Thursday, 18 March 2010

Ha Kaza - Akhlaaqul Ulama'

Seluruh dunia Islam dirundung muram dengan pelbagai berita kesedihan yang menjadi ujian dari Allah SWT dari masa ke semasa. Di antaranya ialah yang terkini - pemergian Syaikhul Azhar dan bekas Mufti Negara Mesir - Syeikh Muhammad Sayyid al-Tantawi rahimahullah. Di antara ulama Islam terkemuka yang meluangkan masa untuk berbicara tentang pemergian Syeikh Tantawi ialah ulama tersohor, Dr. Yusuf al-Qaradawi. Setelah membaca tulisan yang dimuatkan di laman web rasmi Dr. Al-Qaradawi iaitu qaradawi.net, saya amat terkesan dengan sikap beliau terhadap Syeikh Tantawi yang beliau sifatkan sebagai kawan dan saudaranya sendiri. Qaradawi menyorot kembali perkenalannya dengan Tantawi ketika mereka bertemu satu masa dahulu. Ketika itu Qaradawi merupakan presiden persatuan pelajar di al-Azhar, manakala Tantawi masih di peringkat maahad dan belum lagi memasuki al-Azhar. Pada waktu itu Qaradawi telah menyampaikan khutbah yang didengari antaranya oleh Tantawi sendiri.

Mereka saling ziarah menziarahi sejak berkenalan dan ketika Qaradawi dipenjarakan pada tahun 1962, Tantawi dan isterinya menawarkan bantuan untuk keluarga beliau sebagai petanda persahabatan yang akrab. Sewaktu Tantawi menyiapkan tesis phd beliau, Qaradawi merupakan sahabat yang sering memberikan tunjuk ajar dan panduan. Semasa Qaradawi menjadi dekan fakulti Syariah Universiti Qatar, beliau pernah menjemput Tantawi untuk menjadi pensyarah tamu selama beberapa tahun. Tidak lama selepas itu, Tantawi dilantik menjadi mufti Mesir.

Maka sejak itu, hubungan mereka agak terganggu dengan beberapa fatwa yang dikeluarkan di bawah seliaan Tantawi yang mana tidak dipersetujui oleh Qaradawi. Selepas Tantawi dilantik menjadi Syaikhul Azhar, hubungan mereka kembali baik. Setiap kali bertemu, Tantawi pasti akan mendahulukan dan menghormati Qaradawi yang dianggap beliau sebagai gurunya dan juga abangnya kerana perbezaan umur. Walaupun mereka berbeza dalam beberapa pandangan dan fatwa, namun itu tidak menghalang mereka untuk saling menghormati dan mengasihi.

Ingin saya memetik sebahagian kata-kata Qaradawi dalam tulisannya: "Hari ini maut memisahkan antara kami berdua. Maut yang memisahkan antara seorang saudara dengan saudaranya, antara anak dan ayahnya, antara sahabat dan sahabatnya. Sebagaimana maut juga memisahkan antara yang bertelagah, satu dengan yang lain. Dan Allah akan menghimpunkan antara kami pada hari yang tidak ada keraguan padanya, hari dihitung segala yang tersembunyi, dan Dia akan memutuskan antara kami dengan benar, dan Dialah sebaik-baik hakim...."

Semoga kita belajar daripada akhlak ulama...walaupun kita tidak mencapai tahap mereka, namun cubalah untuk mencontohi mereka.

No comments:

Halaman Rujukan Semasa