ISLAM merupakan satu landasan hidup. Beramal dengan Islam bererti melahirkan individu yang mencerminkan akidah dan akhlak Islam, melahirkan masyarakat yang berpegang teguh dengan pemikiran dan cara hidup (manhaj) yang dibawakan oleh Islam, menegakkan sebuah daulah atau pemerintahan yang melaksanakan Islam sebagai syariat perundangan, peraturan dan perlembagaan hidup serta memikul amanah dakwah yang menjadi petunjuk dalam menegakkan kebenaran dan keadilan.
Seluruh amal ini merupakan suatu tuntutan daripada syarak dan ia menjadi kewajipan ke atas setiap diri individu Muslim sehinggalah tertegaknya satu kuasa yang dapat mengendalikan tanggungjawab ini dan memelihara urusan kaum Muslimin sepenuhnya sebagaimana yang disebutkan oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud:
“(Iaitu) orang-orang yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberikan zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan” - (Al-Hajj: 41).
Beramal untuk Islam wajib dilihat dari sudut hukum kerana pelanggaran dan pencabulan ke atas syariat Allah di muka bumi telah mewajibkan umat Islam untuk bangun dan bekerja ke arah menegak serta mengembalikan semula tatacara hidup yang dibawakan oleh Islam. Amal ini tidaklah pula terbatas setakat itu, bahkan menjadi wajib ke atas setiap diri Muslim untuk bekerja supaya manusia seluruhnya tunduk mengabdikan diri kepada Allah di dalam iktikad keyakinan, akhlak dan sistem hidup mereka sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad), mereka (pada hakikatnya) belum lagi beriman hinggalah mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati suatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya” - (An-Nisa’ : 65).
Apabila menegakkan masyarakat Islam dan melaksanakan hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah itu wajib hukumnya, maka kerja-kerja yang membawa kepada kewujudan masyarakat Islam dan terlaksananya hukum Allah itu turut menjadi wajib berdasarkan kepada kaedah syarak; ”Sesuatu perkara yang tidak dapat disempurnakan sesuatu yang wajib melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib."
Tanggungjawab beramal dan bekerja untuk Islam ini sekiranya dilihat dari sudut kewajipan syarak adalah merupakan satu tanggungjawab ke atas setiap individu, iaitu sama seperti kewajipan-kewajipan dan tanggungjawab terhadap syariat yang lain. Justeru dalam membina kehidupan masyarakat dan memakmurkannya atas dasar kebenaran dan kebaikan, Islam meletakkan tanggungjawab tersebut mengikut batas dan kemampuan masing-masing, selama mana insan tersebut berada dalam keadaan baligh, berakal, sihat dan berkemampuan.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran, ia hendaklah mengubah dengan tangannya. Sekiranya tidak mampu (mengubah dengan tangan - kuasa), maka hendaklah ia mengubah dengan lidahnya (teguran dan nasihat), dan sekiranya tidak juga mampu, ia hendaklah mengubah dengan hatinya (yakni tidak rela dan benci dengan kemungkaran tersebut) dan demikian itu adalah selemah-lemah iman. Tidak ada lagi iman selepas tahap itu walaupun sebesar biji sawi.”
Dalam hadis lain Rasulullah selanjutnya bersabda lagi yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya Allah berfirman: Suruhlah (manusia) berbuat makruf dan cegahlah mereka dari kerja-kerja mungkar sebelum (tiba suatu waktu di mana) kamu meminta, Allah tidak lagi menerimanya, dan kamu memohon pertolongan lalu Allah tidak menolong kamu lagi.”
Oleh kerana beramal dan bekerja untuk Islam merupakan satu kewajipan individu dari sudut syarak, maka ia juga merupakan satu kewajipan secara jamaah (organisasi atau gerakan) dari sudut tanggungjawab dan perlaksanaannya.
Ini kerana sekiranya dilihat kepada tanggungjawab beramal dan bekerja untuk Islam itu, secara pasti tanggungjawab tersebut sangatlah berat untuk dipikul oleh orang perseorangan atau individu kerana matlamat utama amal Islami ialah meruntuh dan membebaskan diri daripada jahiliah hingga ke akar umbi.
Tugas berat ini sebenarnya menuntut pengorbanan yang tinggi, kemampuan dan kesungguhan yang tidak terbatas dan ini tidak mungkin mampu dipikul atau dilaksanakan oleh mana-mana individu sekalipun dengan memerah seluruh tenaga, kegigihan dan kesanggupan menghadapi segala dugaan dan rintangan.
Sebaliknya tanggungjawab ini hanya mampu dipikul atau dilaksanakan oleh satu perkumpulan atau pergerakan yang tersusun rapi (tanzim haraki), memiliki kadar kemampuan yang setimpal dari sudut kesedaran, penyusunan dan kekuatan dalam menghadapi suasana jahiliah yang wujud serta menyeluruh dari sudut kualiti dan kuantiti dalam menghadapi segenap peringkat amal, suasana persekitaran serta kemungkinan-kemungkinan perkara yang mendatang.
Bahkan terdapat dalil yang jelas dari al-Quran dan al-Sunnah yang menuntut supaya amal ini dilakukan secara perkumpulan atau jamaah yang tersusun kemas (tanzim haraki). Firman Allah yang bermaksud: “Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan takwa dan janganlah kamu tolong menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran” - (Al-Ma’idah: 2).
Sementara Rasulullah pula dalam sabdanya pernah menyebutkan: “Sesungguhnya serigala itu (musuh-musuh Islam) hanya akan dapat memakan kambing (umat Islam) yang tersisih dari kumpulannya.”
Berdasarkan kepada nas tersebut, nyatalah kewujudan gerakan dakwah (jamaah) untuk menegakkan kebenaran dan menentang arus kebatilan adalah merupakan suatu fardu dan wajib didokong atau disertai oleh seluruh umat Islam.
As-Syahid Syed Qutb dalam satu tulisannya pernah berkata, sesungguhnya masyarakat itu tidak akan dapat ditegakkan kecuali bila ada satu perkumpulan manusia (jamaah atau organisasi) yang mengakui pengabdian diri mereka sepenuhnya kepada Allah dan mereka tidak tunduk atau merendahkan diri ke peringkat yang sejajar dengan pengabdian itu kepada sesuatu apapun selain daripada Allah sama ada di dalam perkara iktikad, gambaran hidup atau lambang-lambang keagamaan dan tidak pula tunduk atau merendahkan diri kepada yang lain daripada Allah di dalam urusan peraturan hidup atau perundangan. Sebaliknya mereka bertindak menyusun hidup dengan dasar, asas pengabdian diri dan ketundukan yang sejati kepada Allah disamping membebaskan peraturan atau undang-undang hidup mereka daripada sebarang sumber pengambilan yang lain daripada Allah.
Daripada apa yang disebutkan oleh as-Syahid Syed Qutb itu nyatalah bahawa sebelum difikirkan kepada soal mewujudkan sistem masyarakat (manhaj) Islam, adalah perlu dititik beratkan dahulu kepada soal kebersihan atau keimanan pada setiap hati nurani si Muslim, di mana mereka mestilah membebaskan diri dari mengabdikan kepada yang lain daripada Allah, seterusnya bertindak dan berkumpul dalam satu pergerakan atau jamaah yang bebas dari dibelenggu oleh jahiliah serta ikatan kesyirikan dan kemunafikan. Ketika itu barulah perkumpulan atau jamaah itu menjadi sebuah pergerakan Islam dan pembentukan masyarakat hasil dari gerak dakwah tersebut barulah sah menjadi sebuah masyarakat Islam.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment