Thursday, 20 June 2013

Respon Terhadap Buku Rejuvenasi PAS oleh Dr Mujahid Yusof & Ulasan

Setelah disoal oleh beberapa mahasiswa universiti dan beberapa sahabat di dalam halaqah usrah, saya mula menekuni dan melakukan sedikit research atas Buku Rejuvenasi PAS : Idea Realiti Aplikasi ke arah Aspirasi Massa, sebagai buku Menuju PAS Baru II yang ditulis oleh Dr Mujahid Yusof. Saya mula menengenali Dr. Mujahid sejak mula belajar menjejak kaki ke Muktamar Agung PAS Pusat bemula tahun 1996. Penyertaan saya ke muktamar sebagai pemerhati, adalah atas dorongan guru pembimbing saya dalam gerakan Pelajar, Y.Bhg Cikgu Sukarno Abd. Hamid setelah mula bertatih dalam gerakan pelajar semenjak tahun 1991 bersama beliau. Ketika saya mula mengikuti muktamar dan beberapa siri muktamar, Dr. Mujahid hanya hadir mengiringi ayah beliau, Almarhum Hj. Yusof Rawa sebagai mantan YDP PAS (ketika itu belum diwartakan jawatan Presiden). 

Timbul dalam pemikiran saya ketika itu, kanapa Dr. Mujahid sebagai anak pimpinan tidak turut serta di dalam PAS? Ketika itu, saya mula mendapat jawapan dari beberapa senior di Al-Azhar, rupanya Dr. Mujahid bersama dengan perjuangan JIM & `Alami ketika di Mesir. Pengalaman saya berinteraksi dengan beberapa ahli dan pimpinan `Alami (sekarang ISMA) sebelum menjejak ke Mesir (Ijtimak Pelajar Islam Se-Malaysia kali - 1) dan sewaktu belajar Mesir, membantu saya mengenali dan membaca prinsip sudut pandang pemikiran mereka terhadap PAS. Pengalaman dalam suatu diskusi / debat bersama pimpinan `Alami di DPM Shibin El-Kom selama hampir 3 jam, memberikan saya gambaran yang jelas terhadap pola berfikir dan bertindak golongan ini.

Namun akhirnya setelah beberapa tahun (ketika saya di Al-Azhar, Kaherah), di era reformasi, saya telah mendapati Dr. Mujahid bersama-sama dengan PAS, ketika itu beliau di Melaka. Sejak dari itu, sehungga kini beliau bersama PAS.

Kembali kepada topik perbincangan kita, di dalam Buku Rejuvenasi PAS terdapat tajuk-tajuk penting membicarakan landasan-landasan baru untuk membentuk sebuah perubahan melalui pembinaan Parti Islam se-Malaysia (PAS) yang diberikan tenaga baru kepemudaan melalui saranan-saranan yang dibuat oleh beliau.  Saya memilih tajuk kecil “Pelabelan PAS sebagai Parti Keagamaan” pada muka surat 119 untuk diulas.  Walaupun tajuk kecil ini dimasukkan di bawah tajuk Tajdid Organisasi, tetapi ianya merupakan unsur yang paling dasar dan paling asas dalam penubuhan PAS itu sendiri. 

Dr Mujahid menulis “PAS kemungkinan dipersepsikan sebagai parti agama yang dikuasai oleh golongan agamawan di mana persepsi ini akan membawa implikasi bahawa PAS dipimpin dan dikuasai oleh golongan agama atau rijaluddin dalam Bahasa Arab (dalam hal in ulama’)”.  Kemudian beliau memetik daripada Dr Yusof al-Qordhowi: “Kita tidak pernah mengenali sistem ‘orang agama’ atau klerikal sebagaimana yang terdapat dalam kehidupan gereja.”  Kemudian Dr Mujahid menyimpulkan “Kemungkinan persepsi orang ramai terhadap PAS sebagai parti orang agamawan ada kebenarannya sekaligus menghalang PAS untuk benar-benar menzahirkan dirinya sebagai parti yang merangkul semua pihak dalam slogan ‘PAS For All’ yang dilaungkan.  Ini juga menjejaskan peluangnya mendapatkan sokongan yang lebih meluas”. 

Tidak dapat dinafikan bahawa PAS adalah sebuah parti keagamaan kerana tujuan penubuhannya adalah untuk “Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah” (Perlembagaan PAS Fasal 5).  Iaitu sebuah parti yang tunduk kepada dasar-dasar Islam yang menjadi syariat akhir zaman.  Seperti yang telah disyariatkan kepada Nabi-Nabi terdahulu dan berterusan sehingga hari kiamat sebagaimana yang difirmankan oleh Allah yang bermaksud : 

"Allah telah menerangkan kepada kamu - di antara perkara-perkara ugama Yang ia tetapkan hukumNya - apa Yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan Yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad), dan juga Yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: "Tegakkanlah pendirian ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya". (al-Syura:13)
http://www.buletinonline.net/images/stories/berita63/rejuvenasi%20pas.jpg

Ulasan :
Sejarah membuktikan PAS adalah parti keagamaan dan menjadi identiti yang tidak terpisah selama-lamanya.  Di antara sarjana yang menulis mengenai PAS sebagai parti agama ialah John Funston dalam Politics in Malaysia: A Study of PAS and UMNO. Beliau menyatakan PAS merupakan sebuah parti politik yang berorientasikan agama kerana tokoh-tokoh yang mengasaskannya adalah orang yang berlatar belakangkan pendidikan agama. Sebahagian besar pemimpin parti itu diwakili oleh orang-orang yang berpengetahuan agama, terutamanya guru-guru agama.  Funston menyatakan dengan perjuangannya yang berlandaskan falsafah politik Islam, PAS adalah sebuah parti politik yang mempunyai ideologi yang jelas.  Ideologi PAS juga mempunyai aspek-aspek praktikal seperti dalam pendekatannya di bidang Islam dan ekonomi yang dijelaskan secara menyeluruh dan sistematik.  Parti itu menentang segala unsur yang bercanggah dengan dasar perjuangannya, terutamanya anasir mungkar dari Barat seperti tari menari, muzik yang melalaikan, kegiatan seks bebas, perjudian dan minum arak.  Funston juga membandingkan perbezaan dasar perjuangan PAS dengan UMNO di mana PAS adalah berlandaskan falsafah politik Islam dan menolak sekularisme sedangkan UMNO menyokong sekularisme (J. Funston,1980:102,135,148&161). 


Shafie Ibrahim dalam The Islamic Party of Malaysia: Its Formative Stages and Ideology juga mengakui PAS sebagai parti agama kerana perjuangannya hendak mendaulatkan Islam.  Jika Islam ditafsirkan seperti yang difahami oleh PAS, maka ia adalah sebuah parti agama.  Pemimpin PAS percaya kepada ideologi atau doktrin yang membezakan parti itu daripada parti-parti politik lain.  Ciri paling nyata dalam pernyataan politik parti itu ialah berlandaskan Islam dan Islamlah yang menjadi matlamat akhirnya.  Komitmen PAS adalah menyeluruh di mana parti itu bersuara atau menjelaskan ideologinya mengikut fahamannya terhadap Islam yang berasaskan nas-nas al-Qur’an dan al-hadith yang menjadi sumber rujukannya.  Shafie menyatakan PAS melihat Islam secara keseluruhannya dan menerimanya sebagai ideologi yang lengkap.  Penerimaan PAS terhadap Islam merangkumi semua aspek ajaran Islam seperti politik, ekonomi, sosial dan lain-lain.  PAS melihat Islam dalam bentuk yang sepadu dan berinteraksi di antara satu dengan lain sehingga membentuk struktur yang organik, iaitu tidak tepisah. PAS menganjurkan Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap (Shafei Ibrahim,1981:79,94,95&101).

Dasar PAS ialah Islam dan PAS memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat yang hidup dengan nilai-nilai Islam dan pemerintah yang melaksanakan hukum Islam (Perlembagaan PAS,Fasal 3&5(1)).  Dengan meletakkan Islam sebagai dasarnya PAS memperjuangkan cita-cita Islam secara berterusan (Yusof  Rawa, 1983).  Dalam memperjuangkan cita-cita itu, PAS tidak menjadikan medan politik sebagai satu wasilah semata-mata, tetapi juga terlibat dalam bidang dakwah, pendidikan, kebajikan, ekonomi dan lain-lain aktiviti. Ahli-ahli parti itu digerakkan secara aktif dalam program tarbiah sama ada di masjid, surau dan lain-lain pusat pendidikan.  Mereka disemarakkan dengan budaya ilmu secara berterusan.  

PAS meletakkan kalimah suci "Allah Akbar" sebagai seruan dalam perjuangannya.  Seruan itu merupakan satu amanah sebagai "Khalifah Allah" di muka bumi bagi melaksanakan perintah Allah swt secara syumul.  Bagi merealisasikan amanah itu, PAS menggerakkan aktivitinya melalui keputusan mesyuarat atau majlis syura ulamaknya.  Parti itu berjuang menyeru masyarakat untuk menegakkan hukum Allah swt dan sunnah Rasulullah saw menerusi dakwah secara lisan, tulisan dan amalan (Perlembagaan PAS, Fasal 4&6(1)).  Pemimpin-pemimpinnya memberikan penjelasan dan penerangan kepada masyarakat menerusi ceramah, dialog, diskusi dan lain-lain ke seluruh Malaysia.  Risalah-risalah dan buku-buku diterbitkan untuk mengukuhkan kefahaman masyarakat tentang ajaran Islam.

PAS memperjuangkan Islam sebagai akidah dan syariah (Perlembagaan PAS,Fasal 6(2)).  Masyarakat diajak berpegang kepada akidah yang benar kerana ianya melahirkan penyerahan diri kepada Allah swt dan menerima segala hukumNya (Abdul Hadi Awang, 1985:37).  Isu yang membabitkan akidah menjadi bahan utama di dalam ucapan pemimpin-pemimpin PAS samada di Dewan Undangan Negeri, di Dewan Rakyat, di Dewan Negara dan di luar ketiga-tiga dewan itu.  Isu sekularisme, ajaran sesat, Islamisasi dan murtad adalah antara isu-isu yang ditangani secara serius oleh pemimpin-pemimpin parti itu.  PAS menentang habis-habisan sebarang ajaran sesat dan gerakan murtad yang menghancurkan akidah umat Islam di negara ini.  

Pendapat penulis untuk mengeluarkan PAS sebagai parti keagamaan mendorong kepada dua keadaan. Pertama: PAS meninggalkan urusan utamanya (core business) mengenai Islam dan Melayu dan kedua: PAS menjadi sebuah parti yang sama sifatnya dengan UMNO atau Keadilan.  Bagi pilihan yang kedua ini, PAS tidak lagi perlu wujud kerana UMNO sudah sedia ada dan dominan dalam konteks perjuangannya.  Di samping itu Keadilan juga merupakan sebuah parti yang mempertahankan hak Melayu dan Islam pada tahap perjuangannya.  Oleh kerana itu adalah mustahil untuk PAS belepas diri daripada parti keagamaan malah ianya mesti diperkasakan lagi dengan memahamkan masyarakat bahawa perjuangan PAS adalah universal dan menegakkan keadilan sejagat tanpa mengira bangsa dan agama kerana Islam adalah agama yang adil untuk sepanjang zaman, tempat dan keadaan.  Hal ini dipertegaskan oleh tokoh-tokoh dan pejuang yang terdiri daripada alim ulama’ dulu dan sekarang.

Sebenarnya cara penulis berhujah dan membuat kesimpulan adalah tidak berasas dan songsang.  Pertama; dalam satu perenggan yang terdiri daripada 17 baris beliau telah menggunakan dua kali perkataan “kemungkinan”, empat kali perkataan “persepsi”. Menunjukkan bahawa beliau hanya membuat suatu andaian terhadap PAS sebagai parti yang tidak berpengaruh kerana sifatnya sebagai parti keagamaan.  Kedua; beliau mengandaikan dengan persepsi dalam keadaan yang ada ini, memberi implikasi PAS dipimpin oleh golongan agama atau rijaluddin, sedangkan beliau sendiri tahu dalam Jawatankuasa PAS Pusat hari ini yang terdiri daripada 37 anggota hanya seramai 16 sahaja mereka yang berlatarbelakangkan pendididkan agama secara formal termasuklah Dr Mujahid sendiri.  Di samping, mereka juga mempunyai pelbagai kepakaran dan disiplin ilmu selain daripada pengajian Islam.  Ketiga; Alasan daripada petikan Dr Yusuf al-Qardhawi sangat mengelirukan kerana belum pernah ada dalam sejarah PAS, sistem kepimpinannya sampai kepada tahap yang boleh disebut sebagai mengamalkan system kehidupan beragama seperti kehidupan gereja.  Keempat; PAS telah memperakui dasar PAS untuk semua (PAS for all) dalam muktamarnya di Perak Darul Ridzuan pada Ogos 2008. Dalam Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS Ke-54 ini, Presiden PAS mengungkapkan: “ ......  tema PAS UNTUK SEMUA adalah berteraskan kepada keyakinan yang tinggi bahawa perjuangan yang kita bawa ini adalah merupakan suatu amanah untuk memakmurkan sekalian alam. Perjuangan PAS tetap kekal utuh dan bertahan sehingga ke hari ini kerana mempunyai tujuan penubuhannya yang berteraskan kepada akidah perjuangan yang jelas.Perjuangan PAS adalah bersifat universal untuk seluruh umat manusia, membawa keadilan sejagat, sebagaimana yang termaktub dalam Bab Yang Ketiga, Fasal 6, Perkara (8), (9) dan (10), perlembagaan PAS.

Saya mengira tulisan penulis ini amat mengelirukan, dari beberapa sudut :

Pertama ; 
Beliau telah mengandaikan suatu kemungkinan keatas sebuah persepsi untuk meyakinkan perlunya ada tajdid keatas gerakan PAS yang telah ditubuhkan lebih setengah abad dan menjalani perjuangannya diatas sejarah dan sunnah perjuangan Rasulullah SAW yang dirumuskan dan dibina dari semasa ke semasa memerlukan suatu penelitian. Menganalogikan bahawa kepimpinan yang dikuasai oleh golongan agama semacam golongan paderi yang mengtaqdiskan diri mereka adalah satu perkara besar dan boleh membawa fitnah keatas kepimpinan ulama’ PAS kerana PAS bukan sebuah parti autokratik yang pemimpinnya tidak boleh ditegur dan dikira bersifat maksum seperti imam-imam Syiah.  PAS mempunyai muktamar tahunannya yang melakukan check and balance keatas kepimpinan dan parti serta jawatankuasa pusat itu sendiri boleh dimuhasabahkan pada bila-bila masa sahaja.  

Kedua ; 
Mengemukakan sebuah cadangan untuk mentajdidkan PAS agar keluar daripada parti keagamaan tanpa mengambil kira sejarah penubuhannya, perlembagaannya, kepimpinannya dan usaha-usaha yang dilakukannya dengan cadangan mentajdidkan organisasi adalah perkara yang tidak munasabah kerana penjenamaan PAS adalah identiti dan batang tubuh PAS sendiri.  Bolehkah ditadjidkan parti itu terkeluar daripada identitinya dan matlamat penubuhannya? 

Ketiga ; 
Mengemukakan cadangan tajdid keatas perkara yang sedang berlaku perubahannya dan sedang berjalan melalui pembinaan yang konsiten daripada ucapan-ucapan dasar dan perbahasan-perbahasan muktamar, bukanlah usaha baru yang boleh dinamakan tajdid. Sesungguhnya setiap tahun PAS membina tema-tema pergerakannya yang menggambarkan usaha tajdid yang berterusan.  

Keempat ; 
Mengemukakan tajdid sehingga ke peringkat menghilangkan identiti parti sebagai sebuah gerakan Islam dalam keadaan parti itu sedang memperkasakan dirinya dengan pelbagai ikhtiar yang menggambarkan dinamismanya dan diterima oleh masyarakat dengan keyakinan yang meningkat dari semasa ke semasa adalah usaha songsang yang tidak memahami nature pergerakan PAS dan realiti yang sedang berlaku.  

Ternyata istilah “PAS for All” tidak dipertahankan oleh penulis walaupun beliau sendiri adalah  Ketua Lajnah Antara Kaum yang diamanahkan oleh PAS untuk memimpin dan menguruskan gerak kerja untuk orang-orang bukan Islam yang menyokong perjuangan PAS.  Sedangkan kita tahu bahawa PAS sentiasa melakukan tajdid yang selaras dengan kehendak Islam bagi membolehkan PAS mencapai matlamat dakwah dan politiknya sebagai sebuah parti Islam.  Apakah yang sebenarnya dikehendaki oleh penulis?


Al-Faqeer Ustaz Ahmad Akhyari Ismail
Pen. Setiausaha 
Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah

Saturday, 26 May 2012

Wawancara Isteri Dr. Muhammad Mursi

Semakin besar harapan Dr. Muhammad Mursi untuk meraih kemenangan dalam pilihanraya presiden pertama  secara bebas di Mesir, semakin ramai orang yang berminat untuk mengetahui tentang isteri beliau di mana beliau dalam sebuah wawancara di salah sebuah stesen televisyen menyebut bahwa isterinya banyak memberi pengaruh terhadap prestasi  besar yang diraih dalam kehidupannya dan sangat berperanan baginya untuk mewujudkan berbagai kejayaan sehingga mendapatkan sokongan rakyat bagi dicalonkan untuk menjadi presiden Mesir.
Nama isteri beliau adalah Najla Mahmud. Dilahirkan pada tahun 1962 di desa Ain Syams, timur Kaherah. Setelah berkahwin, dia ikut suaminya tinggal di Amerika Syarikat ketika suaminya hendak menyelesaikan program doktor falsafahnya di sana. Kini keduanya menetap di Kaherah.
Berikut adalah wawancaranya dengan media Ikhwanonline.net
Dr. Mursi menyatakan dalam beberapa kali wawancara bahwa anda adalah penasihat khususnya. Apakah dia minta nasihat anda sebelum dilantik menjadi calon presiden. Apa reaksi anda dan anak-anak anda ketika itu?
Tentu sahaja, sebelumnya tidak ada di antara kami yang terfikir  akan isu pencalonan presiden beliau, apalagi Jamaah Ikhwanul Muslimin dan Parti Kebebasan dan Keadilan pada mulanya menetapkan untuk tidak menaikkan sesiapapun dari mereka untuk dicalonkan sebagai presiden.
Namun keputusan berubah apabila parti dan jamaah telah mengangkat Khairat Syatir untuk maju dalam pemilihan presiden.
Kami sudah cukup gembira ketika itu, Allah telah membebaskan kami dari tanggungjawab berat tersebut sambil kami tetap akan mengerahkan segala potensi dan kekuatan untuk menjayakan program tersebut, tetapi dalam kedudukan sebagai 'perajurit' bukan kerana ingin ke depan.
Namun oleh kerana jamaah dan parti bekerja berdasarkan sistem dan mereka meramalkan akan berlaku permainan dan muslihat politik, maka perkara tersebut menjadi alasan untuk mengetengahkan suami saya Dr. Muhammad Mursi untuk menunaikan tugas dan projek ini jika ternyata Ir. Khairat benar-benar dilarang.
Ketika penolakan terhadap Syatir benar-benar berlaku, perkara tersebut semakin menguatkan bahwa kita bekerja bukan kerana jawatan, tetapi berjuang kerana Allah Ta'ala. Buktinya Syatir menerima keputusan penolakan terhadap dirinya dan berjuang bersungguh-sungguh untuk berkempen bagi pihak Dr. Mursi.
Apakah anda merasa tersinggung dengan julukan sebahagian orang yang mengatakan bahwa Dr. Mursi adalah 'Tayar Ganti'?
Sama sekali tidak, kerana pemilihan tersebut bukan menunjukkan urutan keutamaan. Ertinya bahwa keduanya adalah layak, sedangkan pengganti tidak semestinya lebih lemah. Istilah 'tayar ganti' adalah bahasa media, sedangkan jamaah tidak memilihnya untuk menjadi 'tayar ganti', akan tetapi untuk menghadapi muslihat dan permainan politik.
Bagaimana keluarga menghadapi keputusan jamaah yang menetapkan Dr. Mursi sebagai calon presiden?
Meskipun tabiat manusia pada umumnya tidak menyukai ujian, tetapi kami menyambutnya dengan  cinta, ridha dan qanaah.
Kami semuanya sepakat dengan keputusan jamaah tetapi pada awalnya, ketika mereka mengajukan tawaran pencalonan presiden terhadap Dr. Mursi bersama  Ir. Khairat Syatir, kami berdua merasa sangat khuatir akan mengalami berbagai perancangan jahat maka saya katakan kepadanya, "Mengapa engkau menerima perkara tersebut berlaku pada Ir. Khairat Syatir sedangkan engkau tidak bersedia menerimanya pada dirimu?"
Hal ini bukan bererti kami tidak boleh risau, bagaimanapun kami sebagai manusia apalagi keputusan diambil dalam waktu yang sangat singkat. Kesimpulannya, kami akan sokong setiap calon dari Ikhwan, apakah dia Dr. Mursi atau Syatir atau lainnya, dengan segenap kemampuan yang kami miliki, samada berupa ucapan mahupun gerakan hingga ke akhirnya.
Apakah anda tidak khuatir akibat yang perlu anda bayar beserta keluarga dari pencalonan ini?
Kami sudah benar-benar sedari apakah risiko yang akan kami tanggung, tetapi semua itu menjadi ringan jika dibandingkan dengan apa yang akan kami berikan kerana Allah dan umat ini.
Demikianlah kami belajar dari Jamaah Ikhwan, bahwa kemaslahatan umat didahulukan dari kemaslahatan peribadi. Oleh yang demikian, kami bersedia menanggung berbagai risiko dengan kurnia Allah, 'Siapa yang berjuang kerana Allah, akan diberikan keteguhan saat menghadapi ujian.'
Apa yang anda ketahui tentang karakteristik seorang ketua negara yang terdapat pada Dr. Mursi?
Dr. Muhammad adalah seorang ahli politik yang matang. Walaupun dalam kesibukannya, beliau sentiasa memberi perhatian terhadap berbagai perkembangan dan masukan serta analisa yang beraneka ragam. Dari hari ke hari saya melihat sifat-sifat kenegarawanannya semakin tumbuh untuk memikul jawatan sebagai Ketua Negara.
Ditambah pula dengan bakat kepimpinan dan pentadbiran dengan semangat tinggi serta kesetiaan yang besar terhadap negara dan rakyatnya.
Itu semua diraih berkat kesungguhan dan kemahuan kuat untuk meraih prestasi demi prestasi seraya memohon pertolongan kepada Allah, sabar menghadapi ujian dan pengendalian diri ketika mengalami peristiwa besar dan merenung untuk mendapatkan penyelesaian terbaik agar dapat keluar dari berbagai krisis dalam keadaan terbaik.
Dr. Mursi sering menyatakan bahwa anda merupakan prestasi terbesar yang diraihnya dalam hidup. Bagaimana komentar anda?
Ini semua merupakan kurniaan dari Allah terhadap keluarga kami yang diberikan nikmat berupa taufiq, cinta dan kasih sayang. Dr. Muhammad sebagaimana orang Mesir katakan adalah 'orang hebat, anak dari orang-orang hebat'.
Dia selalu mengenang perjuangan saya ketika saya mengikutinya ke Amerika setahun setengah setelah perkahwinan kami di Mesir. Ketika itu dia sedang menyelesaikan program PHDnya.
Ketika itu saya mengerahkan segenap kemampuan  untuk membantunya dalam menyelesaikan tugas dan meraih prestasi terbaik. Meskipun misi tersebut sangat berat, kami tetap rajin berdakwah sebelum akhirnya kami meninggalkan berbagai tawaran Amerika yang menggiurkan untuk kemudian kami pulang ke negara kami agar dapat mempersembahkan segenap kesungguhan kepada negara kami.
Inilah yang kami utamakan. Di sini kami melalui kehidupan yang sangat berat, berupa ugutan rejim lama, kezaliman, penahanan serta berbagai ancaman lain. Namun, Allah telah memberikan kami kurniaan kesabaran, keteguhan dan kejayaan atas kemurahan dan kurniaNya.
Pelajaran apa yang diperolehi oleh keluarga Mursi dari pengalaman pilihanraya sebelumnya?
Pada pilihanraya tahun 1995 yang diselenggarakan tanpa kehadiran pengawasan dari mahkamah serta kemungkinan berlakunya berbagai penipuan, kami dapat belajar dari Dr. Mursi bahwa seseorang perlu mengerahkan segala usahanya terlebih dahulu, sedangkan hasilnya ada di sisi Allah.
Sedangkan jamaah memiliki matlamat yang sangat banyak yang ingin diwujudkan bagi umat ini. Di antaranya adalah keberadaan mereka di kerusi parlimen. Oleh kerana itu, jamaah mendorong setiap anggotanya agar mendampingi rakyat dan sentiasa berkomunikasi dengan mereka.
Yang kedua kami belajar darinya bagaimana menghormati keputusan jamaah. Ketika jamaah memintanya untuk diajukan sebagai calon pada pilihanraya tahun 2000, beliau tetap menerimanya walaupun baru sembuh dari sakit ketika itu. Beliau tidak pernah menolak permintaan Ikhwan. Ketika itu saya merasa berat, kerana saya tahu bahwa rejim lama tidak akan membiarkan keberadaannya di kerusi parlimen.  
Banyak keluarga anggota parlimen yang mendapatkan kemudahan istimewa. Bagaimana keadaan keluarga Mursi ketika dia duduk di kerusi parlimen selama 5 tahun?
Selain berharap pahala dari Allah, tidak ada kemudahan yang kami dapatkan selain gangguan dan ancaman kerana dia merupakan tokoh dan anggota parlimen yang paling kehadapan. Anak saya, Ahmad, lebih dari sekali ditahan sebagai usaha ugutan terhadap bapanya agar tidak lagi mencalonkan diri pada pilihanraya berikutnya.
Begitu juga saudaranya, Usamah, sempat ditahan, dicolek pada malam hari oleh pihak unit khas dan mendapatkan perlakuan yang kasar, ketika itu beliau sedang menuju ke masjid untuk menemui saudaranya. Ini ditambah pula dengan berbagai isu lain yang dikaitkan dan sering disebarluaskan. Di antaranya isu bahwa dia melantik anak perempuannya sebagai dekan, padahal dia sendiri dalam kumpulannya yang disingkirkan. Perlantikannya berlaku semata-mata kerana sebuah peristiwa.
Serangan media akhbar sangat keras terhadap calon dari Parti Kebebasan dan Keadilan. Apakah anda tidak khuatir? Sejauh mana pengaruhnya pada keluarga anda?
Allah Azza wa Jalla sentiasa menggagalkan setiap usaha yang dikerahkan untuk mencari aib seseorang. Media di sini memang terkenal zalim dan telah hilang kredibilitinya, mereka sering memihak dan mencipta isu-isu. Hingga kini saya belum dapat mengembalikan kepercayaan terhadap akhbar Mesir kerana seringkali mereka menyebar berita bohong tentang keluarga kami.
Meskipun demikian, saya masih merasakan kemuliaan Islam dan semakin menambah keyakinan saya bahwa saya berada di jalan yang benar kerana saya benar-benar yakin terhadap program Ikhwanul Muslimin. Bagi mereka yang mengamati sirah dengan baik, akan mengetahui bahwa beginilah sunnatullah, bahkan para rasulpun menghadapi berbagai ujian. Dan hal ini akan semakin menambah kekuatan bagi kami.
Tersebar isu bahwa Dr. Mursi melarang anda untuk meneruskan kuliah. Apakah perkara itu benar?
Saya pergi ke Amerika setelah saya menyelesaikan pendidikan menengah atas. Di sana saya belajar bahasa Inggeris secara khusus. Setelah itu saya bekerja tanpa gaji sebagai penterjemah secara langsung bagi para wanita muallaf Amerika dalam pengajian mereka di Bait Thalib Muslim di Los Angeles.
Pada mulanya setelah kembali dari Amerika saya berniat untuk meneruskan kuliah, tapi akhirnya saya lebih memilih untuk sepenuh masa dalam mendidik anak-anak saya. Akhirnya saya dan anak-anak dapat menyelesaikan hafalan Al-Qur’an. Saya memberikan mereka pelajaran hingga sekolah menengah atas. Dari sinilah saya mulai melakukan aktiviti dakwah bersama jamaah Ikhwan. Itulah pekerjaan saya.
Adapun Dr. Muhammad, tidak pernah melarang saya untuk meneruskan pelajaran dan tidak melakukan campur tangan dalam masalah ini. Justeru sebaliknya, apabila saya memintanya untuk memperkukuhkan kembali kemampuan bahasa Inggeris saya, dia memberi memotivasi kepada saya.
Mendapatkan kewarganegaraan Amerika adalah mimpi bagi orang yang bekerja dan tinggal di sana. Apakah anda pernah berusaha untuk mendapatkannya?
Sebagaimana yang diketahui bahwa undang-undang Amerika menetapkan bahwa sesiapa yang dilahirkan di negara Amerika akan mendapatkan kewarganegaraan Amerika. Inilah yang berlaku kepada kedua anak kami, Ahmad dan Syaima.
Adapun saya dan Doktor, sebenarnya mudah sekali bagi kami untuk mendapatkan kewarganegaraan tersebut, akan tetapi tidak selangkahpun yang kami tempuhi untuk itu. Saya cabar sesiapa sahaja yang dapat menghadirkan bukti bertulis yang menunjukkan bahwa kami adalah warganegara Amerika. Oleh kerana itulah kami dapat membantah orang-orang yang menuduh kami dalam masalah ini, kerana mereka tidak mendapatkan satu bukti pun.
Apakah anak-anak anda memanfaatkan kewarganegaraan Amerika mereka?
Kewarganegaraan anak-anak tidak kami gunakan sama sekali. Ketika Ahmad dipenjara, salah seorang aktivis kemanusiaan menasihatinya agar menghubungi kedutaan Amerika, mereka akan mengatur proses pembebasannya sekarang juga.
Maka dia terus menjawab, "Saya adalah warga Mesir, hidup di negara Mesir dan akan memilih Mesir."
Itu pula yang dijawab oleh Mursi, meskipun dia tidak mendengar ucapan Ahmad.
Dia berkata,
"Anak saya adalah warga Mesir, apa yang berlaku pada teman-temannya, berlaku pula padanya. Saya tidak akan minta tolong dengan institusi di luar Mesir untuk campur tangan dalam urusan dalaman negara Mesir walaupun mereka bertindak zalim kepada kami."
Mengapa Dr. Mursi memutuskan untuk menamatkan urusan pelajarannya di Amerika Syarikat dan kembali ke Mesir?
Ketika Doktor menyelesaikan masa kuliahnya di sana, yang selalu terbayang dalam fikirannya adalah bagaimana memberikan manfaat kepada masyarakatnya dari ilmu yang dia raih, apalagi dia menghendaki untuk kembali ketika anak-anaknya masih dalam masa pertumbuhan agar mereka terdidik di sana.
Ketika kami kembali, Ahmad masih berusia 4 setengah tahun sedangkan Syaima berusia 2 setengah tahun. Setelah itu kami tidak pernah mengunjungi Amerika lagi. Kami tinggalkan Universiti Amerika yang menawarkan berbagai macam tawaran. Lalu beliau kembali ke Universiti Zagazig yang ketika itu masih dalam peringkat permulaan.
Apakah anda tidak menolak keputusan tersebut?
Pada mulanya saya menentangnya, khususnya anak-anak ketika itu masih dalam usia yang tidak perlu dikhuatirkan. Apalagi saya tahu bahwa Doktor ketika itu sangat menyukai pelajaran dan melakukan kajian di mana segala kemudahan tersedia di Amerika. Namun ketika itu dia menjawab bahwa dia ingin agar permulaan pertumbuhan anak-anaknya seperti anak-anak di negaranya.  
Bagaimana menurut anda peranan isteri bagi seorang Presiden setelah revolusi?
Saya ingin tetap berada di tengah-tengah masyarakat, hidup seperti mereka hidup dan mendengarkan keluh kesah mereka sepertimana perkataan Sayyidina Umar, "Seandainya ada seekor keledai tersesat di Irak, niscaya saya akan ditanya oleh Allah."
Bagaimana halnya dengan manusia yang tidak mendapatkan segelas air bersih atau tidak mempunyai pembiayaan untuk berubat?!
Ada masyarakat yang masih hidup di bawah paras kemiskinan. Merekalah kelompok pertama yang akan menjadi perhatian saya dalam ruang lingkup sosial di luar institusi dan itulah yang selama ini saya ceburi dalam bidang sosial selama sekian tahun di sektor wanita dalam jamaah Ikhwan.
Bagaimana dengan kegiatan dakwah anda?
Saya akan tetap berdakwah dan tidak mungkin saya tinggalkan kerana inilah hidup saya selama 30 tahun.
Apakah anda pernah mengimpikan menjadi wanita nombor satu di Mesir? Bagaimana perasaan anda sekarang?
Julukan itu saya tolak sama sekali. Julukan itu berlaku untuk Jihan Sadat dan Suzan Mubarak di mana kedua-duanya ikut campur tangan dalam segala urusan samada politik atau ekonomi.
Islam mengajarkan bahwa Presiden Mesir berikutnya adalah pelayan Mesir nombor satu, maka itu ertinya bahwa isterinya juga adalah merupakan pelayan wanita Mesir nombor satu.  
Setelah sekian tahun hidup dalam kezaliman yang dialami oleh keluarga Dr. Mursi, apa yang anda rasakan ketika menyaksikan kejatuhan diktator Mubarak?
Ketika itu saya ingat firman Allah Ta'ala,
"Katakanlah, Ya Allah pemilik segala kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada siapa yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari siapa yang Engkau kehendaki." (QS Ali Imran : 26)
Darinya kami mengambil pelajaran bahwa kekuasaan tidak akan berterusan pada seseorang. Dan kekuasaan, jika Allah kehendaki berakhir, maka Dia akan mencabutnya, setelah Dia memberinya dengan mudah, disamping hal itu merupakan kehendak rakyat yang telah dizalimi selama masa kekuasaan diktator, agar hati mereka senang. Khususnya Khairat Syatir dan Hasan Malik yang terlambat dibebaskan.
Ketika saya melihat pemimpin yang digulingkan  itu berada di atas katilnya di ruang tertuduh, dengan berbagai usaha peguam untuk menyembunyikannya dari pandangan, saya ingat bagaimana Khairat Syatir dahulu ketika di sidang perbicaraan dengan kepala tegak. Semua itu memberikan keyakinan pada saya bahwa pertolongan Allah itu pasti datang. 
Bila anda akan mengatakan kepada Dr. Muhamad Mursi, 'Cukup sudah kerja anda sampai di sini?"
Saya tidak akan mengatakan kepada doktor, 'Cukuplah kerja anda sampai di sini' kerana Islam mengajarkan kepada kami untuk sentiasa beramal hingga akhir kesempatan. Ini disebabkan kami beramal kerana Allah. Saya tidak dapat melihat Dr. Mursi tidak beramal. Apabila itu berlaku, justeru saya merasa ada yang aneh padanya.  
Sebagai penutup, apa yang ingin anda katakan kepada suami anda?
Semoga Allah menolongmu memikul tanggungjawab ini dan memberimu keteguhan  dan keridhaan serta menjadikan kami sebagai penolongmu di jalan tersebut.  
Ya Allah, tetapkanlah kaki kami di jalan dakwahMu dan berikanlah kami sifat istiqamah beramal untuk melaksanakan segala tuntutan dan perintahMu. Kurniakanlah kemenangan kepada golongan mukminin yang sebenar sehingga syariatMu akan tertegak semula di bumi Mesir dan di bumi-bumi lain di seluruh dunia sehingga kalimahMu tegak berdiri dan memayungi setiap insan di dunia bagi merealisasikan “Rahmatan Lil Alameen”.

Thursday, 18 March 2010

Ha Kaza - Akhlaaqul Ulama'

Seluruh dunia Islam dirundung muram dengan pelbagai berita kesedihan yang menjadi ujian dari Allah SWT dari masa ke semasa. Di antaranya ialah yang terkini - pemergian Syaikhul Azhar dan bekas Mufti Negara Mesir - Syeikh Muhammad Sayyid al-Tantawi rahimahullah. Di antara ulama Islam terkemuka yang meluangkan masa untuk berbicara tentang pemergian Syeikh Tantawi ialah ulama tersohor, Dr. Yusuf al-Qaradawi. Setelah membaca tulisan yang dimuatkan di laman web rasmi Dr. Al-Qaradawi iaitu qaradawi.net, saya amat terkesan dengan sikap beliau terhadap Syeikh Tantawi yang beliau sifatkan sebagai kawan dan saudaranya sendiri. Qaradawi menyorot kembali perkenalannya dengan Tantawi ketika mereka bertemu satu masa dahulu. Ketika itu Qaradawi merupakan presiden persatuan pelajar di al-Azhar, manakala Tantawi masih di peringkat maahad dan belum lagi memasuki al-Azhar. Pada waktu itu Qaradawi telah menyampaikan khutbah yang didengari antaranya oleh Tantawi sendiri.

Mereka saling ziarah menziarahi sejak berkenalan dan ketika Qaradawi dipenjarakan pada tahun 1962, Tantawi dan isterinya menawarkan bantuan untuk keluarga beliau sebagai petanda persahabatan yang akrab. Sewaktu Tantawi menyiapkan tesis phd beliau, Qaradawi merupakan sahabat yang sering memberikan tunjuk ajar dan panduan. Semasa Qaradawi menjadi dekan fakulti Syariah Universiti Qatar, beliau pernah menjemput Tantawi untuk menjadi pensyarah tamu selama beberapa tahun. Tidak lama selepas itu, Tantawi dilantik menjadi mufti Mesir.

Maka sejak itu, hubungan mereka agak terganggu dengan beberapa fatwa yang dikeluarkan di bawah seliaan Tantawi yang mana tidak dipersetujui oleh Qaradawi. Selepas Tantawi dilantik menjadi Syaikhul Azhar, hubungan mereka kembali baik. Setiap kali bertemu, Tantawi pasti akan mendahulukan dan menghormati Qaradawi yang dianggap beliau sebagai gurunya dan juga abangnya kerana perbezaan umur. Walaupun mereka berbeza dalam beberapa pandangan dan fatwa, namun itu tidak menghalang mereka untuk saling menghormati dan mengasihi.

Ingin saya memetik sebahagian kata-kata Qaradawi dalam tulisannya: "Hari ini maut memisahkan antara kami berdua. Maut yang memisahkan antara seorang saudara dengan saudaranya, antara anak dan ayahnya, antara sahabat dan sahabatnya. Sebagaimana maut juga memisahkan antara yang bertelagah, satu dengan yang lain. Dan Allah akan menghimpunkan antara kami pada hari yang tidak ada keraguan padanya, hari dihitung segala yang tersembunyi, dan Dia akan memutuskan antara kami dengan benar, dan Dialah sebaik-baik hakim...."

Semoga kita belajar daripada akhlak ulama...walaupun kita tidak mencapai tahap mereka, namun cubalah untuk mencontohi mereka.

Wednesday, 18 November 2009

PMRAM Terus dizalimi


PMRAM Terus dizalimi
Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia [ MSD ] Kaherah Mesir TIDAK PROFESIONAL


Menggagalkan Program Pelajar
[ Pembacaan Hadis Bukhari ]


1. Program Pembacaan Hadis Bukhari anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir [ PMRAM ] yang sepatutnya berlangsung pada 16 hingga 19 oktober 2009 lalu telah digagalkan oleh pihak MSD Kaherah . Pengarahnya ialah Prof Dr. Jamil Hashim .

2. Program julung kali dianjurkan oleh PMRAM itu dijangka berlangsung di Al Azhar Confrence Center [ ACC ] yang mampu menampung sekitar 700 orang peserta .

3. Antara ulama' yang diundang bagi menyampaikan ucapan ialah Al A'llaamah al Muhaddis Syeikh Muhammad Ibrahim al kattani , Syeikh Jamal Farouk , Syeikh Toha Dusuqi al Hubaisy , Syeikh Dr. Yusri Rushdi Saiyyid al Hasani , Syaikh Ahmad Hajain , Syeikh Dr. Da'ad Jawish , Syeikh Asyraf Imam Masjid 6 Oktober , Syeikh Usamah Mahmud al Azhari dan paling istemewa ialah al A'llamah Syeikh Dr. Ali Jumuah Mufti Mesir .

4. Pengarah MSD Kaherah telah menghantar surat rasmi kepada Syeikhul Al Azhar Dr. Sayyid Tantawi meminta agar pihak al Azhar membatalkan program tersebut di saat - saat akhir . Apa yang paling malang , alasan yang digunakan oleh pihak MSD ialah PMRAM adalah Agent Parti Pembangkang Malaysia .

5. Saya melihat ini sebagai taktik usang pihak MSD untuk memberi imej buruk dan tekanan kepada PMRAM agar tidak berfungsi sebagai sebuah badan kebajikan mahasiswa dengan baik dan berkesan .

6. Saya juga melihat MSD mempunyai agenda tertentu sekaligus berniat jahat terhadap PMRAM dengan tindakan mereka mengganggu urusan dan aktiviti mahasiswa . Apa hak mereka untuk mengganggu aktiviti PMRAM sedang PMRAM adalah sebuah badan kebajikan yang sah malah berdaftar dengan Kementerian Kemasyarakatan Mesir . PMRAM juga mempunyai hubungan yang sangat baik dengan pihak kerajaan Mesir , pengurusan universiti al Azhar dan pihak keamanan Mesir .

7. Tiada alasan yang munasabah mengapa MSD mesti bertindak untuk membatalkan Program Pembacaan Hadis Imam Bukhari yang kelak akan berakhir dengan anugerah Ijazah Sanad Hadis oleh Mufti Mesir asy Syeikh Dr. Ali Jumuah sebagaimana yang telah dijadualkan .

8. Tindakan kurang ajar dan di luar bidang kuasa mereka itu menyebabkan Program Pembacaan Hadis Imam Bukhari ini terpaksa dipindahkan ke Tingkat 5 Dewan Rumah negeri Johor di Kaherah yang hanya mampu menampung sekitar 300 peserta sahaja . Peserta terpaksa menuntut ilmu di tangga dan kaki lima bangunan .

9. Sementara acara Majlis perasmian penutup program ini terpaksa di adakan di sebuah gelanggang bola keranjang oleh Mufti Mesir Dr. Ali Jumuah . Sebelumnya , program yang berlangsung selama 4 hari ini menyaksikan kesungguhan para ulama' sebagai tetamu undangan dan tenaga pembimbing . Ianya cukup berkesan di hati mahasiswa sementara rasa hormat mahasiswa kepada Pengarah MSD semakin luntur akibat tindakannya yang tidak profesional .

10. Mahasiswa al Azhar telah menubuhkan satu jawatankuasa khas DESAK untuk membantah tindakan MSD yang jelas tidak profesional dan menjatuhkan maruah MSD pada pandangan mahasiswa . DESAK juga menuntut agar MSD memohon maaf secara terbuka dan kembali membersihkan nama baik PMRAM yang telah dicemarkan oleh mereka .

11. Sementara itu , kami Dewan Pemuda PAS Pusat selain menyokong jawatankuasa khas DESAK terhadap beberapa tuntutan mereka , turut mendesak supaya Pengarah MSD Kaherah Prof Dr. Jamil Hashim dipanggil balik dan ditukarkan kerana gagal memainkan peranan sebagai Pengarah MSD yang sepatutnya memberi kemudahan dan kesejahteraan kepada mahasiswa bukan mengganggu dan menghalang mereka menuntut ilmu .

12. Paling ringan , Dewan Pemuda PAS Pusat mendesak supaya Prof Dr. Jamil Hashim di beri amaran keras oleh pihak kerajaan agar ia menjalankan tugas sebagai pengarah MSD dengan penuh dedikasi tanpa menyusahkan mahasiswa dengan agenda dan tanggapan jahat mereka terhadap mahasiswa .

13. Menuduh PMRAM sebagai Agent Parti Pembangkang bukan sahaja berniat jahat tetapi mengganggu emosi mahasiswa yang menuntut di Mesir dengan penuh pengorbanan mencari sekalung ijazah . Mereka ke Mesir untuk menuntut ilmu bukan untuk MELIBATKAN DIRI DENGAN POLITIK KEPARTIAN dan ianya sesuai dengan dasar kerajaan agar pelajar tidak terlibat dengan politik kepartian apalagi di tuduh sebagi agent pembangkang .

14. Saya melihat perkara ini telah berlarutan sejak sekian lama . Sejak tahun 1991 PMRAM sering diganggu oleh MSD . PMRAM selalu dituduh sebagai agent pembangkang tanpa sebarang bukti . Persoalannya PMRAM agent Parti Pembangkang atau MSD menjadi alat UMNO dan BN ? . Mengutamakan pencapaian yang menjadi slogan kepimpinan baru kerajaan Dato' Seri Najib dituntut agar kerajaan segera bertindak menangani isu ini dengan bijak dan memberi keselesaan kepada mahasiswa untuk mereka menumpukan perhatian kepada ilmu .

15. Kepada seluruh warga PMRAM, saya mengucapkan selamat menuntut ilmu di bumi Kinanah dan kelak pulang membawa ilmu guna membasmi kejahilan yang kini sedang membelenggu masyarakat negara kita .

Halaman Rujukan Semasa