Sunday 27 April 2008

Hukum Menyertai Tariqat Sufiyah

Ditulis oleh Webmaster DUPP

Apakah hukumnya seseorang muslim itu terlibat dalam tarekat sufiah? Adakah tidak memadai kita menggunakan Al-Quran Al-Karim dan As-Sunnah An-Nabawiah semata-mata?
Seringkali saya terfikir untuk melibatkan diri dalam tarekat kesufian ini, tapi tidak ada pihak yang saya yakini untuk membuat rujukan. Semenjak diperkenalkan ruangan Mimbar Ulama' ini, saya terpanggil untuk mengemukakan soalan tersebut. Terima kasih.

Abdullah Abdul Rahman,
Negeri Sembilan.
-------------------------------------------------------------------------------------------------

Soalan yang dikemukakan ini agak hampir dengan satu soalan yang pernah dikemukakan kepada Mufti Kerajaan Mesir iaitu Prof. Dr. Ali Jumaah. Mimbar Ulama' akan cuba mengemukakan jawapan yang dinyatakan oleh beliau dan akan memberikan kesimpulannya, InsyaAllah.

Teks terjemahan:

Tasauf adalah manhaj tarbiyah ruhiyah dan sulukiyah yang mengangkat manusia kepada martabat ihsan yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW yang bermaksud : "Hendaklah kamu menyembah Allah seolah-olahnya kamu melihatnya, maka jika kamu tidak melihatnya maka sesungguhnya dia (Allah SWT) melihatmu".

Maka tasauf itu merupakan program pendidikan (tarbiyah) yang menitik beratkan penyucian jiwa daripada pelbagai penyakit yang mendindingi manusia daripada Allah SWT. Ia juga membetulkan penyelewengan jiwa dan sulukiyah manusia dalam hubungan bersama Allah SWT, bersama yang lain dan juga dengan diri sendiri.

Tarekat sufiah pula ialah sebuah madrasah yang menyempurnakan melaluinya penyucian jiwa dan pembentukan peribadi. Syeikh pula sebagai pembimbing atau guru yang bersama-sama dengan muridnya.

Jiwa manusia secara tabiatnya terangkum di dalamnya pelbagai himpunan penyakit seperti takabbur, ujub, angkuh, keakuan, bakhil, marah, riya', sukakan maksiat, berkelakuan tak senonoh, gemar membalas dendam, kebencian, dengki, khianat, tamak dan rakus.

Firman Allah SWT yang mendedahkan kisah isteri Al-Aziz:
وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي إِنَّ النَّفْسَ لأمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلا مَا رَحِمَ رَبِّي إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَحِيمٌ
Yang bermaksud : "Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". [Surah Yusuf: 53]

Kerana itulah, golongan terdahulu menginsafi hal ini dan menyedari betapa perlunya pentarbiyahan jiwa dan membersihkannya dari segala penyakit-penyakitnya agar (penyucian tersebut) bersekali dengan masyarakat serta mencapai kejayaan dalam perjalanan menuju tuhan mereka.

Tarekat sufiah hendaklah melengkapi dengan beberapa perkara.
Pertamanya ialah pegangan kukuh dengan kitab Al-Quran dan Sunnah Nabawiah. Ini kerana tarekat sufiah itu ialah manhaj kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Setiap perkara yang bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah maka ia bukan daripada tarekat. Bahkan tarekat itu sendiri menolaknya dan melarang daripadanya.

Kedua ialah tidak meletakkan tarekat itu sebagai pengajaran yang terpisah daripada pengajaran syariah, bahkan ia merupakan intisari kepada syariah.

Bagi tasauf terdapat tiga elemen utama yang digesa oleh Al-Quran akan ketiga-tiganya iaitu :

1-Menitikberatkan jiwa, sentiasa mengawasi jiwa (muraqabah) dan menyucikannya daripada sebarang kekotoran.

Firman Allah SWT:
وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا ، فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا ، قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا ، وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا
Yang bermaksud: "Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya". [Asy-Syams : 7-10]

2-Memperbanyakkan zikrullah.

Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا
Yang bermaksud : "Hai orang-orang yang beriman, berzdikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya". [Al-Ahzab: 41]
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sentiasakanlah lidahmu dalam keadaan basah mengingati Allah SWT".

3-Zuhud di dunia, tidak terikat dengan dunia dan gemarkan akhirat.

Firman Allah SWT:
وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَلَلدَّارُ الآخِرَةُ خَيْرٌ لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ أَفَلا تَعْقِلُونَ
Yang bermaksud : "Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?". (Al-Anaam : 32)

Adapun syeikh yang memperdengarkan kepada murid-muridnya akan zikir-zikir dan yang membantu usaha menyucikan jiwa dari sebarang kekotoran serta menyembuhkan hati mereka daripada penyakit-penyakit maka dia adalah penyelia (qayyim) atau seorang guru (ustaz) yang menunjukkan cara yang tertentu yang paling sesuai dengan penyakit yang ada atau keadaan murid itu sendiri.

Petunjuk Nabi SAW juga menasihatkan setiap manusia dengan perkara yang mendekatkan diri kepada Allah SWT berdasarkan kepada keadaan setiap jiwa yang berbeza. Pernah seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW, lalu dia berkata : Wahai Rasulullah ! Beritahu kepadaku tentang sesuatu yang menjauhkan diriku daripada kemurkaan Allah SWT. Maka sabda Rasulullah SAW : Jangan kamu marah !. Dalam kes yang lain, Rasulullah SAW didatangi seorang lelaki yang berkata kepada Rasulullah SAW : Beritahu kepadaku tentang sesuatu yang aku boleh berpegang dengannya ! Jawab Rasulullah SAW : Sentiasakanlah lidahmu dalam keadaan basah mengingati Allah SWT.

Di kalangan para sahabat terdapat golongan yang membanyakkan qiamullail, antara mereka juga yang memperbanyakkan bacaan Al-Quran, ada yang banyak terlibat dengan jihad, ada yang banyak berzikir dan ada yang membanyakkan bersedekah.
Perkara ini tidak membawa erti meninggalkan terus keduniaan. Tetapi di sana terdapat suatu ibadat tertentu yang memperbanyakkannya oleh orang yang melalui jalan menuju Allah SWT. Secara asasnya berbilang-bilangnya pintu-pintu syurga. Tetapi pada akhirnya walaupun ada kepelbagaian pintu masuk tetapi syurga tetap satu.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Setiap golongan yang melakukan amalan (baik dan soleh-ketaatan) ada satu pintu daripada pintu-pintu syurga yang memanggilnya oleh amalan, dan bagi puasa itu ada satu pintu yang memanggil golongan yang berpuasa, digelarkannya ar-rayyan".
Demikian juga tarekat-tarekat, ia mempunyai berbilang-bilang jenis berdasarkan syeikh masing-masing dan murid masing-masing. Antara mereka ada yang mengutamakan puasa, ada yang mengutamakan al-Quran lebih banyak dan tidak mengabaikan puasa dan demikianlah seterusnya.

Apa yang dijelaskan di atas adalah tasauf yang sebenarnya, tarekat yang sahih dan syeikh-syeikh yang komitmen dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Kita juga telah mengetahui kenapakah berbilang-bilangnya jenis tarekat, iaitu kerana kepelbagaian cara pentarbiyahan dan rawatan serta perbezaan cara untuk mencapai maksud yang dicita-citakan. Akan tetapi keseluruhannya satu sahaja pada maksud dan tujuan iaitulah keredhaan Allah SWT sebagai tujuan utama.
Kami juga ingin mengingatkan bahawa apa yang dinyatakan di atas tidak dilaksanakan oleh sebilangan besar golongan yang mendakwa sebagai ahli tasauf iaitu golongan yang merosakkan bentuknya. Mereka di kalangan orang yang tidak mempunyai agama dan kebaikan. Mereka yang melakukan tarian pada hari-hari perayaan dan melakukan amalan keghairahan yang khurafat. Ini semua bukan daripada tasauf dan bukan dari jenis tarekat sufiah. Sesungguhnya tasauf yang kami nyatakan tentangnya tiada hubungan langsung dengan pandangan kebanyakan manusia berhubung fenomena negatif yang memburukkan. Tidak harus juga bagi kita untuk mengenali tasauf dan menghukumkan ke atasnya dari kalangan sebahagian pendakwa-pendakwa tasauf yang jahil (yang mendakwa tarekat sebagai ajaran yang salah). Sepatutnya kita bertanyakan ulama' yang memilih tasauf sehingga kita memahami punca sanjungan mereka terhadap tasauf.

Untuk akhirnya, kami mengambil kesempatan ini untuk membantah pendapat golongan yang menyatakan : "Kenapakah tidak dipelajari adab-adab sulukiyah dan penyucian jiwa dari Al-Quran dan As-Sunnah secara langsung?".

Pendapat ini pada zahirnya terkandung rahmat. Tetapi pada hakikatnya terkandung azab. Ini kerana kita tidak mempelajari rukun sembahyang, sunat-sunat sembahyang dan perkara-perkara makruh dalam sembahyang dengan semata-mata melalui bacaan Al-Quran dan As-Sunnah. Tetapi kita mempelajarinya melalui suatu ilmu yang dikenali sebagai ilmu feqah.
Fuqaha' telah menyusunnya dan mengistinbatkan semua hukum-hakam tersebut daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Bagaimana pula lahirnya kepada kita mereka yang mendakwa bahawa kami mempelajari fiqh dan hukum agama daripada kitab dan sunnah secara langsung? Kami tidak pernah mendapati seorang ilmuan/ulama' yang mempelajari fiqh daripada kitab dan sunnah secara terus.

Demikian juga, di sana terdapat perkara yang tidak disebut oleh Al-Quran dan As-Sunnah. Tetapi tidak dapat tidak daripada mempelajarinya dengan guru secara musyafahah (secara berdepan atau mengadap guru).

Tidak boleh sekadar melalui kitab, sebagai contohnya ilmu tajwid. Bahkan mestilah beriltizam dengan mustalah-mustalah yang khusus dengannya. Maka ulama' menyatakan sebagai suatu contoh : "Mad Lazim enam harakat" ! Siapakah yang menjadikannya sebagai mad lazim? Apa dalilnya dan siapakah yang mewajibkannya ke atas ummat Islam? Tentunya mereka adalah ulama' dalam bidang tersebut.

Begitu juga dengan ilmu tasauf. Ilmu yang diasaskan oleh ulama'-ulama' tasauf sebermula zaman Junaid rahimahullah dari kurun yang keempat sehingga hari ini. Ketika rosaknya zaman tersebut dan rosaknya akhlak, rosaklah juga sebahagian tarekat-tarekat kesufian. Mereka mula bergantung dengan fenomena-fenomena yang bercanggah dengan agama Allah SWT. Lantas manusia menganggap ianya merupakan tasauf. Sedangkan Allah SWT akan mempertahankan tasauf, ahlinya dan melindungi mereka dengan kekuasaannya.

Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يُدَافِعُ عَنِ الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ كُلَّ خَوَّانٍ كَفُورٍ
Yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang telah beriman. Sesungguhnya Allah tidak menyukai tiap-tiap orang yang berkhianat lagi mengingkari nikmat". [Al-Hajj: 38]

Mudah-mudahan apa yang dinyatakan itu dapat memberikan pendedahan kepada erti tasauf, tarekat, syeikh, sebab berbilang-bilangnya tarekat, kenapa kita mempelajari suluk, penyucian hati dari ilmu yang dikenali sebagai tasauf ini, kenapa kita ambil dari syeikh dan tidak terus kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah.
Kita memohon kepada Allah untuk memperlihatkan secara jelas terhadap urusan-urusan agama kita.

(Tamat terjemahan teks asal berbahasa Arab)

Demikianlah terjemahan bebas daripada teks asal jawapan Sahibul Samahah Prof. Dr. Ali Jumuah, Mufti Kerajaan Negara Mesir yang dinaqalkan daripada Al-Bayan Lima Yashqholu Al-Azhan, cet. Al-Muqattam, Kaherah, hlm. 328-331.

Secara kesimpulannya, bagi hasrat baik saudara yang ingin melibatkan diri dalam tarekat kesufian ini, saudara hendaklah memastikan perjalanan atau program pentarbiyahan yang diperkenalkan oleh sesuatu tarekat itu tidak bercanggah dengan Al-Quran dan juga As-Sunnah An-Nabawiah.

Dalam konteks Malaysia, sebenarnya agak banyak dakwaan tarekat walhal sebenarnya ia adalah ajaran sesat. Justeru saudara perlu berhati-hati dan sering merujuk ulama' yang diiktiraf keilmuannya. Penyertaan dalam tarekat juga sepatutnya lebih menyemarakkan penglibatan dalam memartabatkan ketuanan Islam bukannya meruntuhkan ketuanannya seperti mendokong perjuangan Nasionalisme atau Sekularisme atau gerakan yang menentang perjuangan Islam.

Suasana pengamalan tarekat di Malaysia khususnya perlu diberikan perhatian bagi yang ingin menyertainya. Semestinya guru atau syeikh pemimpin tarekat itu merupakan seorang yang faqeh atau alim dalam bidang syariat dan aqidah. Bukannya seseorang yang hanya alim dalam bidang tasauf atau tarekat semata-mata. Ini kerana sebarang pengamalan beribadat dalam
agama hendaklah dipandu oleh Al-Quran dan juga As-Sunnah. Justeru, seorang guru yang alim tentang syariah, aqidah dan tasauf merupakan guru yang sepatutnya dipilih untuk membimbing kita.

Amat wajar jika saudara mengambil kesempatan yang ada dengan mendalami pengajian-pengajian agama secara berdisiplin mengikut kadar kemampuan yang ada pada saudara bagi meningkatkan pengetahuan agama serta tidak mudah untuk dipesongkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

Semoga hasrat baik saudara akan dibantu oleh Allah SWT.

Friday 18 April 2008

Cerpan Dakwah 1

By Ukht PR
Adib menggerakkan kesepuluh jarinya ke belakang, menyisir rambut di kepala. Ikalnya seketika kusut. Wajahnya pula sedikit sugul. Satu helaan nafas panjang, menandakan kegelisahan hatinya, juga tatapan mata yang hanya berputar-putar tanpa ada titik perhatian yang bererti.
“ Aku penat, Muaz”, keluh Adib.Muaz, sahabat baik Adib yang sekarang menjadi ‘tong sampah’ menatap Adib dengan kasihan.“ Kau menyesal?”tanya Muaz.Adib mengangkat wajahnya. Matanya menerawang sesaat. Ragu.“ Entahlah. Kalau ya sekalipun…untuk apa lagi? Aku tidak mungkin akan meninggalkannya. Semua orang akan mentertawakanku, menghinaku”, keluh Adib lagi. “ Aku…”
“ Dia pilihan kau sendiri. Aku masih ingat lagi, kau cakap…kau terlanjur menaruh hati. Kamu berdua terlalu dekat. Sebab tu kau nak sangat berkahwin dengan dia. Malah kau berusaha sungguh-sungguh agar dia akrab dengan akhawat-akhawat yang sudah sekian lama berkecimpung dalam dakwah. Kau mengharap sangat dia menjadi seperti mereka, minimum mungkin, dan mula faham dunia itu. Kau juga menolak keras ketika aku dan juga sahabat-sahabat kita yang lain, bahkan ustaz sendiri, menawarkan pilihan lain”, Muaz seolah-olah mengingatkan kembali peristiwa itu.“ Ya, aku tidak lupa semua tu. Habis macam mana? Kami dah lama kenal, sama-sama menjadi ahli jawatankuasa belia kat kampung kami tu, dan terlanjur hubungan kami pula terlalu akrab. Malah aku terlanjur bertanya tentang kesudiannya menjadi pendampingku. Dia pula tidak menolak. Keluarganya pula sudah tahu kalau aku ni berniat untuk itu. Mereka tidak lagi menganggap kami ini sekadar teman biasa, tapi lebih dari itu. Habis…kalau aku berkahwin dengan orang lain macam mana pula…”, Adib menisir rambutnya lagi.
Muaz semakin kasihan. Ah, satu pelajaran paling berharga untuknya yang masih belum menggenapkan dien. Jangan sebarangan melakukan hubungan dengan perempuan, lebih-lebih lagi memberikan harapan. Yang jelas jangan sebarang memilih pasangan.Adib sudah mendirikan rumah tangga. Isterinya walaupun bertudung rapi, namun bukanlah seorang yang faham tentang dinamika dakwah dan pergerakannya. Dia tidak mampu memahami segala kesibukan suaminya yang kadang-kadang perlu pulang lewat malam malah kadang-kadang perlu menginap di tempat lain. Dia juga sukar diajak ke program-program dakwah yang digerakkan oleh bekas aktivis dakwah kampus. Malah dia tidak suka berbual soal fenomena dan keadaan dakwah apatah lagi tentang permasalahan umat. Itulah yang Adib keluhkan ketika ini. Dia berasa bosan dan penat untuk berhadapan dengan semua itu.“ Kau ni pelik”, rungut Muaz.“ Maksud kau”, kening tebal Adib bertemu seolah-olah pelik dengan kata-kata Muaz.“ Sepatutnya bila kau dah tahu ini jadinya, kenapa pula kau nak mengeluh sekarang? Tugas dan tanggungjawab kaulah nak memahamkan dia, nak fahamkan dunia dakwah kau tu”, tegas Muaz.Adib menghela nafas panjang. Dia juga tahu semua itu. Tetapi sekarang tugas tersebut terasa begitu berat dan terlalu membebaninya. Wahida bukanlah isteri yang tidak cekap mengurus rumah tangga, juga bukan seorang yang suka membangkang. Cuma dia hanya berasa cukup dengan itu sahaja. Padahal Adib mahukan isterinya berubah. Dia mahukan isterinya seperti akhawat-akhawat yang dia kenal, yang mempunyai visi tentang dakwah, aktif, dan sudah pasti mampu berkomunikasi dengannya tentang permasalahan dakwah.“ Kau tak kasihankan aku ke, Muaz? Ketika ikhwah-ikhwah lain sudah bergerak ke sana ke mari, aku masih lagi perlu menjelaskan pada Wahida, mengapa aku perlu begini. Ketika kamu semua sedang sibuk membangunkan mimpi, aku masih lagi terkujat dengan partnerku yang juga kuajak membangun mimpi. Seandainya…”
“ Seandainya kau berkahwin dengan akhawat yang memahami, yang se idea, jelas kau tidak perlu melakukan semua itu. Malah boleh jadi, isteri kau membuatkan kau semakin laju. Begitu?” Muaz terus menyambung kalimat Adib yang tergantung.“ Ya. Bukan fikiran yang salah, kan? Kesempatanku masih ada lagi tiga kali”, kata Adib dengan nada putus asa.Muaz menggeleng-gelengkan kepalanya.“ Ta’adud bukan pelarian. Dalam keadaan sebegini, aku sangsi kau tidak mampu berlaku adil. Lupakan semua itu dulu”, tegur Muaz. Sekumpulan akhawat melintas di hadapan mereka. Kata-kata ustaz ketika dia mengkhabarkan tentang perkahwinannya, seketika terngiang-ngiang di telinga Adib.“ Mengapa dia? Antum mahukan akhawat yang macam mana? Insya Allah ana akan carikan. Yang kaya? Yang cantik? Yang cerdas? Yang sudah bekerja?” tanya ustaz.“ Afwan, ustaz, Saya sudah ada pilihan”, tegas Adib.“ Akh Adib…akhawat kita yang sudah berumur dan sudah bersedia berkahwin, ramai. Mereka menunggu kamu semua, para ikhwah. Antum tahu, secara kuantitinya, perkembangan kader ikhwah dan akhawat, selalunya lebih ramai di kalangan akhawat. Sebab itu…seharusnya setiap ikhwah bersedia untuk berkahwin dengan mereka”, jelas ustaz sabar.“ Wahida memang tidak seperti akhawat-akhawat lain, tapi dia sangat baik”, jelas Adib.
Ustaz tersenyum. Beginilah kalau terlalu mengikutkan hati.“ Ana tidak menolak itu semua. Tetapi sebuah rumah tangga dakwah harakiyah, memerlukan lebih dari sekadar baik. Baik sahaja tidak cukup. Isteri antum perlu orang yang faham konsep tersebut. Dia sentiasa bersiap sedia bersama antum di dalam dakwah dan pergerakan. Malah dia bersedia menanggung beban dan pengorbanan. Ini bukan dalam tempoh masa setahun dua tahun, Akh. Proses membentuk karakter seperti ini juga memerlukan waktu yang panjang. Antum perlu menyediakan sesuatu input dan waktu khusus untuk membawa isteri antum ke sana. Entah berapa lama. Jadi…mengapa tidak menikahi sahaja yang sudah jelas kualitinya?” desak ustaz.“ Afwan ustaz. Sekali lagi, saya sudah menetapkan pilihan. Saya datang ke mari bukan untuk minta pertimbangan tetapi sekadar pemberitahuan”, tegas Adib.Sekarang? Kata-kata ustaz terbukti sudah.
Walaupun Adib yakin ustaz tidak mengolok-olokkan dia, malah dia mahu membantu, tetapi Adib tidak ada keberanian untuk datang dan menceritakan masalahnya. Rasanya…seperti tidak tahu mahu letak mukanya di mana. Sebab itu dia mencari Muaz.“ Kalau kau tak terlalu mengikut perasaan dan berfikir labih jauh, juga mempunyai keberanian, kamu mampu sahaja mebatalkan pinangan tidak rasmi kamu tu dulu.kau bagitau sajalah kau dah ada kriteria tertentu tentang calon isteri, ya memang agak risiko. Tapi itu akan seiring berjalannya waktu. Yang jelas kamu bukan seperti sekarang”, Muaz berandai-0andai.“ Muaz, itu cerita lama. Sekarang ni aku mahukan penyelesaian untuk keadaan diriku sekarang!”, ujar Adib kecewa.Muaz ketawa. Hati Adib benar-benar menjadi marah.Deringan telefon berbunyi membuatkan Adib tersentak seketika. Wajahnya berubah tiba-tiba ketika menatap skrin telefonnya.“ Waalaikumusslam. Abang dengan Muaz ni. Kenapa? Ya, lepas abang selesaikan urusan abang, abang kan balik. Walaikumusslam”, Adib mengakhiri perbualannya.“ Siapa? Isteri kau ye?”tanya Muaz.Adib mengangguk.“ Dia selalu saja mahu tahu ke mana aku pergi. Manja. Mahu aku ni bersama dengan dia je”, keluh Adib.“ Kau ni mengeluh lagi. Bagaimana dengan cinta yang dulu yang kau jadikan alasan? Kau masih mencintainya, kan? Begitu juga dia?” pancing Muaz.
Adib tersenyum samar. Cinta. Benarkah? Apakah dulu layak disebut cinta? Jangan-jangan hanya sekadar suka. Yang ada waktunya itu hanya perasaan ingin menjadikan orang yang setiap ketika dia mendekati. Bisa ia dipandangi. Entah apa itu namanya.“ Jangan bicara soal cinta. Aku juga sedang mencarinya”, jelas Adib pasrah.Suara azan Asar mengejutkan kedua-duanya. Muaz menepuk bahu Adib, mengajaknya segera solat. Semoga selesai menghadapNya, mereka mampu melihat jalan keluar dan titik yang lebih terang dalam permasalahan ini. Ternyata selepas solat, Adib mengambil keputusan untuk pulang. Dia tidak mahu isterinya merajuk kerana terlalu lama menunggu. Dalam keadaan normal, Adib biasa pulang darin pejabatnya pukul satu, bertepatan dengan waktu makan. Muaz hanya mengangkat bahunya.“ Kalau kau masih mahu menceritakan masalah kau, aku bersedia untuk mendengarnya, Adib! ", Jerit Muaz ketika motorsikal Adib laju meninggalkan halaman masjid. Adib hanya melambaikan tangan.Malam berjalan menuju separuhnya. Suara cengkerik dan sesekali selaan bunyi burung hantu, menimbulkan suasana khas yang terkadang menegangkan. Adib menyandar ke dinding, menatap sosok tubuh yang sedang nyenyak tidur.Wajah itu belum banyak berubah. Juga senyumannya. Sesuatu yang sempat menggetarkan perasaan Adib. Bahkan menimbulkan keinginannya untuk selalu menatap. Sekarang? Entahlah. Padahal, mereka baru sahaja berkahwin diua tahun.
Mungkinkah kerana Wahida tidak lagi berubah seperti yang diharapkan? Atau Adib mula penat dengan semua hal yang dia fikir mampu dimaklumkan? Atau….Adib mula putus harapan? Bukankah dia sering iri hati ketika melihat pasangan ikhwah dan akhawat yang bersemangat datang ke program-program meraka. Juga ketika melihat ummahat yang aktif menguruskan yayasan, lembaga, atau sarana dakwah lainnya. Oh, bahkan dia sempat bergetar perasaannya ketika bekerja sama dengan akhawat yang masih bujang, ketika sama-sama menguruskan beberapa kerja dalam program dakwah. Kadang-kadang dia rasa macam mahu menutup telingannya ketika teman-teman sepengajiannya bercerita tentang dinamika rumah tangga mereka yang tidak pernah terlepas dari dakwah dan ibadah. Adib mengeleng-geleng.Resah.Ditatapnya wajah Wahida kembali. Wajah yang sering mengundang rasa sayang. Perasaan yang tidak pernah tega. Bukan seperti wajah para akhawat yang dia kenal. Wajah mereka tegas dan penuh kepercayan pada diri. Hanya kadang-kadang saja dia mampu menikmati kelembutan atau kemanjaan yang seolah-olah sengaja disembunyikan.
Astaghfirullah…Adib mengusap wajahnya. Mengapa aku tidak mampu bersyukur? Mengapa aku menumpahkan semua penyebab kerisauan hati kepada Wahida? Benarkah dia tidak bersalah sama sekali? Tidak. Jangan –jangan , sikap Wahida yang begitu lambat berubah, kerana sikap Adib sendiri. Boleh jadi Adiblah yang terkesan memaksakan kehendaknya.Mengajaknya menembusi dunia yang jauh berbeza, tanpa ada tahapan. Benar kata ustaz, Adib perlu menyediakan input terbaik dan waktu yang lebih, jika benar-benar mahu Wahida seperti yang dia kehendaki. Dan, kesabaran adalah kunci utama dalam proses panjang itu. Sebagaimana Adib sendiri mengalaminya sejak sekolah menengah dulu.Jelas, Adib mengenal Islam lebih mendalam sejak di tingkatan enam rendah di sekolah menengah, kemudian mula aktif di kampus sehinggalah sekarang , dalam dunia pekerjaan.
Proses itu terus berjalan. Berapa tahun? Tujuh tahun! Bagaimana mungkin dia mahuklan Wahida sepertinya dalam hitungan satu dua tahu ini? Secerdas dan seaktif apapun Wahida, dia tetap tidak akan mampu dipenuhi.Kata-kata Ustaz benar.Kenapa kita perlu memilih akhawat yang sudah menjadi? Yang sudah sama siap berlari? Ini untuk matlamat dakwah yang panjang…Tiba-tiba…Satu tepukan lembut memutuskan perenungan Adib. Wahida menatapnya penuh tanda tanya. Adib tersenyum tipis.“ Abang tak dapat tidur, Penat sangat rasanya.Tadi tengah bersih-bersihkan komputer”, jelas Adib sebelum Wahida sempat membuka mulut.“ Abang nak Wahida picit? Atau abang nak minum?” tawar Wahida dan siap sedia bangun.“ Tak payahlah. Abang…nak solat. Insya Allah lepas ni lebih bersemangat”. Adib menepuk bahu isterinya dan bergegas ke bilik mandi.“ Wahida nak ikut”, Wahida menyusul. “ Wahida nak solat sama-sama dengan abang. Mudah-mudahan kita cepat dikurniakan anak”, ujar Wahida manja.Adib tersenyum lalu mengangguk.Wahida berdoa agar mereka dikurniakan zuriat penyambung generasi rabbani. Adib berdoa agar diberikan kesabaran dan kekuatan dalam usaha membimbing keluarganya. Lebih-lebih lagi apabila nanti mereka benar-benar mendapatkan amanah. Dia sudah tahu, tidak ada lagi jalan mundur. Dia harus maju. Dan sebagai seorang qowwam, dia tidak mungkin maju sendiri-sendiri. Itulah bentuk tanggungjawabnya.Malam semakin pekat dan dingin. Bunyi cengkerik berirama layaknya seperti okestra. Adib merasakan dadanya lebih lapang dan tenang.

Qadhiyyah Muasoroh : Hukum Ucapan Selamat Kepada Non-Muslim Di Hari Perayaan Mereka.


Mengucap tahniah kepada kaum bukan Islam sempena hari-hari kebesaran agama mereka seperti hari Krismas, Deepavali, Thaipusam dan sebagainya, termasuk antara masalah furu' (cabang) dalam akidah Islam yang diperselisihkan antara ulama pada zaman ini. Perselisihan pendapat antara ulama mengenai hukum itu, pada hemat saya berpunca daripada tasawwur yang kurang jelas terhadap maksud ucapan selamat hari-hari kebesaran kaum Islam yang dikemukakan itu. Jika maksud pengucapan itu adalah ikut serta berhari raya, merelai kekufuran kaum bukan Islam dan berkasih sayang dengan mereka atas nama agama, maka sememangnya haram dan sama sekali tidak boleh dilakukan.

Jika maksud ucapan selamat hari-hari kebesaran kaum bukan Islam itu tidak lebih daripada hanya ikut bercuti pada hari itu, membalas ucapan selamat Hari Raya yang diucapkan terdahulu, atau hanya memperlihatkan rasa senang hati dengan kegembiraan mereka berhari raya, maka saya kira pengucapan seumpama ini tidak termasuk dalam hal-hal akidah yang sekali gus menunjukkan rela hati terhadap agama dan kepercayaan mereka.

Meneliti beberapa fatwa yang dipamerkan melalui laman-laman web, seperti Islam-Online. net, Islam.qa.net. Islamweb dan lain-lain, saya dapati beberapa ulama terkemuka di dunia Islam kini turut memfatwakan hukum merayakan hari-hari kebesaran kaum-kaum bukan Islam. Antara mereka yang mengeluarkan fatwa dan pendapat ialah:

1. Muhammad Saleh al-Munajjid, seorang ulama dan ahli majlis fatwa kerajaan Arab Saudi. Beliau berpendapat hukum mengucap tahniah kepada bukan Islam pada hari-hari kebesaran mereka seperti hari Krismas dan sebagainya adalah haram dan bertentangan asas-asas akidah Islam. Alasan beliau ialah:

Pertama : Hari perayaan agama kaum bukan Islam pada hakikatnya adalah syiar agama mereka. Umat Islam disuruh supaya tidak meniru syiar dan budaya kaum bukan Islam. Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : Barang siapa meniru syiar sesuatu kaum (bukan Islam), maka ia daripadagolongan mereka - (riwayat Abu Dawud bilangan 4031. Musnad Ahmad Ibn Hanbal, bilangan 5093).

Kedua : Dalam suatu kaedah, ulama Islam telah mengambil ketetapan iaitu merelai kekufuran adalah kufur. Ikut serta berhari raya dengan kaum bukan Islam, serta mengucap tahniah dan selamat Hari Raya kepada mereka, adalah antara tanda kerelaan hati terhadap kekufuran seseorang. Islam menolak sekeras-kerasnya sikap itu.

Ketiga : Umat Islam dikehendaki bersikap benci terhadap kaum bukan Islam. Mereka wajib mencintai hanya kepada orang mukmin. Sikap ini disebutkan dalam salah satu judul Sahih al-Bukhari iaitu al-Hub fi'llah wa al-bughd fi'llah min al-iman (antara ciri iman ialah cinta dan benci kepada Allah). Inilah juga sikap yang wajib diteladani pada nabi Muhammad s.a.w., iaitu berkeras dengan bukan Islam dan berkasih sayang sesama mukmin (surah al-Fatah: ayat 29).
Sebagai kesimpulan, mengucap tahniah kepada kaum bukan Islam pada hari-hari kebesaran mereka adalah suatu bentuk kasih sayang dan merelai kekufuran mereka. Keadaannya sama dengan merelai berlakunya kejadian-kejadian maksiat dan dosa-dosa seperti zina, minum arak dan sebagainya.

Saya berminat memberi dua komen kepada pandangan Syeikh al-Munajjid ini, iaitu :

a. Pendapat beliau tidak membezakan antara jenis kafir, sama ada musyrikatau ahli kitab, kafir yang memusuhi Islam dan yang tidak memusuhinya, sedangkan al-Quran membezakan antara jenis-jenis kafir itu, lalu al-Quran membenarkan umat Islam berbuat baik terhadap kafir yang tidak memusuhi Islam dan memberi sedikit keistimewaan kepada kafir ahli kitab seperti harus kahwin dengan wanita mereka dan makan haiwan sembelihannya.

Hubungan dua hala Khusus bagi kaum kafir yang tidak memusuhi Islam, Allah mengharuskan berbuat baik kepada mereka, iaitu dalam surah al-Mumtahanah, ayat 8 yang bermaksud : Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu.

Tentang ahli kitab pula Allah berfirman dalam surah al-Ma'idah, ayat 5 yang bermaksud: Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka.
Ayat ini menunjukkan adanya hubungan dua hala antara kafir ahli kitab dengan umat Islam dan juga dengan kafir yang setia kepada kerajaan Islam.

b. Fatwa beliau tidak mengecualikan juga hubungan kemanusiaan, sedangkan bidang-bidang kemanusiaan kita tidak dilarang mengadakan hubungan baik. Hubungan yang langsung terputus dengan sendirinya tidak memberi laluan kepada pendakwah untuk menyatakan kebaikan Islam kepada mereka, sedangkan agama ini adalah agama dakwah, agama damai dan selamat. Perang hanya berlaku apabila dakwah ditolak, jalan-jalan damai tidak wujud lagi kepada pendakwah.

Saya berpendapat, pandangan Syeikh al-Munajjid ini agak sehala dan sedikit keterlaluan, kerana tidak mengecualikan kafir yang tidak memusuhi Islam dan yang setia patuh kepada pemerintahannya. Fatwa beliau juga tidak membezakan antara amalan Hari Raya kaum bukan Islam yang ada hubungan dengan akidah dan yang tiada hubungan dengan akidah.

Memang jelas haram bagi umat Islam menyertai Hari Raya kaum bukan Islam, seperti memasang lampu warna-warni di keliling rumah, menghias rumah dengan pokok Krismas, menyertai perarakan Hari Deepavali dan lain-lain, kerana amalan ini ada hubungan terus dengan akidah. Tetapi jika mereka menghulur makanan pada hari itu dan kita terimanya dengan baik hati, serta mengucapkan terima kasih kerana hadiah yang diberi mereka, saya kira ia tidak ada kena-mengena dengan akidah, bahkan harus kita terima hadiah dan makanan halal yang mereka beri.

Demikian juga jika pada hari-hari kebesaran itu merupakan hari kelepasan am, semua pejabat dan kakitangan kerajaan diberi cuti, termasuk kakitangan beragama Islam. Saya tidak fikir jika kita bersuka ria kerana bercuti pada hari itu, maka kita boleh dianggap turut membesarkan syiar agama dan budaya kaum bukan Islam.

2. Dr. Yusuf al-Qaradawi pula berpendapat : Jika kaum bukan Islam memulakan ucapan selamat Hari Raya mereka kepada kita, maka kita juga harus membalas ucapan yang serupa kepada mereka, kerana ini tidak lebih daripada hanya mewujudkan rasa simpati antara satu sama lain. Ia tidak bermakna bahawa kita telah merelakan agama dan kepercayaan terhadap Isa Maryam sebagai Tuhan dan lain-lain pemujaan.

Al-Qaradawi memberi beberapa alasan, antaranya : Islam tidak melarang kita berbuat baik terhadap ahli kitab yang tidak bermusuh dengan kita. Kita harus berbuat baik kepada mereka, sebagaimana mereka berbuat baik kepada kita. Ayat 8 dalam surah al-Mumtahanah yang dikemukakan terdahulu dijadikan hujah.

Menurut al-Qaradawi lagi, bidang-bidang kerjasama antara Islam dan bukan Islam seperti bidang teknikal, ketukangan dan lain-lain masih terbuka. Bahkan Nabi s.a.w. pernah menggunakan kepakaran seorang Yahudi bernama Abdullah Ibn Urayqit sebagai penunjuk jalan ketika baginda berhijrah ke Madinah.

Peranan Abdullah ini sangat besar, ada kemungkinan jika dia berniat jahat pada ketika itu, kesannya boleh menggagalkan strategi hijrah atau jika dia mengambil kesempatan menipu, maka sudah pasti kesannya sangat buruk kepada Islam dan dakwah, namun baginda tetap menggunakan juga khidmat kepakaran Yahudi yang bukan Islam itu.

Sebagai kesimpulan, Dr. Yusuf al-Qaradawi berpendapat harus bagi kita mengucapkan tahniah dan selamat Hari Raya seperti hari Krismas kepada kaum bukan Islam pada hari-hari kebesaran mereka, kerana Islam tidak menutup hubungan antara dua kaum yang berlainan agama dan kepercayaan ini.

Pendapat al-Qaradawi ini juga saya kira ada sedikit keterlaluan apabila beliau mengharuskan ucapan tahniah kepada kaum bukan Islam sebagai ucapan balas pada hari Krismas dan sebagainya. Ini kerana ucapan tahniah itu pada hakikatnya doa dan mengharapkan Allah memberi kebaikan kepada mereka, sedangkan ulama sepakat menyatakan haram berdoa kepada kaum bukan Islam sekalipun ia hanya kerana membalas ucapan yang mereka mulakan.

Saya kurang pasti apakah al-Qaradawi mengharuskan juga pengiriman perutusan kad-kad hari Krismas, jika ia hanya kerana membalas kad-kad yang mereka kirimkan, sedangkan dalam kad-kad itu biasanya tertulis kata-kata yang berupa doa selamat, harapan dan cita-cita yang lebih mirip kepada budaya dan syiar agama Kristian.

Setelah mempertimbangkan antara dua fatwa yang dikeluarkan oleh al-Munajjid dan al-Qaradawi di atas, saya lebih suka memilih jalan yang lebih sederhana, iaitu individu kafir yang dengan terang-terang memusuhi Islam dan umatnya, tidak harus diwujudkan sebarang hubungan pada hari-hari perayaan mereka, sekalipun mereka terdiri daripada ahli kitab.

Sebaliknya kafir yang setia kepada kerajaan Islam, seperti kaum-kaum bukan Islam yang tinggal di Malaysia, jika mereka telah menunjukkan kesetiaan yang baik kepada negara, memberi sumbangan ke arah keharmonian antara kaum serta hormat-menghormati antara kaum, terutamanya dengan masyarakat Islam, maka tiada salahnya kita berkongsi raya dengan mereka dalam hal-hal yang tidak berkaitan akidah dan tidak menyentuh kesucian Islam.

Bagaimanapun, kita tidak harus memandang kecil isu penerapan budaya dan syiar bukan Islam yang begitu mudah menyerap ke dalam masyarakat kita, terutama melalui media elektronik yang sangat digemari oleh anak-anak kita.

Halaman Rujukan Semasa