kamu pasti dapat dikalahkan walaupun mempunyai jumlah yang banyak melebihi jumlah musuh jikalau kamu terlibat didalam dosa-dosa".

Sunday, 18 May 2008

PERANAN GERAKAN DAKWAH DALAM MEMBINA MANHAJ ISLAMI

ISLAM merupakan satu landasan hidup. Beramal dengan Islam bererti melahirkan individu yang mencerminkan akidah dan akhlak Islam, melahirkan masyarakat yang berpegang teguh dengan pemikiran dan cara hidup (manhaj) yang dibawakan oleh Islam, menegakkan sebuah daulah atau pemerintahan yang melaksanakan Islam sebagai syariat perundangan, peraturan dan perlembagaan hidup serta memikul amanah dakwah yang menjadi petunjuk dalam menegakkan kebenaran dan keadilan.
Seluruh amal ini merupakan suatu tuntutan daripada syarak dan ia menjadi kewajipan ke atas setiap diri individu Muslim sehinggalah tertegaknya satu kuasa yang dapat mengendalikan tanggungjawab ini dan memelihara urusan kaum Muslimin sepenuhnya sebagaimana yang disebutkan oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud:
“(Iaitu) orang-orang yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberikan zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan” - (Al-Hajj: 41).
Beramal untuk Islam wajib dilihat dari sudut hukum kerana pelanggaran dan pencabulan ke atas syariat Allah di muka bumi telah mewajibkan umat Islam untuk bangun dan bekerja ke arah menegak serta mengembalikan semula tatacara hidup yang dibawakan oleh Islam. Amal ini tidaklah pula terbatas setakat itu, bahkan menjadi wajib ke atas setiap diri Muslim untuk bekerja supaya manusia seluruhnya tunduk mengabdikan diri kepada Allah di dalam iktikad keyakinan, akhlak dan sistem hidup mereka sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad), mereka (pada hakikatnya) belum lagi beriman hinggalah mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati suatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya” - (An-Nisa’ : 65).
Apabila menegakkan masyarakat Islam dan melaksanakan hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah itu wajib hukumnya, maka kerja-kerja yang membawa kepada kewujudan masyarakat Islam dan terlaksananya hukum Allah itu turut menjadi wajib berdasarkan kepada kaedah syarak; ”Sesuatu perkara yang tidak dapat disempurnakan sesuatu yang wajib melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib."
Tanggungjawab beramal dan bekerja untuk Islam ini sekiranya dilihat dari sudut kewajipan syarak adalah merupakan satu tanggungjawab ke atas setiap individu, iaitu sama seperti kewajipan-kewajipan dan tanggungjawab terhadap syariat yang lain. Justeru dalam membina kehidupan masyarakat dan memakmurkannya atas dasar kebenaran dan kebaikan, Islam meletakkan tanggungjawab tersebut mengikut batas dan kemampuan masing-masing, selama mana insan tersebut berada dalam keadaan baligh, berakal, sihat dan berkemampuan.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran, ia hendaklah mengubah dengan tangannya. Sekiranya tidak mampu (mengubah dengan tangan - kuasa), maka hendaklah ia mengubah dengan lidahnya (teguran dan nasihat), dan sekiranya tidak juga mampu, ia hendaklah mengubah dengan hatinya (yakni tidak rela dan benci dengan kemungkaran tersebut) dan demikian itu adalah selemah-lemah iman. Tidak ada lagi iman selepas tahap itu walaupun sebesar biji sawi.”
Dalam hadis lain Rasulullah selanjutnya bersabda lagi yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya Allah berfirman: Suruhlah (manusia) berbuat makruf dan cegahlah mereka dari kerja-kerja mungkar sebelum (tiba suatu waktu di mana) kamu meminta, Allah tidak lagi menerimanya, dan kamu memohon pertolongan lalu Allah tidak menolong kamu lagi.”
Oleh kerana beramal dan bekerja untuk Islam merupakan satu kewajipan individu dari sudut syarak, maka ia juga merupakan satu kewajipan secara jamaah (organisasi atau gerakan) dari sudut tanggungjawab dan perlaksanaannya.
Ini kerana sekiranya dilihat kepada tanggungjawab beramal dan bekerja untuk Islam itu, secara pasti tanggungjawab tersebut sangatlah berat untuk dipikul oleh orang perseorangan atau individu kerana matlamat utama amal Islami ialah meruntuh dan membebaskan diri daripada jahiliah hingga ke akar umbi.
Tugas berat ini sebenarnya menuntut pengorbanan yang tinggi, kemampuan dan kesungguhan yang tidak terbatas dan ini tidak mungkin mampu dipikul atau dilaksanakan oleh mana-mana individu sekalipun dengan memerah seluruh tenaga, kegigihan dan kesanggupan menghadapi segala dugaan dan rintangan.
Sebaliknya tanggungjawab ini hanya mampu dipikul atau dilaksanakan oleh satu perkumpulan atau pergerakan yang tersusun rapi (tanzim haraki), memiliki kadar kemampuan yang setimpal dari sudut kesedaran, penyusunan dan kekuatan dalam menghadapi suasana jahiliah yang wujud serta menyeluruh dari sudut kualiti dan kuantiti dalam menghadapi segenap peringkat amal, suasana persekitaran serta kemungkinan-kemungkinan perkara yang mendatang.
Bahkan terdapat dalil yang jelas dari al-Quran dan al-Sunnah yang menuntut supaya amal ini dilakukan secara perkumpulan atau jamaah yang tersusun kemas (tanzim haraki). Firman Allah yang bermaksud: “Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan takwa dan janganlah kamu tolong menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran” - (Al-Ma’idah: 2).
Sementara Rasulullah pula dalam sabdanya pernah menyebutkan: “Sesungguhnya serigala itu (musuh-musuh Islam) hanya akan dapat memakan kambing (umat Islam) yang tersisih dari kumpulannya.”
Berdasarkan kepada nas tersebut, nyatalah kewujudan gerakan dakwah (jamaah) untuk menegakkan kebenaran dan menentang arus kebatilan adalah merupakan suatu fardu dan wajib didokong atau disertai oleh seluruh umat Islam.
As-Syahid Syed Qutb dalam satu tulisannya pernah berkata, sesungguhnya masyarakat itu tidak akan dapat ditegakkan kecuali bila ada satu perkumpulan manusia (jamaah atau organisasi) yang mengakui pengabdian diri mereka sepenuhnya kepada Allah dan mereka tidak tunduk atau merendahkan diri ke peringkat yang sejajar dengan pengabdian itu kepada sesuatu apapun selain daripada Allah sama ada di dalam perkara iktikad, gambaran hidup atau lambang-lambang keagamaan dan tidak pula tunduk atau merendahkan diri kepada yang lain daripada Allah di dalam urusan peraturan hidup atau perundangan. Sebaliknya mereka bertindak menyusun hidup dengan dasar, asas pengabdian diri dan ketundukan yang sejati kepada Allah disamping membebaskan peraturan atau undang-undang hidup mereka daripada sebarang sumber pengambilan yang lain daripada Allah.
Daripada apa yang disebutkan oleh as-Syahid Syed Qutb itu nyatalah bahawa sebelum difikirkan kepada soal mewujudkan sistem masyarakat (manhaj) Islam, adalah perlu dititik beratkan dahulu kepada soal kebersihan atau keimanan pada setiap hati nurani si Muslim, di mana mereka mestilah membebaskan diri dari mengabdikan kepada yang lain daripada Allah, seterusnya bertindak dan berkumpul dalam satu pergerakan atau jamaah yang bebas dari dibelenggu oleh jahiliah serta ikatan kesyirikan dan kemunafikan. Ketika itu barulah perkumpulan atau jamaah itu menjadi sebuah pergerakan Islam dan pembentukan masyarakat hasil dari gerak dakwah tersebut barulah sah menjadi sebuah masyarakat Islam.
Wallahua'lam.

Thursday, 15 May 2008

Kontrak sosial (Malaysia)

Kontrak sosial di Malaysia merujuk kepada perjanjian oleh bapa-bapa kemerdekaan negara dalam Perlembagaan, dan merupakan penggantian beri-memberi atau quid pro quo melalui Perkara 14–18 yang berkenaan dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada orang-orang bukan Melayu, dan Perkara 153 yang memberikan hak istimewa rakyat kepada mereka daripada kaum bumiputera. Istilah ini juga kekadang digunakan untuk merujuk kepada bahagian-bahagian yang lain dalam Perlembagaan, seperti Perkara yang mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.
Dalam konteks biasa yang berkaitan dengan hubungan ras, kontrak sosial telah kerap kali dibidaskan, termasuk juga oleh ahli-ahli politik dalam kerajaan campuran Barisan Nasional yang menegaskan bahawa tidak habis-habis bercakap tentang hutang orang-orang bukan Melayu kepada orang-orang Melayu terhadap kewarganegaraan yang diberikan telah merenggangkan golongan-golongan bukan Melayu daripada negara mereka. Kritikan-kritikan seumpama ini telah ditentang oleh media Melayu dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti politik yang terbesar dalam Barisan Nasional. Banyak orang Melayu, biasanya daripada UMNO, telah mempergunakan kontrak sosial ini untuk mempertahankan prinsip Ketuanan Melayu.
Syarat-syarat kontrak
Perlembagaan Malaysia tidak merujuk kepada sebuah "kontrak sosial" (dari segi hak kewarganegaraan dan hak istimewa) secara ketara, dan tidak terdapat sebarang undang-undang atau dokumen yang pernah menjelaskan syarat-syarat kontrak sosial secara penuh. Pembela-pembelanya sering merujuk kepada Perlembagaan sebagai mengemukakan kontrak sosial, dan bapa-bapa kemerdekaaan juga bersetuju dengannya, walaupun rujukan kepada kontrak sosial tidak dibuat dalam Perlembagaan. Sebaliknya, kontrak sosial biasanya dianggap sebagai suatu persetujuan yang memberikan kewarganegaraan kepada orang-orang bukan Melayu dan bukan orang asli (kebanyakannya orang Malaysia Cina dan Malaysia India) sebagai ganti untuk pemberian hak keistimewaan kepada orang-orang Melayu dan orang-orang asli (dirujuk secara kolektif sebagai Bumiputera). Sebuah buku teks kajian Malaysia pendidikan tinggi yang menepati sukatan pelajaran kerajaan mengatakan: "Oleh sebab pemimpin-pemimpin Melayu bersetuju untuk melonggarkan syarat-syarat kewarganegaraan, pemimpin-pemimpin komuniti Cina dan India telah menerima kedudukan istimewa Melayu sebagai penduduk asli Malaya. Dengan penubuhan Malaysia, status kedudukan istimewa itu diperluas untuk merangkumi komuniti-komuniti penduduk asli Sabah dan Sarawak." [1]
Perlembagaan secara ketara memberikan tanah rizab Bumiputera, kuota dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, kuota untuk lesen perniagaan, dan kebenaran untuk memonopoli industri-industri yang tertentu, jika kerajaan membenarkan. Bagaimanapun pada hakikatnya, khususunya selepas pengenalan Dasar Ekonomi Baru Malaysia (NEP), akibat rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 ketika kaum Melayu hanya memiliki 4% daripada ekonomi Malaysia, hak-hak istimewa Bumiputera diperluas kepada bidang-bidang yang lain; kuota-kuota ditentukan untuk ekuiti Bumiputera dalam perbadanan awam, dan diskaun-diskaun sebanyak 5% hingga 15% untuk membeli kereta dan harta tanah diberikan.
Setengah-setengah orang mengatakan bahawa kecondongan terhadap orang-orang Melayu dalam pendidikan dan politik sebahagiannya merupakan tindak balas terhadap keupayaan orang-orang Malaysia Cina untuk memperoleh kebanyakan kekayaan negara itu. Bagaimanapaun, orang-orang Malaysia India boleh mengemukakan hujah bahawa merekalah yang mengalami kerugian yang paling banyak, walaupun ini boleh dipertikaikan.
Kerajaan ada mengundurkan sistem kuota untuk kemasukan ke universiti-universiti awam pada 2003 dan memperkenalkan dasar "meritokrasi". Bagaimanapun, sistem baru ini dikritik secara meluas oleh orang-orang bukan Bumiputera kerana hanya memanfaatkan kaum Bumiputera yang ditempatkan dalam rancangan matrikulasi yang menonjolkan kerja kursus yang agak mudah sedangkan orang-orang bukan Bumiputera terpaksa mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Walaupun secara teori, orang-orang bukan Bumiputra boleh masuk aliran matrikulasi, ini jarang berlaku pada hakikatnya. Meritokrasi juga dikritik oleh sebilangan pihak dalam UMNO sebagai berdiskriminasi kerana ia mengakibatkan orang-orang Melayu luar bandar terkebelakang dalam kadar kemasukan universiti.
Suruhanjaya Reid yang menyediakan kerangka Perlembagaan menyatakan dalam laporannya bahawa Perkara 153, tulang belakang kontrak sosial, adalah bersifat sementara, dan menyesyorkan bahawa ia dikaji semula 15 tahun selepas kemerdekaan. Suruhanjaya juga menyatakan bahawa perkara itu dan peruntukan-peruntukannya hanya diperlukan untuk mengelakkan keadaan tiba-tiba yang tidak menguntungkan kepada orang-orang Melayu dalam persaingan dengan ahli-ahli masyarakat Malaysia yang lain, dan hak-hak istimewa yang diberikan kepada orang-orang Melayu oleh perkara itu harus dikurangkan secara beransur-ansur dan akhirnya dihapuskan. Bagaimanapun, disebabkan Peristiwa 13 Mei yang menyebabkan pengisytiharan darurat, tahun 1972 yang merupakan tahun kajian semula Perkara 153 berlangsung tanpa sebarang peristiwa.
Menurut penyokong-penyokong kontrak sosial, sebagai balasan untuk enakmen peruntukan-peruntukan yang pada asalnya bersifat sementara, orang-orang Malaysia bukan Melayu diberikan kewarganegaraan di bawah Bab I Bahagian III dalam Perlembagaan. Kecuali hak-haki istimewa Bumiputera, orang-orang bukan Bumiputera dianggap sebagai sama saja dengan orang-orang Bumiputera dan diberikan semua hak kewarganegaraan di bawah Bahagian II dalam Perlembagaan. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, sebilangan orang telah mencuba untuk membekalkan warganegara-warganegara Melayu dengan lebih banyak hak politik menurut falsafah ketuanan Melayu. Kebanyakan penyokong ketuanan Melayu memperdebatkan bahawa hak-hak tambahan ini telah ditulis dalam undang-undang dan hanya perlu dipertahankan daripada pembangkang-pembangkang.
Apabila mengambil alih jawatan presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman (kemudian menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama) menyatakan bahawa "...apabila kami (orang-orang Melayu) menentang Malayan Union (yang menjejaskan kedudukan hak-hak orang Melayu), kaum-kaum lain tidak mengambil bahagian kerana mereka mengatakan ini hanya merupakan masalah Melayu, dan bukan masalah mereka. Mereka juga menunjukkan bahawa kesetiaan mereka adalah kepada negara-negara asal mereka dan oleh itu, menentang Laporan Barnes yang bertujuan untuk menjadikan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan. Jika kami menyerahkan orang-orang Melayu kepada orang-orang yang dikatakan orang Malaya ketika kerakyatan mereka masih belum ditakrifkan, kami akan menghadapi banyak masalah pada masa hadapan." Bagaimanapun, dia menambah bahawa "Bagai mereka yang mencintai dan berasi bahawa mereka terhutang kesetiaan yang tidak berbelah bagi, kami menyambut mereka sebagai orang Malaya. Mereka harus merupakan orang Malaya yang benar, dan mereka akan mempunyai hak-hak dan hak-hak istimewa yang sama dengan orang-orang Melayu." [2]
Kritikan awal
Artikel 153, dan diterangkan oleh kontrak sosial, telah merupakan satu sumber kontoversi semenjak hari-hari mula bagi Malaysia. Ahli politik Singapura, Lee Kuan Yew (kemudian menjadi Perdana Menteri Singapura) Parti Tindakan Rakyat (PAP; cawangannya di Malaysia kemudiannya menjadi Parti Tindakan Demokratik atau DAP) secara umumnya mempersoalkan keperluan Artikel 153 dalam Parliamen, dan menyeru satu "Malaysian Malaysia". Mempersoalkan kontrak sosial , Lee telah menyatakan: "Merujuk kepada sejarah, orang Melayu telah mula untuk berhijrah ke Malaysia dalam bilangan yang banyak hanya kira-kira 700 tahun yang lalu. Dalam 39 peratus orang Melayu di Malaysia hari ini, kira-kira sepertiga secara perbandingan hanya imigran seperti setiausaha agung UMNO, Dato' Syed Ja'afar Albar, yang datang ke Malaya dari Indonesia sebelum perang ketika berumur lebih tiga puluh tahun.

Sunday, 11 May 2008

IMAM AL-BANNA & TARIQAT SUFI


Hari-hari Di Damanhur.


Kehidupan saya di Damanhur adalah dalam kehidupan beribadat dan amalan sufi (tasawwuf). Kehidupan manusia terbahagi kepada beberapa peringkat (tahap). Salah satu peringkat itu ialah zaman selepas pemberontak Mesir iaitu dari tahun 1920 sehingga 1923 M. Saya berumur tidak lebih dari 14 tahun ketika itu. Ia merupakan tahap kehidupan di mana saya tenggelam dalam ibadat dan amalan sufi. Namun begitu hal ini tidak menyekat saya dari terlihat dalam kegiatan yang menyentuh kepentingan negara.


Apabila saya tiba di Damanhur, saya terpengaruh dengan Tariqat Sufi Hasafiah. Kubur pengasasnya, iaitu Syed Hasnain Al-Hasafi berada di Damanhur. Ketua kami di situ adalah Haji Hilmi Sulaiman, seorang yang bertaqwa dan wara’. Kerana itulah di antara saya dan beliau ada satu hubungan rohani yang khas. Sahabat Haji Hilmi ialah Syeikh Hasan Khiz Bik, seorang guru di Damanhur. Syeikh Hasan mengadakan majlis-majlis ilmu agama di rumahnya. Beliau memberi kuliah mengenai kitab Ihya’ Imam Ghazali di masjid Al-Jaisy sebelum solat subuh, dalam bulan Ramadhan. Haji Hilmi selalu membawa saya ke majlis-majlis tersebut. Saya mendapati diri saya seorang yang kerdil dibandingkan dengan mereka yang hadir di majlis itu kerana mereka terdiri daripada alim ulamak.

Bermalam di Masjid Al-Jaish (atau Surau Khathathibah).


Usia saya yang sangat muda tidak menghalang saya dari selalu mendampingi para ulamak terkemuka termasuklah guru guru Maktab saya dan juga beberapa ulamak lain. Para ulamak terkemuka ini selalu mendorong para pemuda seperti saya ini supaya jalan kebenaran Islam dan supaya sentiasa bertawakkal kepada Allah. Inilah di antara sebab-sebab yang menimbulkan minat dan mendorong saya kepada amalan amalan sufi.


Saya tidak lupa perbincangan-perbincangan panjang lebar antara kami dengan guru kami, Syeikh Abdul Fattah Abu Alam. Beliau mengajar kami ilmu Fiqh, tafsir Al-Quran dan Hadith. Perbincangan berlaku apabila ada bangkangan terhadap amalan-amalan sufi. Syeikh Abdul Fattah akan senyum apabila sesuatu perbincangan sudah selesai. Beliau selalu mengesyorkan supaya mendalami ilmu Fiqh, sejarah dan ilmu Tasawwuf agar saya sendiri dapat memahami kebenaran. Kebenaran tidak boleh didapati tanpa perbincangan dan pengajian. Walaupun pendapat saya dan Syeikh Abdul Fatah kerap kali berbeza, namun begitu beliau tetap baik kepada saya dan membimbing saya dengan ikhlas. Perbincangan perbincangan kami terhad kepada sudut mencari kebenaran dan mengemukakan dalil-dalil yang logik (munasabah).

Berziarah Berhubungan.


Apabila kami berada di Damanhur pada setiap kali hari Jumaat, kami akan menziarahi kubur-kubur para wali Allah. Kadang-kadang kami melawat Dasuk. Selepas solat subuh, kami berjalan kaki ke Dasuk dan sampai di sana pada pukul 8.00 pagi. Jaraknya ialah dua puluh kilometer dan memakan masa tiga jam untuk sampai. Kami menghadiahkan Fatihah di kubur wali di situ. Selepas itu, kami menunaikan solat Jumaat. Kemudian kami makan dan berehat sebentar. Selepas solat Asar, kami pun memulakan perjalanan pulang dan sampai ke Damanhur ketika hampir waktu Maghrib. Kadangkala kami pergi ke Azbatul Nawam untuk menziarahi makam Syeikh Syed Saniar. Beliau adalah seorang anggota Tariqat Hasafiyah yang terkemuka. Dia terkenal sebagai seorang yang bertaqwa dan wara’. Kami berada di sana seharian dan pulang pada waktu malam.


Hari Untuk Berdiam Diri (Mengasingkan Diri)


Kami menetapkan beberapa hari tertentu untuk kami bersenyap dan menjauhkan diri dari manusia. Dalam tempoh tersebut, kami tidak akan bercakap antara satu sama lain kecuali untuk berzikir atau membaca ayat-ayat suci al-Quran saja. Ketika amalan ini berjalan, para penuntut lain mengambil peluang mengusik kami. Kerap kali mereka pergi bertemu Pengetua atau beberapa orang guru lain untuk melaporkan bahawa ada penuntut telah menjadi bisu. Guru yang menerima laporan akan datang untuk menyiasat keadaan kami Sebagai jawapan, kami pun membaca beberapa ayat suci al-Quran. Beliau pun berpuas hati dan beredar dari situ. Guru kami, Syeikh Farhat Salim menghormati tindakan kami bersenyap diri dan beliau memarahi penuntut-penuntut yang cuba mengusik kami. Dia juga mengarah guru-guru lain supaya jangan mengganggu kami dengan soalan-soalan ketika kami sedang bersenyap diri. Para guru sedar bahawa kami melakukannya bukan untuk mengelakkan diri dari pengajian atau peperiksaan kerana kami selalu berjaya mengatasi para penuntut lain ketika menuntut dan dalam menghadapi peperiksaan. Kami menjalankan amalan itu untuk beberapa waktu tanpa menyiasat pendapat Syara’ mengenainya. Kami melaksanakan amalan tersebut untuk tempoh tertentu kerana hendak mengelakkan diri perkara sia-sia dan untuk membina kecekalan diri.Kadangkala perkara ini meruncing dan menimbulkan kebencian di kalangan manusia sehingga mendorong kami untuk bersendirian. Saya sendiri menerima banyak pucuk surat dari rakan-rakan semaktab tetapi saya tidak berani membaca surat surat itu. Saya bimbang nanti surat-surat itu mengandungi sesuatu yang boleh melukakan hati saya. Seorang ahli sufi sepatutnya bebas dari kebimbangan sedemikian rupa. Dia berkewajipan memutuskan hubungan dari semua benda kecuali Allah. Dia mesti berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan dasar ini.




bersambung........

Sunday, 27 April 2008

Hukum Menyertai Tariqat Sufiyah

Ditulis oleh Webmaster DUPP

Apakah hukumnya seseorang muslim itu terlibat dalam tarekat sufiah? Adakah tidak memadai kita menggunakan Al-Quran Al-Karim dan As-Sunnah An-Nabawiah semata-mata?
Seringkali saya terfikir untuk melibatkan diri dalam tarekat kesufian ini, tapi tidak ada pihak yang saya yakini untuk membuat rujukan. Semenjak diperkenalkan ruangan Mimbar Ulama' ini, saya terpanggil untuk mengemukakan soalan tersebut. Terima kasih.

Abdullah Abdul Rahman,
Negeri Sembilan.
-------------------------------------------------------------------------------------------------

Soalan yang dikemukakan ini agak hampir dengan satu soalan yang pernah dikemukakan kepada Mufti Kerajaan Mesir iaitu Prof. Dr. Ali Jumaah. Mimbar Ulama' akan cuba mengemukakan jawapan yang dinyatakan oleh beliau dan akan memberikan kesimpulannya, InsyaAllah.

Teks terjemahan:

Tasauf adalah manhaj tarbiyah ruhiyah dan sulukiyah yang mengangkat manusia kepada martabat ihsan yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW yang bermaksud : "Hendaklah kamu menyembah Allah seolah-olahnya kamu melihatnya, maka jika kamu tidak melihatnya maka sesungguhnya dia (Allah SWT) melihatmu".

Maka tasauf itu merupakan program pendidikan (tarbiyah) yang menitik beratkan penyucian jiwa daripada pelbagai penyakit yang mendindingi manusia daripada Allah SWT. Ia juga membetulkan penyelewengan jiwa dan sulukiyah manusia dalam hubungan bersama Allah SWT, bersama yang lain dan juga dengan diri sendiri.

Tarekat sufiah pula ialah sebuah madrasah yang menyempurnakan melaluinya penyucian jiwa dan pembentukan peribadi. Syeikh pula sebagai pembimbing atau guru yang bersama-sama dengan muridnya.

Jiwa manusia secara tabiatnya terangkum di dalamnya pelbagai himpunan penyakit seperti takabbur, ujub, angkuh, keakuan, bakhil, marah, riya', sukakan maksiat, berkelakuan tak senonoh, gemar membalas dendam, kebencian, dengki, khianat, tamak dan rakus.

Firman Allah SWT yang mendedahkan kisah isteri Al-Aziz:
وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي إِنَّ النَّفْسَ لأمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلا مَا رَحِمَ رَبِّي إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَحِيمٌ
Yang bermaksud : "Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". [Surah Yusuf: 53]

Kerana itulah, golongan terdahulu menginsafi hal ini dan menyedari betapa perlunya pentarbiyahan jiwa dan membersihkannya dari segala penyakit-penyakitnya agar (penyucian tersebut) bersekali dengan masyarakat serta mencapai kejayaan dalam perjalanan menuju tuhan mereka.

Tarekat sufiah hendaklah melengkapi dengan beberapa perkara.
Pertamanya ialah pegangan kukuh dengan kitab Al-Quran dan Sunnah Nabawiah. Ini kerana tarekat sufiah itu ialah manhaj kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Setiap perkara yang bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah maka ia bukan daripada tarekat. Bahkan tarekat itu sendiri menolaknya dan melarang daripadanya.

Kedua ialah tidak meletakkan tarekat itu sebagai pengajaran yang terpisah daripada pengajaran syariah, bahkan ia merupakan intisari kepada syariah.

Bagi tasauf terdapat tiga elemen utama yang digesa oleh Al-Quran akan ketiga-tiganya iaitu :

1-Menitikberatkan jiwa, sentiasa mengawasi jiwa (muraqabah) dan menyucikannya daripada sebarang kekotoran.

Firman Allah SWT:
وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا ، فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا ، قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا ، وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا
Yang bermaksud: "Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya". [Asy-Syams : 7-10]

2-Memperbanyakkan zikrullah.

Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا
Yang bermaksud : "Hai orang-orang yang beriman, berzdikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya". [Al-Ahzab: 41]
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sentiasakanlah lidahmu dalam keadaan basah mengingati Allah SWT".

3-Zuhud di dunia, tidak terikat dengan dunia dan gemarkan akhirat.

Firman Allah SWT:
وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَلَلدَّارُ الآخِرَةُ خَيْرٌ لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ أَفَلا تَعْقِلُونَ
Yang bermaksud : "Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?". (Al-Anaam : 32)

Adapun syeikh yang memperdengarkan kepada murid-muridnya akan zikir-zikir dan yang membantu usaha menyucikan jiwa dari sebarang kekotoran serta menyembuhkan hati mereka daripada penyakit-penyakit maka dia adalah penyelia (qayyim) atau seorang guru (ustaz) yang menunjukkan cara yang tertentu yang paling sesuai dengan penyakit yang ada atau keadaan murid itu sendiri.

Petunjuk Nabi SAW juga menasihatkan setiap manusia dengan perkara yang mendekatkan diri kepada Allah SWT berdasarkan kepada keadaan setiap jiwa yang berbeza. Pernah seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW, lalu dia berkata : Wahai Rasulullah ! Beritahu kepadaku tentang sesuatu yang menjauhkan diriku daripada kemurkaan Allah SWT. Maka sabda Rasulullah SAW : Jangan kamu marah !. Dalam kes yang lain, Rasulullah SAW didatangi seorang lelaki yang berkata kepada Rasulullah SAW : Beritahu kepadaku tentang sesuatu yang aku boleh berpegang dengannya ! Jawab Rasulullah SAW : Sentiasakanlah lidahmu dalam keadaan basah mengingati Allah SWT.

Di kalangan para sahabat terdapat golongan yang membanyakkan qiamullail, antara mereka juga yang memperbanyakkan bacaan Al-Quran, ada yang banyak terlibat dengan jihad, ada yang banyak berzikir dan ada yang membanyakkan bersedekah.
Perkara ini tidak membawa erti meninggalkan terus keduniaan. Tetapi di sana terdapat suatu ibadat tertentu yang memperbanyakkannya oleh orang yang melalui jalan menuju Allah SWT. Secara asasnya berbilang-bilangnya pintu-pintu syurga. Tetapi pada akhirnya walaupun ada kepelbagaian pintu masuk tetapi syurga tetap satu.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Setiap golongan yang melakukan amalan (baik dan soleh-ketaatan) ada satu pintu daripada pintu-pintu syurga yang memanggilnya oleh amalan, dan bagi puasa itu ada satu pintu yang memanggil golongan yang berpuasa, digelarkannya ar-rayyan".
Demikian juga tarekat-tarekat, ia mempunyai berbilang-bilang jenis berdasarkan syeikh masing-masing dan murid masing-masing. Antara mereka ada yang mengutamakan puasa, ada yang mengutamakan al-Quran lebih banyak dan tidak mengabaikan puasa dan demikianlah seterusnya.

Apa yang dijelaskan di atas adalah tasauf yang sebenarnya, tarekat yang sahih dan syeikh-syeikh yang komitmen dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Kita juga telah mengetahui kenapakah berbilang-bilangnya jenis tarekat, iaitu kerana kepelbagaian cara pentarbiyahan dan rawatan serta perbezaan cara untuk mencapai maksud yang dicita-citakan. Akan tetapi keseluruhannya satu sahaja pada maksud dan tujuan iaitulah keredhaan Allah SWT sebagai tujuan utama.
Kami juga ingin mengingatkan bahawa apa yang dinyatakan di atas tidak dilaksanakan oleh sebilangan besar golongan yang mendakwa sebagai ahli tasauf iaitu golongan yang merosakkan bentuknya. Mereka di kalangan orang yang tidak mempunyai agama dan kebaikan. Mereka yang melakukan tarian pada hari-hari perayaan dan melakukan amalan keghairahan yang khurafat. Ini semua bukan daripada tasauf dan bukan dari jenis tarekat sufiah. Sesungguhnya tasauf yang kami nyatakan tentangnya tiada hubungan langsung dengan pandangan kebanyakan manusia berhubung fenomena negatif yang memburukkan. Tidak harus juga bagi kita untuk mengenali tasauf dan menghukumkan ke atasnya dari kalangan sebahagian pendakwa-pendakwa tasauf yang jahil (yang mendakwa tarekat sebagai ajaran yang salah). Sepatutnya kita bertanyakan ulama' yang memilih tasauf sehingga kita memahami punca sanjungan mereka terhadap tasauf.

Untuk akhirnya, kami mengambil kesempatan ini untuk membantah pendapat golongan yang menyatakan : "Kenapakah tidak dipelajari adab-adab sulukiyah dan penyucian jiwa dari Al-Quran dan As-Sunnah secara langsung?".

Pendapat ini pada zahirnya terkandung rahmat. Tetapi pada hakikatnya terkandung azab. Ini kerana kita tidak mempelajari rukun sembahyang, sunat-sunat sembahyang dan perkara-perkara makruh dalam sembahyang dengan semata-mata melalui bacaan Al-Quran dan As-Sunnah. Tetapi kita mempelajarinya melalui suatu ilmu yang dikenali sebagai ilmu feqah.
Fuqaha' telah menyusunnya dan mengistinbatkan semua hukum-hakam tersebut daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Bagaimana pula lahirnya kepada kita mereka yang mendakwa bahawa kami mempelajari fiqh dan hukum agama daripada kitab dan sunnah secara langsung? Kami tidak pernah mendapati seorang ilmuan/ulama' yang mempelajari fiqh daripada kitab dan sunnah secara terus.

Demikian juga, di sana terdapat perkara yang tidak disebut oleh Al-Quran dan As-Sunnah. Tetapi tidak dapat tidak daripada mempelajarinya dengan guru secara musyafahah (secara berdepan atau mengadap guru).

Tidak boleh sekadar melalui kitab, sebagai contohnya ilmu tajwid. Bahkan mestilah beriltizam dengan mustalah-mustalah yang khusus dengannya. Maka ulama' menyatakan sebagai suatu contoh : "Mad Lazim enam harakat" ! Siapakah yang menjadikannya sebagai mad lazim? Apa dalilnya dan siapakah yang mewajibkannya ke atas ummat Islam? Tentunya mereka adalah ulama' dalam bidang tersebut.

Begitu juga dengan ilmu tasauf. Ilmu yang diasaskan oleh ulama'-ulama' tasauf sebermula zaman Junaid rahimahullah dari kurun yang keempat sehingga hari ini. Ketika rosaknya zaman tersebut dan rosaknya akhlak, rosaklah juga sebahagian tarekat-tarekat kesufian. Mereka mula bergantung dengan fenomena-fenomena yang bercanggah dengan agama Allah SWT. Lantas manusia menganggap ianya merupakan tasauf. Sedangkan Allah SWT akan mempertahankan tasauf, ahlinya dan melindungi mereka dengan kekuasaannya.

Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يُدَافِعُ عَنِ الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ كُلَّ خَوَّانٍ كَفُورٍ
Yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang telah beriman. Sesungguhnya Allah tidak menyukai tiap-tiap orang yang berkhianat lagi mengingkari nikmat". [Al-Hajj: 38]

Mudah-mudahan apa yang dinyatakan itu dapat memberikan pendedahan kepada erti tasauf, tarekat, syeikh, sebab berbilang-bilangnya tarekat, kenapa kita mempelajari suluk, penyucian hati dari ilmu yang dikenali sebagai tasauf ini, kenapa kita ambil dari syeikh dan tidak terus kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah.
Kita memohon kepada Allah untuk memperlihatkan secara jelas terhadap urusan-urusan agama kita.

(Tamat terjemahan teks asal berbahasa Arab)

Demikianlah terjemahan bebas daripada teks asal jawapan Sahibul Samahah Prof. Dr. Ali Jumuah, Mufti Kerajaan Negara Mesir yang dinaqalkan daripada Al-Bayan Lima Yashqholu Al-Azhan, cet. Al-Muqattam, Kaherah, hlm. 328-331.

Secara kesimpulannya, bagi hasrat baik saudara yang ingin melibatkan diri dalam tarekat kesufian ini, saudara hendaklah memastikan perjalanan atau program pentarbiyahan yang diperkenalkan oleh sesuatu tarekat itu tidak bercanggah dengan Al-Quran dan juga As-Sunnah An-Nabawiah.

Dalam konteks Malaysia, sebenarnya agak banyak dakwaan tarekat walhal sebenarnya ia adalah ajaran sesat. Justeru saudara perlu berhati-hati dan sering merujuk ulama' yang diiktiraf keilmuannya. Penyertaan dalam tarekat juga sepatutnya lebih menyemarakkan penglibatan dalam memartabatkan ketuanan Islam bukannya meruntuhkan ketuanannya seperti mendokong perjuangan Nasionalisme atau Sekularisme atau gerakan yang menentang perjuangan Islam.

Suasana pengamalan tarekat di Malaysia khususnya perlu diberikan perhatian bagi yang ingin menyertainya. Semestinya guru atau syeikh pemimpin tarekat itu merupakan seorang yang faqeh atau alim dalam bidang syariat dan aqidah. Bukannya seseorang yang hanya alim dalam bidang tasauf atau tarekat semata-mata. Ini kerana sebarang pengamalan beribadat dalam
agama hendaklah dipandu oleh Al-Quran dan juga As-Sunnah. Justeru, seorang guru yang alim tentang syariah, aqidah dan tasauf merupakan guru yang sepatutnya dipilih untuk membimbing kita.

Amat wajar jika saudara mengambil kesempatan yang ada dengan mendalami pengajian-pengajian agama secara berdisiplin mengikut kadar kemampuan yang ada pada saudara bagi meningkatkan pengetahuan agama serta tidak mudah untuk dipesongkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

Semoga hasrat baik saudara akan dibantu oleh Allah SWT.

Halaman Rujukan Semasa