Sunday, 18 August 2013

NASIB SEORANG PEMIMPIN YANG ADIL

Puas hati sekarang?

1: Seorang lelaki yang berketurunan petani dari delta sungai Nil, membesar dalam persekitaran agama, dan ilmu akademik duniawi, membawa lel...aki ini ke tahap pencapaian akademik dan kebendaan yang cukup tinggi. Ber dekad menjadi pensyarah kejuruteraan kimia di Universiti dalam dan luar negara, Menjadi staff muslim di NASA, malah menerima gelaran Profesor, itu semua tidak membawa lelaki ini jauh dari ALLAH. beliau, Mohamed Mursi merupakan seorang haffiz al Quran, malah isteri dan 5 orang anaknya juga turut dididik menjadi hafiz al Quran.

2: Jun 2012, Mursi dilantik menjadi presiden Mesir. Beliau yang memilih Ikhwanul Muslimin sebagai landasan juang hidupnya, tidak pernah mencalonkan dirinya, sebaliknya dipilih oleh syura. Presiden Mursi yang meringkuk didalam Penjara sewaktu era Hosni, kini diangkat menjadi presiden sebuah negara Mesir yang disebut berkali-kali didalam Al Quran.

3: Presiden Mesir menyahut perlantikan ini dengan ucapan syukur dan mengimami solat hajat dan sunat syukur. Lantas berpidato umpama Khalifah Abu Bakar dan Umar. Tidak menunggu lama, beliau telah berusaha sehabis daya untuk memulihkan hubungan umara’ dan para ulama mesir yang telah lama terpisah sejak era 32 tahun Hosni. Lelaki berani ini, menolak surat ucapan tahniah dari Israel atas kemenangannya. Beliau membuktikan, beliau bukan mudah diperalat dan diboneka kan seperti patung-patung negara arab yang lain. Morsi telah membuka semula pintu sepadan Rafah antara Mesir dan Gaza, bagi memudahkan urusan penghantaran bantuan. Ini merupakan jasa terbesar beliau dan kemerdekaan terbesar rakyat Gaza dan kesenangan hakiki kepada para sukarelawan Gaza.

4: Morsi tidak cukup dengan itu, mengaum deras di persidangan NAM di Tehran dengan memulakan aluan ucapannya dengan memuji-muji saidina Abu Bakar dan Umar, sedangkan beliau sedang berada di negara Syiah yang sering mencerca para sahabat nabi ini. Didalam ucapannya itu, Presiden Morsi telah mengutuk sekeras kerasnya tindakan rejim Basyar keatas rakyat Syria hingga memaksa delegasi syria yang turut berada di dewan itu melangkah keluar dewan dengan rasa tidak puas hati.

5: Didalam negara pula, presiden Mursi berkeras untuk tetap tinggal di rumah lamannya berbanding tinggal di istana mewah presiden. Beliau memutuskan agar pegawai-pegawai tentera yang berpanas untuk mengawalnya, agar tidak perlu berkawal dan boleh mencari tempat berteduh. Ucapannya yang paling popular, “tidak mengapa, ALLAH ada untuk menjaga saya..” setelah sekian lama Mesir berada dalam cengkaman kerajaan yang pro israel, alhamdulillah kini mesir merdeka dan bakal mendirikan kerajaan khilafah yang pemimpinnya seorang protaz (profesional dan ustaz).

6: Namun! 3 julai 2013 merubah segala-galanya. Golongan kecil manusia bodoh di Mesir berusaha keras untuk menjatuhkannya. Tidak cukup dengan itu, pegawai tertinggi tentera juga berpaling tadah. Ini membuatkan kumpulan kecil ini menjadi garang dan besar hingga menyaksikan penggulingan kerajaan Mursi dilakukan dengan cara yang sangat biadap!

7: Dunia islam yang terkenal dengan bacul dan pengecut tahap langit ke tujuh, seperti biasa, mendiamkan diri. Rumah presiden ini dikepung puak khianat ini. Ancaman bertalu talu menghala kearahnya. Dan, profesor dr.Mohamed Mursi Al Hafiz ini akhirnya karier politiknya ditamatkan dengan cara yang cukup kurang ajar. Bagi Morsi, beliau tidak rugi apa-apa. 30 juzuk masih kekal didalam dadanya, profesor dan pakar kejutueraan kimia masih segar di kepalanya. siapa yang rugi dalam hal ini??

8: Kita! Termasuk Malaysia. Isu mursi adalah isu dunia islam sejagat. Bukan sekadar isu dalaman mesir semata-mata. Saya sangat sedih bila melihat negara-negara islam dunia menjadi tuli dan bisu dengan pengkhianatan ini, sebaliknya hanya Turki yang menyuarakan sokongan penuh kepada Presiden Mursi. Adakah hanya turki sahaja negara islam didalam dunia ini??

9: Selepas ini, penempatan tenteran israel di tanah arab akan mara semula, pintu sempadan rafah yang merupakan talian hayat penduduk Gaza bakal ditutup kembali, ulama mesir akan dipinggir dan disingkir semula,rakyat Mesir akan kembali berada dalam wilayah pemerintahan diktator kekeluargaan yang tidak berperi kemanusiaan dan menjadi balaci barua yahudi.

10: Usah salahkan yahudi dalam hal ini, kerana sebilangan kecil manusia muslim di mesir yang bodoh dan bertindak diluar timbang rasa Iman. Mengapa 32 tahun kezaliman Hosni anda diamkan, 1 tahun perubahan Morsi anda bertindak keterlaluan? Padamlah cahaya dari bumi mesir ini, hilang satu-satunya suara lantang dari negara islam dunia.

11: Sejarah hanya berulang semula, Umar Abd Aziz hanya sempat memerintah dua tahun, lalu dibunuh oleh kerabat sendiri kerana khianat. Sedangkan baginda memerintah dengan cukup adil. Begitu juga Saidina Uthman, beliau dibunuh ketika usianya 86 tahun, rumahnya dikepung selama 40 hari oleh golongan pemuda islam yang bodoh, lalu beliau dikerat tangannya , dan dipancung tanpa belas kasihan oleh pedang milik islam sendiri. sejarah sekadar berulang. Disebalik kebodohan minoriti muslim ini, kita pemerhati luar tidak sudah-sudah menghentam Yahudi yang berada disebalik konspirasi ini.

12: CUKUP!! Berhenti menunding jari kepada Yahudi, pandanglah kepada diri sendiri! ahh.. mudah benar kita ini, berlaku apa-apa kekalutan dan kecelakaan, kita berasalan, ‘ahh.. ini agenda Yahudi.’ Sedangkan yang berteriak membakar gambar Morsi, memancung saidina Uthman, dan membunuh Khalifah Umar Abd Aziz adalah mereka yang sama mengucap dua kalimah syahadah! Kalau benar pun Yahudi terlibat, apakah bodoh benar kita ini untuk mengikut mereka??

13: Ya.. peristiwa pembunuhan saidina Uthman menyaksikan puak Yahudi yang mengapi-apikan kemarahan. Tetapi siapa yang mara membawa pedang meragas istana dan memancung saidina Uthman?? Bukankah islam itu sendiri? Yahudi hanya bertepuk tangan. Silap-silap, Yahudi berkata didalam hati, “alamak, gua acah je.. sampai mati pemimpin mereka dibuatnya..”

14: Buat kita pemerhati luar, bukalah tempurung besimu, lihatlah sekitar mu kini, maka nanti aku akan bertanya, puas hati sekarang? Disaat nanti pintu sepadan rafah kembali dikunci, negara mesir kembali ditindas, aku ingin bertanya, ‘puas hati sekarang?” dan ketika islam dimain-mainkan, dihina, negara islam dizalimi, dan ketika itu OIC berlari bersembunyi dalam dasar laut, ketika itu semua mencari mana pemimpin negara islam yang berani bangun melawan? Pandang kiri, saudi menyorok dibawah meja, pandang kanan, Malaysia berlari bersembunyi dalam bilik paip bomba, dan ketika itu, aku ingin bertanya, “Puas hati sekarang?”

15: Musuh islam sedang berpesta, dan si bodoh-bodoh di mesir itu pun sedang bergembira, entah apa yang mereka suka. Ingat, jika Morsi hidup, ia tetap pakar kejuruteraan kimia, 30 juzuk tetap tak lekang dalam kepalanya, dan jika beliau mati pun, syurga sedang menantinya. Sekarang kita dan musuh islam sama-sama bersuka. Tunggulah.. tak lama.. nanti dunia islam akan kembali menderita. Ketika itu, aku ingin bertanya, mungkin ini yang kalian mahukan?

Thursday, 20 June 2013

Respon Terhadap Buku Rejuvenasi PAS oleh Dr Mujahid Yusof & Ulasan

Setelah disoal oleh beberapa mahasiswa universiti dan beberapa sahabat di dalam halaqah usrah, saya mula menekuni dan melakukan sedikit research atas Buku Rejuvenasi PAS : Idea Realiti Aplikasi ke arah Aspirasi Massa, sebagai buku Menuju PAS Baru II yang ditulis oleh Dr Mujahid Yusof. Saya mula menengenali Dr. Mujahid sejak mula belajar menjejak kaki ke Muktamar Agung PAS Pusat bemula tahun 1996. Penyertaan saya ke muktamar sebagai pemerhati, adalah atas dorongan guru pembimbing saya dalam gerakan Pelajar, Y.Bhg Cikgu Sukarno Abd. Hamid setelah mula bertatih dalam gerakan pelajar semenjak tahun 1991 bersama beliau. Ketika saya mula mengikuti muktamar dan beberapa siri muktamar, Dr. Mujahid hanya hadir mengiringi ayah beliau, Almarhum Hj. Yusof Rawa sebagai mantan YDP PAS (ketika itu belum diwartakan jawatan Presiden). 

Timbul dalam pemikiran saya ketika itu, kanapa Dr. Mujahid sebagai anak pimpinan tidak turut serta di dalam PAS? Ketika itu, saya mula mendapat jawapan dari beberapa senior di Al-Azhar, rupanya Dr. Mujahid bersama dengan perjuangan JIM & `Alami ketika di Mesir. Pengalaman saya berinteraksi dengan beberapa ahli dan pimpinan `Alami (sekarang ISMA) sebelum menjejak ke Mesir (Ijtimak Pelajar Islam Se-Malaysia kali - 1) dan sewaktu belajar Mesir, membantu saya mengenali dan membaca prinsip sudut pandang pemikiran mereka terhadap PAS. Pengalaman dalam suatu diskusi / debat bersama pimpinan `Alami di DPM Shibin El-Kom selama hampir 3 jam, memberikan saya gambaran yang jelas terhadap pola berfikir dan bertindak golongan ini.

Namun akhirnya setelah beberapa tahun (ketika saya di Al-Azhar, Kaherah), di era reformasi, saya telah mendapati Dr. Mujahid bersama-sama dengan PAS, ketika itu beliau di Melaka. Sejak dari itu, sehungga kini beliau bersama PAS.

Kembali kepada topik perbincangan kita, di dalam Buku Rejuvenasi PAS terdapat tajuk-tajuk penting membicarakan landasan-landasan baru untuk membentuk sebuah perubahan melalui pembinaan Parti Islam se-Malaysia (PAS) yang diberikan tenaga baru kepemudaan melalui saranan-saranan yang dibuat oleh beliau.  Saya memilih tajuk kecil “Pelabelan PAS sebagai Parti Keagamaan” pada muka surat 119 untuk diulas.  Walaupun tajuk kecil ini dimasukkan di bawah tajuk Tajdid Organisasi, tetapi ianya merupakan unsur yang paling dasar dan paling asas dalam penubuhan PAS itu sendiri. 

Dr Mujahid menulis “PAS kemungkinan dipersepsikan sebagai parti agama yang dikuasai oleh golongan agamawan di mana persepsi ini akan membawa implikasi bahawa PAS dipimpin dan dikuasai oleh golongan agama atau rijaluddin dalam Bahasa Arab (dalam hal in ulama’)”.  Kemudian beliau memetik daripada Dr Yusof al-Qordhowi: “Kita tidak pernah mengenali sistem ‘orang agama’ atau klerikal sebagaimana yang terdapat dalam kehidupan gereja.”  Kemudian Dr Mujahid menyimpulkan “Kemungkinan persepsi orang ramai terhadap PAS sebagai parti orang agamawan ada kebenarannya sekaligus menghalang PAS untuk benar-benar menzahirkan dirinya sebagai parti yang merangkul semua pihak dalam slogan ‘PAS For All’ yang dilaungkan.  Ini juga menjejaskan peluangnya mendapatkan sokongan yang lebih meluas”. 

Tidak dapat dinafikan bahawa PAS adalah sebuah parti keagamaan kerana tujuan penubuhannya adalah untuk “Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah” (Perlembagaan PAS Fasal 5).  Iaitu sebuah parti yang tunduk kepada dasar-dasar Islam yang menjadi syariat akhir zaman.  Seperti yang telah disyariatkan kepada Nabi-Nabi terdahulu dan berterusan sehingga hari kiamat sebagaimana yang difirmankan oleh Allah yang bermaksud : 

"Allah telah menerangkan kepada kamu - di antara perkara-perkara ugama Yang ia tetapkan hukumNya - apa Yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan Yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad), dan juga Yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: "Tegakkanlah pendirian ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya". (al-Syura:13)
http://www.buletinonline.net/images/stories/berita63/rejuvenasi%20pas.jpg

Ulasan :
Sejarah membuktikan PAS adalah parti keagamaan dan menjadi identiti yang tidak terpisah selama-lamanya.  Di antara sarjana yang menulis mengenai PAS sebagai parti agama ialah John Funston dalam Politics in Malaysia: A Study of PAS and UMNO. Beliau menyatakan PAS merupakan sebuah parti politik yang berorientasikan agama kerana tokoh-tokoh yang mengasaskannya adalah orang yang berlatar belakangkan pendidikan agama. Sebahagian besar pemimpin parti itu diwakili oleh orang-orang yang berpengetahuan agama, terutamanya guru-guru agama.  Funston menyatakan dengan perjuangannya yang berlandaskan falsafah politik Islam, PAS adalah sebuah parti politik yang mempunyai ideologi yang jelas.  Ideologi PAS juga mempunyai aspek-aspek praktikal seperti dalam pendekatannya di bidang Islam dan ekonomi yang dijelaskan secara menyeluruh dan sistematik.  Parti itu menentang segala unsur yang bercanggah dengan dasar perjuangannya, terutamanya anasir mungkar dari Barat seperti tari menari, muzik yang melalaikan, kegiatan seks bebas, perjudian dan minum arak.  Funston juga membandingkan perbezaan dasar perjuangan PAS dengan UMNO di mana PAS adalah berlandaskan falsafah politik Islam dan menolak sekularisme sedangkan UMNO menyokong sekularisme (J. Funston,1980:102,135,148&161). 


Shafie Ibrahim dalam The Islamic Party of Malaysia: Its Formative Stages and Ideology juga mengakui PAS sebagai parti agama kerana perjuangannya hendak mendaulatkan Islam.  Jika Islam ditafsirkan seperti yang difahami oleh PAS, maka ia adalah sebuah parti agama.  Pemimpin PAS percaya kepada ideologi atau doktrin yang membezakan parti itu daripada parti-parti politik lain.  Ciri paling nyata dalam pernyataan politik parti itu ialah berlandaskan Islam dan Islamlah yang menjadi matlamat akhirnya.  Komitmen PAS adalah menyeluruh di mana parti itu bersuara atau menjelaskan ideologinya mengikut fahamannya terhadap Islam yang berasaskan nas-nas al-Qur’an dan al-hadith yang menjadi sumber rujukannya.  Shafie menyatakan PAS melihat Islam secara keseluruhannya dan menerimanya sebagai ideologi yang lengkap.  Penerimaan PAS terhadap Islam merangkumi semua aspek ajaran Islam seperti politik, ekonomi, sosial dan lain-lain.  PAS melihat Islam dalam bentuk yang sepadu dan berinteraksi di antara satu dengan lain sehingga membentuk struktur yang organik, iaitu tidak tepisah. PAS menganjurkan Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap (Shafei Ibrahim,1981:79,94,95&101).

Dasar PAS ialah Islam dan PAS memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat yang hidup dengan nilai-nilai Islam dan pemerintah yang melaksanakan hukum Islam (Perlembagaan PAS,Fasal 3&5(1)).  Dengan meletakkan Islam sebagai dasarnya PAS memperjuangkan cita-cita Islam secara berterusan (Yusof  Rawa, 1983).  Dalam memperjuangkan cita-cita itu, PAS tidak menjadikan medan politik sebagai satu wasilah semata-mata, tetapi juga terlibat dalam bidang dakwah, pendidikan, kebajikan, ekonomi dan lain-lain aktiviti. Ahli-ahli parti itu digerakkan secara aktif dalam program tarbiah sama ada di masjid, surau dan lain-lain pusat pendidikan.  Mereka disemarakkan dengan budaya ilmu secara berterusan.  

PAS meletakkan kalimah suci "Allah Akbar" sebagai seruan dalam perjuangannya.  Seruan itu merupakan satu amanah sebagai "Khalifah Allah" di muka bumi bagi melaksanakan perintah Allah swt secara syumul.  Bagi merealisasikan amanah itu, PAS menggerakkan aktivitinya melalui keputusan mesyuarat atau majlis syura ulamaknya.  Parti itu berjuang menyeru masyarakat untuk menegakkan hukum Allah swt dan sunnah Rasulullah saw menerusi dakwah secara lisan, tulisan dan amalan (Perlembagaan PAS, Fasal 4&6(1)).  Pemimpin-pemimpinnya memberikan penjelasan dan penerangan kepada masyarakat menerusi ceramah, dialog, diskusi dan lain-lain ke seluruh Malaysia.  Risalah-risalah dan buku-buku diterbitkan untuk mengukuhkan kefahaman masyarakat tentang ajaran Islam.

PAS memperjuangkan Islam sebagai akidah dan syariah (Perlembagaan PAS,Fasal 6(2)).  Masyarakat diajak berpegang kepada akidah yang benar kerana ianya melahirkan penyerahan diri kepada Allah swt dan menerima segala hukumNya (Abdul Hadi Awang, 1985:37).  Isu yang membabitkan akidah menjadi bahan utama di dalam ucapan pemimpin-pemimpin PAS samada di Dewan Undangan Negeri, di Dewan Rakyat, di Dewan Negara dan di luar ketiga-tiga dewan itu.  Isu sekularisme, ajaran sesat, Islamisasi dan murtad adalah antara isu-isu yang ditangani secara serius oleh pemimpin-pemimpin parti itu.  PAS menentang habis-habisan sebarang ajaran sesat dan gerakan murtad yang menghancurkan akidah umat Islam di negara ini.  

Pendapat penulis untuk mengeluarkan PAS sebagai parti keagamaan mendorong kepada dua keadaan. Pertama: PAS meninggalkan urusan utamanya (core business) mengenai Islam dan Melayu dan kedua: PAS menjadi sebuah parti yang sama sifatnya dengan UMNO atau Keadilan.  Bagi pilihan yang kedua ini, PAS tidak lagi perlu wujud kerana UMNO sudah sedia ada dan dominan dalam konteks perjuangannya.  Di samping itu Keadilan juga merupakan sebuah parti yang mempertahankan hak Melayu dan Islam pada tahap perjuangannya.  Oleh kerana itu adalah mustahil untuk PAS belepas diri daripada parti keagamaan malah ianya mesti diperkasakan lagi dengan memahamkan masyarakat bahawa perjuangan PAS adalah universal dan menegakkan keadilan sejagat tanpa mengira bangsa dan agama kerana Islam adalah agama yang adil untuk sepanjang zaman, tempat dan keadaan.  Hal ini dipertegaskan oleh tokoh-tokoh dan pejuang yang terdiri daripada alim ulama’ dulu dan sekarang.

Sebenarnya cara penulis berhujah dan membuat kesimpulan adalah tidak berasas dan songsang.  Pertama; dalam satu perenggan yang terdiri daripada 17 baris beliau telah menggunakan dua kali perkataan “kemungkinan”, empat kali perkataan “persepsi”. Menunjukkan bahawa beliau hanya membuat suatu andaian terhadap PAS sebagai parti yang tidak berpengaruh kerana sifatnya sebagai parti keagamaan.  Kedua; beliau mengandaikan dengan persepsi dalam keadaan yang ada ini, memberi implikasi PAS dipimpin oleh golongan agama atau rijaluddin, sedangkan beliau sendiri tahu dalam Jawatankuasa PAS Pusat hari ini yang terdiri daripada 37 anggota hanya seramai 16 sahaja mereka yang berlatarbelakangkan pendididkan agama secara formal termasuklah Dr Mujahid sendiri.  Di samping, mereka juga mempunyai pelbagai kepakaran dan disiplin ilmu selain daripada pengajian Islam.  Ketiga; Alasan daripada petikan Dr Yusuf al-Qardhawi sangat mengelirukan kerana belum pernah ada dalam sejarah PAS, sistem kepimpinannya sampai kepada tahap yang boleh disebut sebagai mengamalkan system kehidupan beragama seperti kehidupan gereja.  Keempat; PAS telah memperakui dasar PAS untuk semua (PAS for all) dalam muktamarnya di Perak Darul Ridzuan pada Ogos 2008. Dalam Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS Ke-54 ini, Presiden PAS mengungkapkan: “ ......  tema PAS UNTUK SEMUA adalah berteraskan kepada keyakinan yang tinggi bahawa perjuangan yang kita bawa ini adalah merupakan suatu amanah untuk memakmurkan sekalian alam. Perjuangan PAS tetap kekal utuh dan bertahan sehingga ke hari ini kerana mempunyai tujuan penubuhannya yang berteraskan kepada akidah perjuangan yang jelas.Perjuangan PAS adalah bersifat universal untuk seluruh umat manusia, membawa keadilan sejagat, sebagaimana yang termaktub dalam Bab Yang Ketiga, Fasal 6, Perkara (8), (9) dan (10), perlembagaan PAS.

Saya mengira tulisan penulis ini amat mengelirukan, dari beberapa sudut :

Pertama ; 
Beliau telah mengandaikan suatu kemungkinan keatas sebuah persepsi untuk meyakinkan perlunya ada tajdid keatas gerakan PAS yang telah ditubuhkan lebih setengah abad dan menjalani perjuangannya diatas sejarah dan sunnah perjuangan Rasulullah SAW yang dirumuskan dan dibina dari semasa ke semasa memerlukan suatu penelitian. Menganalogikan bahawa kepimpinan yang dikuasai oleh golongan agama semacam golongan paderi yang mengtaqdiskan diri mereka adalah satu perkara besar dan boleh membawa fitnah keatas kepimpinan ulama’ PAS kerana PAS bukan sebuah parti autokratik yang pemimpinnya tidak boleh ditegur dan dikira bersifat maksum seperti imam-imam Syiah.  PAS mempunyai muktamar tahunannya yang melakukan check and balance keatas kepimpinan dan parti serta jawatankuasa pusat itu sendiri boleh dimuhasabahkan pada bila-bila masa sahaja.  

Kedua ; 
Mengemukakan sebuah cadangan untuk mentajdidkan PAS agar keluar daripada parti keagamaan tanpa mengambil kira sejarah penubuhannya, perlembagaannya, kepimpinannya dan usaha-usaha yang dilakukannya dengan cadangan mentajdidkan organisasi adalah perkara yang tidak munasabah kerana penjenamaan PAS adalah identiti dan batang tubuh PAS sendiri.  Bolehkah ditadjidkan parti itu terkeluar daripada identitinya dan matlamat penubuhannya? 

Ketiga ; 
Mengemukakan cadangan tajdid keatas perkara yang sedang berlaku perubahannya dan sedang berjalan melalui pembinaan yang konsiten daripada ucapan-ucapan dasar dan perbahasan-perbahasan muktamar, bukanlah usaha baru yang boleh dinamakan tajdid. Sesungguhnya setiap tahun PAS membina tema-tema pergerakannya yang menggambarkan usaha tajdid yang berterusan.  

Keempat ; 
Mengemukakan tajdid sehingga ke peringkat menghilangkan identiti parti sebagai sebuah gerakan Islam dalam keadaan parti itu sedang memperkasakan dirinya dengan pelbagai ikhtiar yang menggambarkan dinamismanya dan diterima oleh masyarakat dengan keyakinan yang meningkat dari semasa ke semasa adalah usaha songsang yang tidak memahami nature pergerakan PAS dan realiti yang sedang berlaku.  

Ternyata istilah “PAS for All” tidak dipertahankan oleh penulis walaupun beliau sendiri adalah  Ketua Lajnah Antara Kaum yang diamanahkan oleh PAS untuk memimpin dan menguruskan gerak kerja untuk orang-orang bukan Islam yang menyokong perjuangan PAS.  Sedangkan kita tahu bahawa PAS sentiasa melakukan tajdid yang selaras dengan kehendak Islam bagi membolehkan PAS mencapai matlamat dakwah dan politiknya sebagai sebuah parti Islam.  Apakah yang sebenarnya dikehendaki oleh penulis?


Al-Faqeer Ustaz Ahmad Akhyari Ismail
Pen. Setiausaha 
Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah

Saturday, 26 May 2012

Wawancara Isteri Dr. Muhammad Mursi

Semakin besar harapan Dr. Muhammad Mursi untuk meraih kemenangan dalam pilihanraya presiden pertama  secara bebas di Mesir, semakin ramai orang yang berminat untuk mengetahui tentang isteri beliau di mana beliau dalam sebuah wawancara di salah sebuah stesen televisyen menyebut bahwa isterinya banyak memberi pengaruh terhadap prestasi  besar yang diraih dalam kehidupannya dan sangat berperanan baginya untuk mewujudkan berbagai kejayaan sehingga mendapatkan sokongan rakyat bagi dicalonkan untuk menjadi presiden Mesir.
Nama isteri beliau adalah Najla Mahmud. Dilahirkan pada tahun 1962 di desa Ain Syams, timur Kaherah. Setelah berkahwin, dia ikut suaminya tinggal di Amerika Syarikat ketika suaminya hendak menyelesaikan program doktor falsafahnya di sana. Kini keduanya menetap di Kaherah.
Berikut adalah wawancaranya dengan media Ikhwanonline.net
Dr. Mursi menyatakan dalam beberapa kali wawancara bahwa anda adalah penasihat khususnya. Apakah dia minta nasihat anda sebelum dilantik menjadi calon presiden. Apa reaksi anda dan anak-anak anda ketika itu?
Tentu sahaja, sebelumnya tidak ada di antara kami yang terfikir  akan isu pencalonan presiden beliau, apalagi Jamaah Ikhwanul Muslimin dan Parti Kebebasan dan Keadilan pada mulanya menetapkan untuk tidak menaikkan sesiapapun dari mereka untuk dicalonkan sebagai presiden.
Namun keputusan berubah apabila parti dan jamaah telah mengangkat Khairat Syatir untuk maju dalam pemilihan presiden.
Kami sudah cukup gembira ketika itu, Allah telah membebaskan kami dari tanggungjawab berat tersebut sambil kami tetap akan mengerahkan segala potensi dan kekuatan untuk menjayakan program tersebut, tetapi dalam kedudukan sebagai 'perajurit' bukan kerana ingin ke depan.
Namun oleh kerana jamaah dan parti bekerja berdasarkan sistem dan mereka meramalkan akan berlaku permainan dan muslihat politik, maka perkara tersebut menjadi alasan untuk mengetengahkan suami saya Dr. Muhammad Mursi untuk menunaikan tugas dan projek ini jika ternyata Ir. Khairat benar-benar dilarang.
Ketika penolakan terhadap Syatir benar-benar berlaku, perkara tersebut semakin menguatkan bahwa kita bekerja bukan kerana jawatan, tetapi berjuang kerana Allah Ta'ala. Buktinya Syatir menerima keputusan penolakan terhadap dirinya dan berjuang bersungguh-sungguh untuk berkempen bagi pihak Dr. Mursi.
Apakah anda merasa tersinggung dengan julukan sebahagian orang yang mengatakan bahwa Dr. Mursi adalah 'Tayar Ganti'?
Sama sekali tidak, kerana pemilihan tersebut bukan menunjukkan urutan keutamaan. Ertinya bahwa keduanya adalah layak, sedangkan pengganti tidak semestinya lebih lemah. Istilah 'tayar ganti' adalah bahasa media, sedangkan jamaah tidak memilihnya untuk menjadi 'tayar ganti', akan tetapi untuk menghadapi muslihat dan permainan politik.
Bagaimana keluarga menghadapi keputusan jamaah yang menetapkan Dr. Mursi sebagai calon presiden?
Meskipun tabiat manusia pada umumnya tidak menyukai ujian, tetapi kami menyambutnya dengan  cinta, ridha dan qanaah.
Kami semuanya sepakat dengan keputusan jamaah tetapi pada awalnya, ketika mereka mengajukan tawaran pencalonan presiden terhadap Dr. Mursi bersama  Ir. Khairat Syatir, kami berdua merasa sangat khuatir akan mengalami berbagai perancangan jahat maka saya katakan kepadanya, "Mengapa engkau menerima perkara tersebut berlaku pada Ir. Khairat Syatir sedangkan engkau tidak bersedia menerimanya pada dirimu?"
Hal ini bukan bererti kami tidak boleh risau, bagaimanapun kami sebagai manusia apalagi keputusan diambil dalam waktu yang sangat singkat. Kesimpulannya, kami akan sokong setiap calon dari Ikhwan, apakah dia Dr. Mursi atau Syatir atau lainnya, dengan segenap kemampuan yang kami miliki, samada berupa ucapan mahupun gerakan hingga ke akhirnya.
Apakah anda tidak khuatir akibat yang perlu anda bayar beserta keluarga dari pencalonan ini?
Kami sudah benar-benar sedari apakah risiko yang akan kami tanggung, tetapi semua itu menjadi ringan jika dibandingkan dengan apa yang akan kami berikan kerana Allah dan umat ini.
Demikianlah kami belajar dari Jamaah Ikhwan, bahwa kemaslahatan umat didahulukan dari kemaslahatan peribadi. Oleh yang demikian, kami bersedia menanggung berbagai risiko dengan kurnia Allah, 'Siapa yang berjuang kerana Allah, akan diberikan keteguhan saat menghadapi ujian.'
Apa yang anda ketahui tentang karakteristik seorang ketua negara yang terdapat pada Dr. Mursi?
Dr. Muhammad adalah seorang ahli politik yang matang. Walaupun dalam kesibukannya, beliau sentiasa memberi perhatian terhadap berbagai perkembangan dan masukan serta analisa yang beraneka ragam. Dari hari ke hari saya melihat sifat-sifat kenegarawanannya semakin tumbuh untuk memikul jawatan sebagai Ketua Negara.
Ditambah pula dengan bakat kepimpinan dan pentadbiran dengan semangat tinggi serta kesetiaan yang besar terhadap negara dan rakyatnya.
Itu semua diraih berkat kesungguhan dan kemahuan kuat untuk meraih prestasi demi prestasi seraya memohon pertolongan kepada Allah, sabar menghadapi ujian dan pengendalian diri ketika mengalami peristiwa besar dan merenung untuk mendapatkan penyelesaian terbaik agar dapat keluar dari berbagai krisis dalam keadaan terbaik.
Dr. Mursi sering menyatakan bahwa anda merupakan prestasi terbesar yang diraihnya dalam hidup. Bagaimana komentar anda?
Ini semua merupakan kurniaan dari Allah terhadap keluarga kami yang diberikan nikmat berupa taufiq, cinta dan kasih sayang. Dr. Muhammad sebagaimana orang Mesir katakan adalah 'orang hebat, anak dari orang-orang hebat'.
Dia selalu mengenang perjuangan saya ketika saya mengikutinya ke Amerika setahun setengah setelah perkahwinan kami di Mesir. Ketika itu dia sedang menyelesaikan program PHDnya.
Ketika itu saya mengerahkan segenap kemampuan  untuk membantunya dalam menyelesaikan tugas dan meraih prestasi terbaik. Meskipun misi tersebut sangat berat, kami tetap rajin berdakwah sebelum akhirnya kami meninggalkan berbagai tawaran Amerika yang menggiurkan untuk kemudian kami pulang ke negara kami agar dapat mempersembahkan segenap kesungguhan kepada negara kami.
Inilah yang kami utamakan. Di sini kami melalui kehidupan yang sangat berat, berupa ugutan rejim lama, kezaliman, penahanan serta berbagai ancaman lain. Namun, Allah telah memberikan kami kurniaan kesabaran, keteguhan dan kejayaan atas kemurahan dan kurniaNya.
Pelajaran apa yang diperolehi oleh keluarga Mursi dari pengalaman pilihanraya sebelumnya?
Pada pilihanraya tahun 1995 yang diselenggarakan tanpa kehadiran pengawasan dari mahkamah serta kemungkinan berlakunya berbagai penipuan, kami dapat belajar dari Dr. Mursi bahwa seseorang perlu mengerahkan segala usahanya terlebih dahulu, sedangkan hasilnya ada di sisi Allah.
Sedangkan jamaah memiliki matlamat yang sangat banyak yang ingin diwujudkan bagi umat ini. Di antaranya adalah keberadaan mereka di kerusi parlimen. Oleh kerana itu, jamaah mendorong setiap anggotanya agar mendampingi rakyat dan sentiasa berkomunikasi dengan mereka.
Yang kedua kami belajar darinya bagaimana menghormati keputusan jamaah. Ketika jamaah memintanya untuk diajukan sebagai calon pada pilihanraya tahun 2000, beliau tetap menerimanya walaupun baru sembuh dari sakit ketika itu. Beliau tidak pernah menolak permintaan Ikhwan. Ketika itu saya merasa berat, kerana saya tahu bahwa rejim lama tidak akan membiarkan keberadaannya di kerusi parlimen.  
Banyak keluarga anggota parlimen yang mendapatkan kemudahan istimewa. Bagaimana keadaan keluarga Mursi ketika dia duduk di kerusi parlimen selama 5 tahun?
Selain berharap pahala dari Allah, tidak ada kemudahan yang kami dapatkan selain gangguan dan ancaman kerana dia merupakan tokoh dan anggota parlimen yang paling kehadapan. Anak saya, Ahmad, lebih dari sekali ditahan sebagai usaha ugutan terhadap bapanya agar tidak lagi mencalonkan diri pada pilihanraya berikutnya.
Begitu juga saudaranya, Usamah, sempat ditahan, dicolek pada malam hari oleh pihak unit khas dan mendapatkan perlakuan yang kasar, ketika itu beliau sedang menuju ke masjid untuk menemui saudaranya. Ini ditambah pula dengan berbagai isu lain yang dikaitkan dan sering disebarluaskan. Di antaranya isu bahwa dia melantik anak perempuannya sebagai dekan, padahal dia sendiri dalam kumpulannya yang disingkirkan. Perlantikannya berlaku semata-mata kerana sebuah peristiwa.
Serangan media akhbar sangat keras terhadap calon dari Parti Kebebasan dan Keadilan. Apakah anda tidak khuatir? Sejauh mana pengaruhnya pada keluarga anda?
Allah Azza wa Jalla sentiasa menggagalkan setiap usaha yang dikerahkan untuk mencari aib seseorang. Media di sini memang terkenal zalim dan telah hilang kredibilitinya, mereka sering memihak dan mencipta isu-isu. Hingga kini saya belum dapat mengembalikan kepercayaan terhadap akhbar Mesir kerana seringkali mereka menyebar berita bohong tentang keluarga kami.
Meskipun demikian, saya masih merasakan kemuliaan Islam dan semakin menambah keyakinan saya bahwa saya berada di jalan yang benar kerana saya benar-benar yakin terhadap program Ikhwanul Muslimin. Bagi mereka yang mengamati sirah dengan baik, akan mengetahui bahwa beginilah sunnatullah, bahkan para rasulpun menghadapi berbagai ujian. Dan hal ini akan semakin menambah kekuatan bagi kami.
Tersebar isu bahwa Dr. Mursi melarang anda untuk meneruskan kuliah. Apakah perkara itu benar?
Saya pergi ke Amerika setelah saya menyelesaikan pendidikan menengah atas. Di sana saya belajar bahasa Inggeris secara khusus. Setelah itu saya bekerja tanpa gaji sebagai penterjemah secara langsung bagi para wanita muallaf Amerika dalam pengajian mereka di Bait Thalib Muslim di Los Angeles.
Pada mulanya setelah kembali dari Amerika saya berniat untuk meneruskan kuliah, tapi akhirnya saya lebih memilih untuk sepenuh masa dalam mendidik anak-anak saya. Akhirnya saya dan anak-anak dapat menyelesaikan hafalan Al-Qur’an. Saya memberikan mereka pelajaran hingga sekolah menengah atas. Dari sinilah saya mulai melakukan aktiviti dakwah bersama jamaah Ikhwan. Itulah pekerjaan saya.
Adapun Dr. Muhammad, tidak pernah melarang saya untuk meneruskan pelajaran dan tidak melakukan campur tangan dalam masalah ini. Justeru sebaliknya, apabila saya memintanya untuk memperkukuhkan kembali kemampuan bahasa Inggeris saya, dia memberi memotivasi kepada saya.
Mendapatkan kewarganegaraan Amerika adalah mimpi bagi orang yang bekerja dan tinggal di sana. Apakah anda pernah berusaha untuk mendapatkannya?
Sebagaimana yang diketahui bahwa undang-undang Amerika menetapkan bahwa sesiapa yang dilahirkan di negara Amerika akan mendapatkan kewarganegaraan Amerika. Inilah yang berlaku kepada kedua anak kami, Ahmad dan Syaima.
Adapun saya dan Doktor, sebenarnya mudah sekali bagi kami untuk mendapatkan kewarganegaraan tersebut, akan tetapi tidak selangkahpun yang kami tempuhi untuk itu. Saya cabar sesiapa sahaja yang dapat menghadirkan bukti bertulis yang menunjukkan bahwa kami adalah warganegara Amerika. Oleh kerana itulah kami dapat membantah orang-orang yang menuduh kami dalam masalah ini, kerana mereka tidak mendapatkan satu bukti pun.
Apakah anak-anak anda memanfaatkan kewarganegaraan Amerika mereka?
Kewarganegaraan anak-anak tidak kami gunakan sama sekali. Ketika Ahmad dipenjara, salah seorang aktivis kemanusiaan menasihatinya agar menghubungi kedutaan Amerika, mereka akan mengatur proses pembebasannya sekarang juga.
Maka dia terus menjawab, "Saya adalah warga Mesir, hidup di negara Mesir dan akan memilih Mesir."
Itu pula yang dijawab oleh Mursi, meskipun dia tidak mendengar ucapan Ahmad.
Dia berkata,
"Anak saya adalah warga Mesir, apa yang berlaku pada teman-temannya, berlaku pula padanya. Saya tidak akan minta tolong dengan institusi di luar Mesir untuk campur tangan dalam urusan dalaman negara Mesir walaupun mereka bertindak zalim kepada kami."
Mengapa Dr. Mursi memutuskan untuk menamatkan urusan pelajarannya di Amerika Syarikat dan kembali ke Mesir?
Ketika Doktor menyelesaikan masa kuliahnya di sana, yang selalu terbayang dalam fikirannya adalah bagaimana memberikan manfaat kepada masyarakatnya dari ilmu yang dia raih, apalagi dia menghendaki untuk kembali ketika anak-anaknya masih dalam masa pertumbuhan agar mereka terdidik di sana.
Ketika kami kembali, Ahmad masih berusia 4 setengah tahun sedangkan Syaima berusia 2 setengah tahun. Setelah itu kami tidak pernah mengunjungi Amerika lagi. Kami tinggalkan Universiti Amerika yang menawarkan berbagai macam tawaran. Lalu beliau kembali ke Universiti Zagazig yang ketika itu masih dalam peringkat permulaan.
Apakah anda tidak menolak keputusan tersebut?
Pada mulanya saya menentangnya, khususnya anak-anak ketika itu masih dalam usia yang tidak perlu dikhuatirkan. Apalagi saya tahu bahwa Doktor ketika itu sangat menyukai pelajaran dan melakukan kajian di mana segala kemudahan tersedia di Amerika. Namun ketika itu dia menjawab bahwa dia ingin agar permulaan pertumbuhan anak-anaknya seperti anak-anak di negaranya.  
Bagaimana menurut anda peranan isteri bagi seorang Presiden setelah revolusi?
Saya ingin tetap berada di tengah-tengah masyarakat, hidup seperti mereka hidup dan mendengarkan keluh kesah mereka sepertimana perkataan Sayyidina Umar, "Seandainya ada seekor keledai tersesat di Irak, niscaya saya akan ditanya oleh Allah."
Bagaimana halnya dengan manusia yang tidak mendapatkan segelas air bersih atau tidak mempunyai pembiayaan untuk berubat?!
Ada masyarakat yang masih hidup di bawah paras kemiskinan. Merekalah kelompok pertama yang akan menjadi perhatian saya dalam ruang lingkup sosial di luar institusi dan itulah yang selama ini saya ceburi dalam bidang sosial selama sekian tahun di sektor wanita dalam jamaah Ikhwan.
Bagaimana dengan kegiatan dakwah anda?
Saya akan tetap berdakwah dan tidak mungkin saya tinggalkan kerana inilah hidup saya selama 30 tahun.
Apakah anda pernah mengimpikan menjadi wanita nombor satu di Mesir? Bagaimana perasaan anda sekarang?
Julukan itu saya tolak sama sekali. Julukan itu berlaku untuk Jihan Sadat dan Suzan Mubarak di mana kedua-duanya ikut campur tangan dalam segala urusan samada politik atau ekonomi.
Islam mengajarkan bahwa Presiden Mesir berikutnya adalah pelayan Mesir nombor satu, maka itu ertinya bahwa isterinya juga adalah merupakan pelayan wanita Mesir nombor satu.  
Setelah sekian tahun hidup dalam kezaliman yang dialami oleh keluarga Dr. Mursi, apa yang anda rasakan ketika menyaksikan kejatuhan diktator Mubarak?
Ketika itu saya ingat firman Allah Ta'ala,
"Katakanlah, Ya Allah pemilik segala kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada siapa yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari siapa yang Engkau kehendaki." (QS Ali Imran : 26)
Darinya kami mengambil pelajaran bahwa kekuasaan tidak akan berterusan pada seseorang. Dan kekuasaan, jika Allah kehendaki berakhir, maka Dia akan mencabutnya, setelah Dia memberinya dengan mudah, disamping hal itu merupakan kehendak rakyat yang telah dizalimi selama masa kekuasaan diktator, agar hati mereka senang. Khususnya Khairat Syatir dan Hasan Malik yang terlambat dibebaskan.
Ketika saya melihat pemimpin yang digulingkan  itu berada di atas katilnya di ruang tertuduh, dengan berbagai usaha peguam untuk menyembunyikannya dari pandangan, saya ingat bagaimana Khairat Syatir dahulu ketika di sidang perbicaraan dengan kepala tegak. Semua itu memberikan keyakinan pada saya bahwa pertolongan Allah itu pasti datang. 
Bila anda akan mengatakan kepada Dr. Muhamad Mursi, 'Cukup sudah kerja anda sampai di sini?"
Saya tidak akan mengatakan kepada doktor, 'Cukuplah kerja anda sampai di sini' kerana Islam mengajarkan kepada kami untuk sentiasa beramal hingga akhir kesempatan. Ini disebabkan kami beramal kerana Allah. Saya tidak dapat melihat Dr. Mursi tidak beramal. Apabila itu berlaku, justeru saya merasa ada yang aneh padanya.  
Sebagai penutup, apa yang ingin anda katakan kepada suami anda?
Semoga Allah menolongmu memikul tanggungjawab ini dan memberimu keteguhan  dan keridhaan serta menjadikan kami sebagai penolongmu di jalan tersebut.  
Ya Allah, tetapkanlah kaki kami di jalan dakwahMu dan berikanlah kami sifat istiqamah beramal untuk melaksanakan segala tuntutan dan perintahMu. Kurniakanlah kemenangan kepada golongan mukminin yang sebenar sehingga syariatMu akan tertegak semula di bumi Mesir dan di bumi-bumi lain di seluruh dunia sehingga kalimahMu tegak berdiri dan memayungi setiap insan di dunia bagi merealisasikan “Rahmatan Lil Alameen”.

Halaman Rujukan Semasa