Sunday 11 May 2008

IMAM AL-BANNA & TARIQAT SUFI


Hari-hari Di Damanhur.


Kehidupan saya di Damanhur adalah dalam kehidupan beribadat dan amalan sufi (tasawwuf). Kehidupan manusia terbahagi kepada beberapa peringkat (tahap). Salah satu peringkat itu ialah zaman selepas pemberontak Mesir iaitu dari tahun 1920 sehingga 1923 M. Saya berumur tidak lebih dari 14 tahun ketika itu. Ia merupakan tahap kehidupan di mana saya tenggelam dalam ibadat dan amalan sufi. Namun begitu hal ini tidak menyekat saya dari terlihat dalam kegiatan yang menyentuh kepentingan negara.


Apabila saya tiba di Damanhur, saya terpengaruh dengan Tariqat Sufi Hasafiah. Kubur pengasasnya, iaitu Syed Hasnain Al-Hasafi berada di Damanhur. Ketua kami di situ adalah Haji Hilmi Sulaiman, seorang yang bertaqwa dan wara’. Kerana itulah di antara saya dan beliau ada satu hubungan rohani yang khas. Sahabat Haji Hilmi ialah Syeikh Hasan Khiz Bik, seorang guru di Damanhur. Syeikh Hasan mengadakan majlis-majlis ilmu agama di rumahnya. Beliau memberi kuliah mengenai kitab Ihya’ Imam Ghazali di masjid Al-Jaisy sebelum solat subuh, dalam bulan Ramadhan. Haji Hilmi selalu membawa saya ke majlis-majlis tersebut. Saya mendapati diri saya seorang yang kerdil dibandingkan dengan mereka yang hadir di majlis itu kerana mereka terdiri daripada alim ulamak.

Bermalam di Masjid Al-Jaish (atau Surau Khathathibah).


Usia saya yang sangat muda tidak menghalang saya dari selalu mendampingi para ulamak terkemuka termasuklah guru guru Maktab saya dan juga beberapa ulamak lain. Para ulamak terkemuka ini selalu mendorong para pemuda seperti saya ini supaya jalan kebenaran Islam dan supaya sentiasa bertawakkal kepada Allah. Inilah di antara sebab-sebab yang menimbulkan minat dan mendorong saya kepada amalan amalan sufi.


Saya tidak lupa perbincangan-perbincangan panjang lebar antara kami dengan guru kami, Syeikh Abdul Fattah Abu Alam. Beliau mengajar kami ilmu Fiqh, tafsir Al-Quran dan Hadith. Perbincangan berlaku apabila ada bangkangan terhadap amalan-amalan sufi. Syeikh Abdul Fattah akan senyum apabila sesuatu perbincangan sudah selesai. Beliau selalu mengesyorkan supaya mendalami ilmu Fiqh, sejarah dan ilmu Tasawwuf agar saya sendiri dapat memahami kebenaran. Kebenaran tidak boleh didapati tanpa perbincangan dan pengajian. Walaupun pendapat saya dan Syeikh Abdul Fatah kerap kali berbeza, namun begitu beliau tetap baik kepada saya dan membimbing saya dengan ikhlas. Perbincangan perbincangan kami terhad kepada sudut mencari kebenaran dan mengemukakan dalil-dalil yang logik (munasabah).

Berziarah Berhubungan.


Apabila kami berada di Damanhur pada setiap kali hari Jumaat, kami akan menziarahi kubur-kubur para wali Allah. Kadang-kadang kami melawat Dasuk. Selepas solat subuh, kami berjalan kaki ke Dasuk dan sampai di sana pada pukul 8.00 pagi. Jaraknya ialah dua puluh kilometer dan memakan masa tiga jam untuk sampai. Kami menghadiahkan Fatihah di kubur wali di situ. Selepas itu, kami menunaikan solat Jumaat. Kemudian kami makan dan berehat sebentar. Selepas solat Asar, kami pun memulakan perjalanan pulang dan sampai ke Damanhur ketika hampir waktu Maghrib. Kadangkala kami pergi ke Azbatul Nawam untuk menziarahi makam Syeikh Syed Saniar. Beliau adalah seorang anggota Tariqat Hasafiyah yang terkemuka. Dia terkenal sebagai seorang yang bertaqwa dan wara’. Kami berada di sana seharian dan pulang pada waktu malam.


Hari Untuk Berdiam Diri (Mengasingkan Diri)


Kami menetapkan beberapa hari tertentu untuk kami bersenyap dan menjauhkan diri dari manusia. Dalam tempoh tersebut, kami tidak akan bercakap antara satu sama lain kecuali untuk berzikir atau membaca ayat-ayat suci al-Quran saja. Ketika amalan ini berjalan, para penuntut lain mengambil peluang mengusik kami. Kerap kali mereka pergi bertemu Pengetua atau beberapa orang guru lain untuk melaporkan bahawa ada penuntut telah menjadi bisu. Guru yang menerima laporan akan datang untuk menyiasat keadaan kami Sebagai jawapan, kami pun membaca beberapa ayat suci al-Quran. Beliau pun berpuas hati dan beredar dari situ. Guru kami, Syeikh Farhat Salim menghormati tindakan kami bersenyap diri dan beliau memarahi penuntut-penuntut yang cuba mengusik kami. Dia juga mengarah guru-guru lain supaya jangan mengganggu kami dengan soalan-soalan ketika kami sedang bersenyap diri. Para guru sedar bahawa kami melakukannya bukan untuk mengelakkan diri dari pengajian atau peperiksaan kerana kami selalu berjaya mengatasi para penuntut lain ketika menuntut dan dalam menghadapi peperiksaan. Kami menjalankan amalan itu untuk beberapa waktu tanpa menyiasat pendapat Syara’ mengenainya. Kami melaksanakan amalan tersebut untuk tempoh tertentu kerana hendak mengelakkan diri perkara sia-sia dan untuk membina kecekalan diri.Kadangkala perkara ini meruncing dan menimbulkan kebencian di kalangan manusia sehingga mendorong kami untuk bersendirian. Saya sendiri menerima banyak pucuk surat dari rakan-rakan semaktab tetapi saya tidak berani membaca surat surat itu. Saya bimbang nanti surat-surat itu mengandungi sesuatu yang boleh melukakan hati saya. Seorang ahli sufi sepatutnya bebas dari kebimbangan sedemikian rupa. Dia berkewajipan memutuskan hubungan dari semua benda kecuali Allah. Dia mesti berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan dasar ini.




bersambung........

No comments:

Halaman Rujukan Semasa